Pages

Subscribe:

29 April, 2010

[hang nadim] Junjung Titah Tuanku......DAULAT TUANKU

Hormat titah Sultan

KLANG - Sesiapa tidak setuju dengan peraturan Selangor, termasuk larangan berpolitik di masjid dan surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak menghalang penduduk negeri lain berhijrah ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.

"Tetapi, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang negeri ini. Mereka yang datang tidak seharusnya mempertikaikan peraturan dan undang-undang yang dibuat.

"Peraturan dan undang-undang ini diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Selangor," titah baginda pada majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di Jalan Kota Raja, di sini, semalam.

Baginda bertitah demikian untuk memberi penjelasan berhubung titah baginda 22 April lalu (supaya rakyat tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik) kerana ada ahli politik mempertikaikan titah baginda itu dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.

"Beta ingin menjelaskan kepada rakyat Beta semua titah larangan penggunaan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah orang Islam. Ini kerana masjid dan surau adalah tempat umat Islam berkumpul bagi melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

“Sekiranya masjid dan surau dibiarkan sebagai pentas kempen politik, adalah dikhuatiri ia akan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan yang boleh mencemari kesuciannya, seperti caci mencaci, fitnah memfitnah, tohmahan yang tidak berasas dan memburukkan keperibadian seseorang.”

Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya perbuatan berpolitik di masjid dan surau tidak dibendung dan dihalang, ia akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Baginda bertitah, keadaan itu berbeza dengan keadaan di zaman Nabi Muhammad SAW di mana Rasulullah SAW berceramah di masjid untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana ketika itu umat Islam diancam dan diserang musuhnya.

Baginda bertitah, Rasulullah tidak menyebar fitnah atau menghina orang lain dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang dan masjid pada zaman Nabi digunakan untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu kerana di sanalah tempat umat Islam berkumpul untuk beribadah dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam.

“Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah SAW mengguna masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan mengguna masjid sebagai platform menyebarkan agenda politik mereka,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, pada zaman Rasulullah tidak ada kemudahan lain untuk berceramah, kecuali masjid, berbanding zaman sekarang ini di mana terdapat tempat sesuai untuk berceramah politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan dewan serbaguna.

“Berceramahlah di tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat berceramah politik,” titah baginda.

Sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 23 April berkata, berpolitik di masjid tidak salah kerana Nabi Muhammad SAW juga melakukannya.



Jangan datang ke Selangor
Oleh azian aziz
pengaran@utusan.com.my

KLANG 29 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri itu.

Titah baginda, jika ingin datang ke Selangor, mereka perlu mematuhi dan menghormati segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

‘‘Rakyat harus maklum beta tidak menghalang rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.

“Bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang di sini dan tidak mempertikaikannya kerana ia diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.

“Sekiranya seseorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.

Baginda menjelaskan, ini kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Titah baginda lagi, sekiranya masjid dan surau dibiar digunakan sebagai pentas kempen politik, dikhuatiri ia akan disalah guna dan dicemari dengan perbuatan mencaci serta memfitnah yang akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di Selangor.

‘‘Beta menjelaskan ini kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik dan menganggapnya karut serta sebagai peninggalan penjajah,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, pada zaman Rasulullah, masjid digunakan untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu mereka diancam dan diserang musuh.

Titah baginda, masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk berlindung dan Rasullullah tidak pernah menyebar fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang.

‘‘Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebar agenda politik masing-masing.

‘‘Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan juga dewan serbaguna.

‘‘Berceramah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik,” titah baginda.


ARKIB : 04/04/2010
Melayu tak sedar diri
Tulisan Awang yang menyokong Perkasa dalam ruangan ini minggu lalu terus dibidas oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkongsi sentimen dengan pihak-pihak tertentu terutama DAP bagi menentang Perkasa. Mereka khuatir kebangkitan NGO Melayu walaupun dalam konteks mempertahankan Perlembagaan dan asas kenegaraan. Lebih-lebih lagi sokongan masyarakat Melayu terhadap Perkasa kian melonjak. Ada kajian mendapati hampir 70 peratus orang Melayu menyokong pendirian Perkasa dalam banyak isu kritikal. Awang ingin bertanya Zaid, apa salahnya orang Melayu di tanah air ini menyokong Perkasa?

