Pages

Subscribe:

27 April, 2010

[hang nadim] JASAMU DIKENANG DAN TAHNIAH DARI PERSATUAN BEKAS POLIS MALAYSIA..........



Yang Dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang memakai jubah di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.




Senator perlu utama kepentingan rakyat
KUALA LUMPUR 26 April - Yang Dipertua Dewan Negara yang baru dilantik hari ini, Tan Sri Abu Zahar Ujang mahu para senator memberikan keutamaan untuk membela kepentingan rakyat.

Bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) itu berkata, langkah berkenaan adalah sejajar dengan gagasan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Para senator dan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat perlu mengambil kira kepentingan rakyat ketika berhujah, memberi pandangan dan membuat undang-undang demi negara.

"Ini selaras dengan hakikat bahawa kerajaan kita dilantik oleh rakyat, bagi rakyat dan untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen selepas mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Sebelum itu, usul pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua ke-16 telah dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sebaik sahaja sesi Dewan bermula pada pukul 10 pagi dan disokong oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Usul itu mendapat persetujuan sebulat suara ahli Dewan Negara termasuk wakil dari Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pelantikan Abu Zahar, 66, yang berpengalaman sebagai pegawai polis, peguam bela, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen adalah berdasarkan cadangan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Beliau yang menggantikan Datuk Ir. Wong Foon Meng yang tamat tempoh perkhidmatan 12 April lalu akan memegang jawatan itu selama satu penggal atau tiga tahun.

Dalam pada itu, Abu Zahar yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan mengakui beliau tidak menjangka dilantik ke jawatan itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberikan kepercayaan ini dan saya turut menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana memperkenankan pelantikan berkenaan.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk melaksana yang terbaik, pertama sekali kepada Dewan Negara dan juga kepada kerajaan dan rakyat," katanya.

Abu Zahar memulakan kariernya pada 1964 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai inspektor dengan jawatan terakhir sebagai Deputi Supritendan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.

Sewaktu berkhidmat dalam pasukan beruniform itu, beliau melanjutkan pelajaran selama tiga tahun dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn London dengan cuti tanpa gaji.

Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum terpilih sebagai ADUN Kuala Pilah dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

Beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 1991 sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal dari 1995 hingga 1999.

Dalam bidang politik pula, kariernya bermula pada 1979 selepas menganggotai Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah sebelum menjadi Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah selama 14 tahun sehingga 2001.

Abu Zahar yang merupakan ahli Lembaga Disiplin UMNO sejak 13 Mei 2004 dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), pernah menyandang pelbagai jawatan lain termasuk Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Beliau dan isteri, Puan Sri Sharifah Rugayah Syed Jaffar mempunyai tiga anak.

Turut mengangkat sumpah sebagai senator hari ini ialah bekas Pengurus Besar Public Islamic Bank Berhad, Datuk Mohammed Najeeb Abdullah yang merupakan lantikan baru mewakili DUN Negeri Sembilan.

Mohammed Najeeb, 56, yang berkelulusan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Charles Darwin, Australia ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.





Najib Tun Razak menyampaikan cek sagu hati daripada Kerajaan Malaysia kepada Ir. Wong Foon Meng sambil diperhatikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara baru, Tan Sri Abu Zahar Ujang (kiri) pada majlis meraikan persaraan beliau di Parlimen, malam tadi.

BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Ir. Wong Foon Meng yang menamatkan tempoh perkhidmatannya diraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Malam Jasamu Dikenang di Dewan Bankuet, bangunan Parlimen di sini, malam tadi.

Foon Meng, 56, yang berasal dari Kuala Terengganu menjadi Yang Dipertua ke-15, selama sembilan bulan sehingga 12 April lalu bagi menggantikan Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh.

Beliau yang merupakan bukan Melayu keenam dilantik ke jawatan itu berkata, tugas berkenaan banyak mengajarnya tentang bagaimana negara ini ditadbir dan kepentingan pengurusan masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.