Pages

Subscribe:

16 Disember, 2009

[hangnadim]PM sertai 110 pemimpin dunia


Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor disambut oleh pegawai-pegawai Malaysia setibanya di Hotel Skt Petr, Copenhagen, Denmark, semalam. Perdana Menteri dijadual menyertai para pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - BERNAMA
--------------------------------------------------------------------------------
COPENHAGEN 16 Dis. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di ibu negara Denmark pada Rabu pagi untuk bersama-sama 110 pemimpin dunia menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil tindakan segera untuk menangani isu-isu perubahan iklim.

Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Duta Malaysia ke Sweden Datuk Kamarudin Mustafa dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Persidangan Perubahan Iklim PBB, berlangsung dari 7 Disember sehingga Jumaat, berusaha mendapatkan komitmen politik daripada ketua-ketua negara dan kerajaan termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, bagi menandatangani satu perjanjian lebih bermakna bagi menangani isu-isu berkaitan.

Dua isu utama yang akan dibincangkan ialah pengurangan pengeluaran gas hijau dan penyediaan bantuan kewangan bagi negara-negara sedang membangun untuk beralih kepada teknologi hijau dan menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin panas.

Najib dijadual menyampaikan ucapan esok untuk menyatakan komitmen Malaysia bagi membantu menangani kesan-kesan pemanasan global yang semakin mengancam kehidupan manusia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menawarkan sejumlah pengurangan "ketara" dalam pengeluaran karbon dioksida bagi menghentikan pemanasan global.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, kehadiran Najib jelas menzahirkan akan kepentingan yang dilakukan Malaysia berhubung isu-isu perubahan iklim.

Najib turut menjadikan iklim dunia sebagai keutamaan dalam bajet negara bagi 2010 apabila memperuntukkan dana RM1.5 bilion untuk menggalakkan teknologi hijau dan pembinaan bangunan mesra alam.

Malaysia telah menyaksikan kenaikan suhu antara 0.5 dan 1.5 darjah Celsius manakala garis pesisir pantai semakin sempit ekoran kenaikan paras air laut.

Menurut satu laporan PBB, pengeluaran karbon oleh Malaysia pada 2006 adalah sebanyak 187 juta tan atau 7.2 tan daripada setiap rakyat Malaysia berbanding Indonesia yang merupakan pengeluar ketiga terbesar dunia dengan 2.3 bilion tan.

Najib dan Rosmah akan menghadiri majlis makan malam dengan rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini malam ini dan satu jamuan malam yang dihoskan oleh Ratu Denmark pada Khamis. - BERNAMA


Dr. Mahathir terima Anugerah Keamanan Global

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima Anugerah Keamanan Global daripada Yayasan Ramadhan iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari United Kingdom.

Anugerah berkenaan disampaikan bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada masyarakat Islam selain inisiatif memperjuangkan keamanan di peringkat global.

Ia disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Ramadhan, Muhammad Umar pada Majlis Makan Malam Anugerah Gala Konvensyen Antarabangsa Uniti Muslim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Selain Dr. Mahathir, yayasan berkenaan turut memberikan anugerah kepada Yayasan Al-Bukhary untuk khidmat kepada ummah dan Allahyarham Ubaidulla Kadir Basha untuk khidmat beliau dalam bidang kemanusiaan dan pencapaian seumur hidup.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyeru supaya semua umat Islam mengetepikan perbezaan dan bersatu-padu demi keamanan sejagat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.