Selain itu, beliau mempersoalkan Awang dengan menyatakan sebenarnya tiada pihak yang menghina dan mencabar kedudukan raja-raja Melayu? Sekali lagi Zaid buat-buat lupa tentang beberapa peristiwa menghina Sultan Perak tahun lalu, yang didalangi pembangkang. Kita masih ingat bagaimana rakyat dan pelbagai pihak marah terhadap cubaan mencabar institusi raja, yang terburuk dalam sejarah moden tanah air. Malah bara penghinaan itu masih belum padam sehingga hari ini. Jika Zaid anggap ia tidak berlaku, memang beliau tebal ego dan hipokrit. Awang ingin bertanya ketika institusi raja diasak teruk ketika itu, mengapa PKR lama berdiam dan tiada pendirian apatah lagi untuk mengeluarkan kenyataan keras mempertahankan institusi berkenaan? Awang juga ingin mencabar Zaid agar mengisytiharkan bahawa PKR menjunjung sepenuhnya Perlembagaan negara dan mempertahankannya dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam pada itu, Zaid mempersalahkan pemimpin UMNO dan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad terhadap beberapa perkara termasuk kegagalan Melayu, Awang tidak terkejut. Perspektif yang beliau beri kabur seperti orang dalam ketagihan. Itu memang perangai Zaid, hanya nampak dirinya betul dan pihak lain salah. Pada Awang, orang seperti Zaid turut menyumbang kepada kegagalan Melayu. Beliau adalah Melayu yang tidak sedar diri. Ramai yang tahu siapa Zaid dan juga kontrak-kontrak yang pernah diterima daripada kerajaan. Apakah semuanya atas asas merit? Awang tidak pasti tetapi ia menjadi perbualan bahawa beliau banyak mendapat faedah ekonomi atas kapasitinya sebagai peguam dan usahawan Melayu? Persoalannya lagi, sejauh manakah faedah yang beliau peroleh dimanfaatkan bagi membantu semaksimum mungkin usahawan Melayu yang baru bertatih?

Berkaitan integriti, Zaid sudah hilang itu semua. Banyak kenyataan beliau mengundang kemarahan ramai. Salah satunya, Awang masih ingat bagaimana Zaid pernah menggesa Yang di-Pertuan Agong campur tangan dengan tidak melantik Mohd. Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) sebagai Perdana Menteri. Sekiranya Zaid mendokong demokrasi seperti dilaung-laungkan, beliau tidak sepatutnya berbuat demikian.

Kini Zaid menjadi hulubalang kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang berdepan dengan satu lagi kes liwat, isu campur tangan asing dan pembohongan yang serius. Anwar diketahui ghairah mendapatkan sokongan bukan Melayu dengan cara menggugat struktur politik Melayu, yang menjadi tunjang selama ini. Zaid nampaknya gembira untuk berada dalam sistem seperti itu. Awang tidak kisah kalau beliau dalam golongan Melayu liberal dan mengamalkan gaya hidup tersendiri tetapi janganlah musnahkan Melayu kerana politik. Jika Zaid bijaksana, mengapa tidak memperbetulkan banyak kepincangan dalam pembangkang terutama PKR. Mengapa beliau boleh menerima pemimpin bermasalah besar seperti Anwar sedangkan puluhan pemimpin PKR sudah meninggalkannya atas prinsip kebenaran? Pemimpin diangkat dan diikut atas akhlak dan kebolehannya. Lalu Awang boleh mengerti mengapa Zaid tidak mendapat sokongan akar umbi termasuk ketika berada bersama UMNO. Memang beliau pemimpin yang bermasalah. Celaru identiti dan celaru jiwa

Nik Aziz, Sultan Selangor dan Kickdefella

TITAH Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau negeri itu diminta tidak datang ke Selangor mendapat maklum balas segera beberapa penulis.

Pendedahan Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang menerima RM4 juta untuk memburukkan pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mendapat perhatian beberapa penulis.

Mohd. Zakhir Mohamed dalam Big Dog (bigdogdotcom.wordpress.com) berkata, tindakan Nik Aziz dan pemimpin Pas yang terus berceramah politik di masjid dan surau walaupun ada titah larangan menunjukkan Pas tidak pernah menghormati undang-undang dan kedudukan sultan sebagai Ketua Agama.

Katanya, lebih buruk lagi apabila Pas menggunakan tempat ibadah umat Islam itu sebagai 'pentas politik' untuk menabur fitnah dan menanam perasaan benci terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN).

"Kegagalan dengan ingkar kepada baginda Tuanku Sultan sebagai Ketua Negeri dan menggunakan masjid dan surau bagi tujuan 'politik songsang' menunjukkan jelas bahawa Pas hanya memperkudakan Islam bagi tujuan kerakusan politik dan mengekalkan kuasa.

"Kami berharap tindakan sewajar diambil ke atas Nik Aziz, Dr. Hassan (Ali) dan pemimpin Pas lain yang bukan sahaja ingkar titah larangan Tuanku Sultan, malah mengeluarkan kenyataan mengeliru dan memperlekehkan Tuanku Sultan dan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama dan berkuasa mutlak dalam negeri atas domain agama Islam (sebagaimana diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri)," katanya.

Dr. Novandri Hassan Basri dalam Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com) berkata, walaupun Sultan Selangor tidak menyebut nama pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan larangan tersebut, tetapi ia cukup jelas ditujukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nik Aziz telah menimbulkan kemurkaan Sultan negeri lain. Di Kelantan sendiri, sultan kecewa dengan Nik Aziz!

"Penulis pasti penyokong-penyokong Pas di Hulu Selangor dan Selangor berasa kecewa dengan gelagat Nik Aziz yang masuk ke negeri mereka dan memporak-perandakan serta mengingkari arahan awal yang telah diberikan sebelum Sultan Selangor masuk campur," katanya.

Katanya, nyatalah bahawa kedatangan Nik Aziz di Selangor ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tempoh hari menjadi liabiliti untuk pakatan pembangkang.

Penulis blog Paneh Miang (panehmiang.blogspot.com) pula berkata, amaran oleh Sultan Selangor itu menggambarkan perasaan resah gelisah dan gusar di peringkat Raja-raja Melayu tentang senario politik Pas.

"Ingatlah anak banjar yang namanya Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa Sultan Selangor telah murka, kerana saudara ingkar dalam hakam dunia fana ini.

"Ingatlah anak Jawa yang namanya Hassan Ali, bahawa saudara sedang diintai kerana tidak makan saman," katanya.

Blog ini berkata, amaran itu juga ditujukan kepada para penceramah Pas yang mencari rezeki daripada kuliah-kuliah agama di mana sahaja di Selangor.

Mengenai dakwaan Kickdefella, Al-Azzharri Sidiq dalam Jentayuabaka (jentayuabaka.blogspot.com) berkata, Husam Musa perlu menjawabnya kerana jika tidak akan memburukkan lagi kepimpinan Nik Aziz yang semakin terdedah segala kepincangannya.

"Jawablah Husam siapakah pemberi dana sebesar itu? Syarikat Permodalan MB Kelantankah? IKD yang disponsor oleh kumpulan Yahudi Israelkah?

"Akan banyak timbul tanda tanya, atau dari Husam sendirikah yang pernah digelar individu Pas paling kaya di Malaysia? Ataukah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang sekarang lari ke Oslo, Norway membiarkan Zaid Ibrahim terkontang-kontang sekarang ini," katanya.

Beliau berkata, Kickdefella perlu berani mendedahkan segala penyelewengan dan kepincangan tersebut agar masyarakat dapat melihat wajah sebenar mereka.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

Kekalkan institusi simbol kedaulatan agama, bangsa

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

ISLAM tidak menghapuskan sistem beraja tetapi mengintegrasikannya kepada satu sistem yang lebih komprehensif dan praktikal. Unsur-unsur khurafat yang diamalkan oleh golongan-golongan bangsawan sebelum kehadiran Islam telah dihapuskan.

Sejarah menunjukkan bahawa kekuatan Islam di rantau Asia Tenggara terutamanya di Melaka semasa abad ke-15 adalah berasaskan kepada kegigihan raja-raja Melayu Islam mengintegrasikan sistem kehidupan Islam secara menyeluruh. Daripada sudut geografi, Kesultanan Melayu Melaka wujud lebih kurang 1400-1511 Masihi. Tanah Melayu terutamanya pada awal abad ke-15 terkenal dengan Tamadun Melayu Islam yang gemilang.

Berdasarkan kepada fakta sejarah maka sultan atau raja Melayu merupakan simbol kepada agama Islam kerana penglibatan mereka secara aktif dalam hal ehwal agama. Kewibawaan dan kekuatan sistem beraja adalah berdasarkan kepada tugas dan peranan mereka dalam menaikkan imej atau kewibawaan Islam.

Sejarah menunjukkan bahawa hubungan sultan dan alim ulama adalah terlalu akrab kerana alim ulama merupakan penasihat kepada raja dalam hal ehwal perundangan Islam. Hubungan yang rapat di antara ulama dan raja menyebabkan rakyat beranggapan bahawa raja adalah pelindung rakyat dan agama. Oleh itu, orang Melayu amat menghormati raja kerana keperibadian dan tingkah laku mereka menepati ciri-ciri kepimpinan Islam.

Apabila Tanah Melayu dijajah oleh kuasa Barat, raja atau sultan masih diberi mandat untuk mempertahankan adat istiadat Melayu dan agama. Ketika itu, bidang kuasa sultan adalah terlalu terbatas kerana penjajah hanya memberi mandat kepada sultan mengendalikan urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam berkaitan dengan perundangan peribadi seperti perkahwinan, zakat dan seumpamanya.

Setelah merdeka, umat Islam secara beransur-ansur memperkenalkan kembali sistem perundangan Islam dengan lebih sistematik. Sultan diberi kuasa untuk mengesahkan setiap perundangan berkaitan dengan Mahkamah Syariah dan bidang-bidang tertentu yang diperuntukan oleh negara.

Hak-hak yang diberikan kepada sultan dalam hal ehwal keagamaan dan kewibawaan Islam sepatutnya dihormati kerana dalam realiti kehidupan dalam era globalisasi, kedudukan agama adalah terlalu rapuh kerana salah satu daripada ciri globalisasi ialah penghapusan tradisi masyarakat beragama. Oleh itu, amat penting institusi agama
diperkukuhkan di bawah naungan sultan atau raja.

Para ulama dan masyarakat Islam sepatutnya mempertahankan kedudukan raja dan sultan demi memperkukuhkan institusi agama yang sering dicabar oleh pelbagai cabaran dari dalam dan luar. Sultan dan raja Melayu sepatutnya bermuhasabah diri dan melihat sejauh manakah mereka telah mengintegrasikan corak kehidupan berasaskan ajaran Islam demi meyakinkan masyarakat Islam bahawa institusi raja dapat menjamin kewibawaan dan kekuatan Islam.

Dalam era globalisasi juga, manusia lebih menumpukan perhatian kepada perkara-perkara berbentuk material daripada spiritual. Mereka kurang peka terhadap institusi agama dan raja. Konsep kehidupan yang berunsurkan hak dan kebebasan individu menjadi prinsip hidup masyarakat kini.

Oleh itu, mereka gemar menentang sesuatu yang berbentuk institusi sama ada agama atau raja. Perkara begini semakin hari kian mempengaruhi jiwa masyarakat Islam sehingga mereka sanggup menunjukkan sikap negatif terhadap Perlembagaan yang mempertahankan institusi-institusi yang dianggap tidak penting dalam kehidupan mereka, sedangkan institusi tersebut merupakan satu kekuatan umat Islam untuk mempertahankan kewibawaan Islam dalam era globalisasi.

Umat Islam perlu diberi kefahaman yang jelas mengenai Perlembagaan negara dalam mempertahankan kedudukan Islam. Kejahilan terhadap fakta sejarah dan Perlembagaan negara boleh menyebabkan umat Islam semakin hari kian hilang hak dan kewibawaan.

Hubungan para ulama dan raja sepatutnya diperkukuhkan bagi memudahkan umat Islam melaksanakan perundangan Islam dan menyelesaikan permasalahan berkaitan dengan Mahkamah Syariah.

Ulama dan raja sepatutnya mempunyai fikrah yang sama dalam menyelesaikan setiap aspek berkaitan dengan urusan umat Islam supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan dan kurang keyakinan masyarakat Islam terhadap institusi agama dan raja.

Oleh itu, perkukuhkan hak institusi raja supaya agama Islam kekal menjadi agama rasmi negara dan perundangan Islam yang lebih komprehensif dan universal dapat dilaksanakan dalam negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

APA KATA MEREKA.........

PAS Hina Sultan atau Umno Yang Maki Sultan?
Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat Umno kini semakin terdesak untuk menarik perhatian rakyat dan Sultan khususnya di Kedah. Mereka mendendangkan lagu "PAS hina Sultan Kedah" hanya kerana mereka kini sudah ketandusan isu untuk menyerang Kerajaan Pakatan Kedah.

Adun PAS Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustafa membangkitkan dua soalan dibawah ini dalam sidang Dun?

1. Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat?

2.Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?

Rakyat yang membaca soalan ini pasti akan ketawa melihat reaksi Umno yang begitu panik dan culas dalam membuat bantahan.

Soalan pertama jelas sebagai sindiran kepada Kerajaan Persekutuan yang ditadbir BN kerana begitu sibuk mencampuri hal ehwal urusan Agama Islam di Kedah. Nasir membuat soalan ini selepas mendapat laporan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom mengunakan JAKIM untuk memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah mengadapnya dalam satu program di SP Inn pada 4 April 2010.

Jadi beliau mahu tahu sejauh manakah kuasa Kerajaan Persekutuan dalam hal ini berbanding kuasa Sultan yang menaungi segala program dan aktiviti keagamaan di negeri Kedah.

Soalan kedua jelas menunjukan bahawa beliau mahu satu penjelasan dari pihak Kerajaan berhubung bidang kuasa Kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal Islam dinegeri berkenaan sebagai memudahkan rakyat dikawasannya dan diseluruh negeri melihat kuasa-kuasa Kerajaan negeri dan Sultan dalam urusan berkaitan.

Ini adalah satu cara untuk mendidik rakyat melihat hak pemimpin mereka ke atas agama dan diri mereka serta hak mereka terhadap pemimpin mereka.

Dalam kedua-dua soalan ini PAS tidak nampak sebarang unsur penghinaan kepada Sultan dan Umno jelas memutar belitkan fakta sebenar lantaran kedangkalan mereka sendiri.

Rakyat tidak lupa sejarah Umno menghina Sultan-sultan selama ini;

* Pada tahun 1991 dalam Persidangan Agung Umno, Sultan Kelantan dihentam secara terbuka kerana menyebabkan Umno kalah di Kelantan.

* Tahun 1983, Umno membelasah Raja-Raja Melayu di Parlimen kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang DiPertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan.

* Umno turut berdemo dan menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan sebagai tanda protes serta mendesak harta DiRaja disiasat.

* Umno juga cuba merampas kuasa dengan menabalkan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti Sultan Ismail Putera pada 29hb April 1993 di Ketereh Kelantan.

* Dato’ Zahid Hamidi yang menjadi Ketua Pemuda Umno ketika itu mencabar supaya Sultan Kelantan Ismail Petra turun takhta.

* Pada 2008 Umno Terengganu mengumpulkan ahli-ahlinya untuk berdemo membantah tindakan Sultan yang kini menjadi Yang DiPertuan Agong kerana memilih Dato’ Mohd Said sebagai Menteri Besar dan menolak cadangan Umno yang mahukan Datuk Idris Jusoh dilantik semula. Kain rentang menghina Sultan dan memanggil baginda sebagai "Binatang" diarak dalam demontrasi itu.

* Pada tahun yang sama Perlis menyaksikan Sultannya di boikot oleh Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kasim yang ditolak Istana dalam Istiadat perlantikan Menteri Besar Baru, Datuk Seri Mohd Isa Sabu.

Banyak lagi kisah-kisah penderhakaan Umno yang tidak pernah serik memaki hamun Sultan hingga ke hari ini. Ternyata sikap PAS dan Umno terhadap Istana begitu jauh berbeza.

Umno menganggap tindakan PAS yang bertanya secara baik dalam DUN sebagai menghina Sultan dan dalam masa yang sama mereka menganggap tindakan mereka memaki Sultan sebagai teguran kepada Istana.

Rakyat perlu melihat perkara ini dan memahami bahawa mereka bukanlah rakyat yang bodoh, yang tidak pandai membezakan soalan atau makian.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Salmah & Muhd Yusri
KOTA BHARU, 29 April: Menjelang pilihan raya umum ke-12, Global Media Channel (GMC) diwujudkan lengkap dengan pasukan petugas media bagi menjawab isu semasa yang dibangkitkan pemimpin Umno.

Namun syarikat itu tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri dan PAS Kelantan.

GMC lengkap dengan bilik sidang media dan peralatan audio visual yang canggih. Pejabatnya menumpang di bahagian bawah bangunan tiga tingkat milik sebuah yayasan.

Ketika itu Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang lebih dikenali sebagai Kickdeffela diberi amanah mengetuai GMC.

Menurut sumber, Azidi diberi tanggungjawab mengendalikan GMC kerana dikata orang ada kepakaran dalam bidang berkaitan.

”Namun hampir dua tahun beroperasi GMC bermasalah sehingga seorang demi seorang kakitangan berhenti kerja sehingga ada yang membawa diri ke Kuala Lumpur.

”Mereka tidak senang dengan cara pengurusan yang diketuai Syed Azidi dan isterinya. Ramai yang tidak dapat mendapat gaji, sedangkan pada peringkat awal ada pihak memberi modal bagi mengurus operasi GMC.

”Persoalan mengapa syarikat itu kini lingkup, ke mana duit peruntukan yang disumbang pelbagai pihak. Kita bimbang berlaku silap urus sehingga GMC berkubur,” kata sumber berkenaan.

Sebuah akhbar hari ini memetik blog milik Azidi yang mendakwa beliau menerima RM4 juta bagi melemahkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri dan memperkuatkan PAS Kelantan.

Sumber itu berkata, sepatutnya satu siasatan dilakukan kerana amanah yang diberi untuk mengurus GMC akhirnya lingkup di tengah jalan.

Ditanya mengenai dakwaan sebanyak RM4 juta diberi pihak tertentu kepada Azidi, katanya, hanya dia yang sahaja tahu kedudukan sebenar sama ada betul atau sebaliknya.

Mengenai dakwaan Azidi mengatakan dia banyak membantu PAS mempertahankan Kelantan pada pilihan raya tersebut kata sumber terbabit, tidak ada asas untuk menyokong kenyataan itu.

Katanya, rata-rata pemimpin PAS di Kelantan pun tidak tahu kewujudan GMC ketika itu sehingga dikatakan Azidi kononnya memainkan peranan untuk melemahkan kepimpinan Pak Lah.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataannya sebelum ini yang mencabar penulis blog Kickdefella membuat laporan polis berhubung tuduhannya terhadap kerajaan negeri dan PAS tidak ada kaitan dengan jawatannya sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.

“Suka saya memaklumkan kenyataan saya baru-baru ini yang mencabar beliau membuat laporan polis dibuat di atas nama Dewan Pemuda PAS Kelantan dan tiada kaitan langsung dengan posisi saya di Pejabat Menteri Besar,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.