Pages

Subscribe:

30 April, 2010

[hang nadim] Upah Fitnah 4 juta.........





APA YANG DI CABAR....
Syed Azidi sahut cabaran Dewan Pemuda Pas
KOTA BHARU 30 April - Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz bersedia menyahut cabaran Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari untuk mendedahkan individu yang memberikan wang lebih RM 4juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi memburukkan kepimpinan, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang merupakan penulis blog Kickdefella bagaimanapun berkata, pendedahan tersebut tidak perlu dilakukan secara terburu-buru dan bila tiba masanya beliau akan dedahkan kesemuanya.

Bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menempelak Ahmad Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan kerana membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti tersebut.

"Saya menanti Setiausaha Akhbar Menteri Besar membawa isu ini kepada 'pimpinan parti' dan jika 'pimpinan parti' bersependapat dengan beliau bahawa saya perlu dedahkan nama individu-individu tersebut, diharap Setiausaha Akhbar Menteri Besar akan dapat membuat pengumumannya.

"Isu pokok di sini ialah golongan ini mempertikaikan sumbangan saya selepas tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan Kelantan dan saya akan dedahkan siapa yang memberi dan bagaimana wang ini digunakan apabila tiba masanya nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang memintanya supaya membuat pendedahan siapa penyumbang peruntukan menjalankan operasi gerak saraf untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, blogger tersebut mengakui menerima peruntukan sebanyak RM4 juta untuk melakukan operasi gerak saraf tersebut seterusnya mempermudahkan bagi Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Bagaimanapun Kerajaan Pas Kelantan sehingga sekarang tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu malah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas ketika ditemui media semalam.

Operasi tersebut dipercayai dilakukan oleh Syed Azidi melalui sebuah syarikat, Global Media Channel (GMC) Sdn. Bhd. yang diterajui beberapa pemimpin Pas termasuk sayap parti tersebut.

Syed Azidi dalam tulisan terbarunya hari ini turut membidas sebuah blog, Tulang Besi yang menyatakan beliau dibela oleh pihak tertentu.

"Saya telah didakwa sebagai Spy Mahathir, Agen UMNO, Ketua Task Force 13, Agen CIA, FBI dan Mossad.

''Setidak-tidaknya, kemukakan hitam putihnya. Saya pasti ramai yang ingin melihat buktinya. Saya pun sama. Hendak juga saya tuntut gaji dan elaun dari 'majikan' saya itu," katanya.

Sementara itu, Syed Azidi berkata, beliau belum bersedia menemui Abdullah dalam masa terdekat kerana bimbang akan menimbulkan perspektif negatif.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pak Lah tetapi saya belum bersedia bertemu beliau, dalam Islam kita perlu menghindari perkara yang boleh menimbulkan fitnah disebabkan itu saya mengambil keputusan ini.

"Masanya tidak sesuai sekarang, jika saya bertemu dengannya orang mungkin akan mengatakan saya dibayar oleh beliau dan macam-macam fitnah lagi akan timbul, jadi saya tidak mahu perkara ini timbul," jelasnya.

Siasat sumber wang RM4j kepada Kickdefella
KOTA BHARU 30 April - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menggesa pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara menyiasat sumber wang RM4 juta yang didakwa diberikan oleh kepimpinan Pas Kelantan kepada seorang penulis blog untuk digunakan bagi memburukkan kerajaan Pusat.

Tegas beliau, hanya ada dua sumber wang itu boleh diperolehi di negeri itu sama ada menerusi komisen pembalakan atau derma yang diberikan oleh pihak swasta.

"Sekarang saya nak tanya duit ini dari mana, adakah diberikan oleh kerajaan negeri atau agensinya atau pun oleh sumbangan orang luar.

"Kalau ia daripada agensi atau pun kerajaan, maka ia perlu disiasat oleh Jabatan Audit Negara untuk memastikan ia disalurkan secara telus atau pun tidak," tegasnya ketika Majlis Kesyukuran Dua Tahun Sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas yang dianjurkan penduduk Kampung Tendong di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz seperti yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia semalam mengenai peruntukan RM4 juta yang diterimanya.

Syed Azidi dilaporkan berkata, wang tersebut diberikan kepadanya untuk melakukan 'Operasi Gerak Saraf' yang bertujuan memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan Pas terus memerintah Kelantan.

Ibrahim berkata, jika benar perkara tersebut berlaku, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerajaan Pas Kelantan ketika masih ramai rakyat negeri itu dibelenggu kemiskinan.

Tegasnya, wang berkenaan sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat dan memajukan negeri, bukannya untuk memburukkan orang lain.

"Kalau pun ada duit itu, baik guna untuk rakyat. Kalau RM4 juta ini diberikan kepada 100 sekolah agama rakyat (SAR), maka ada 40 buah sekolah akan menerima manfaat.

"Kita tengok sekarang ini banyak sangat SAR yang daif dengan keadaan bilik guru besar, bilik guru dan bangunannya sangat teruk. Gaji pula hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," tambah beliau.

APA KATA MEREKA.......

Hanya RM4 juta, murahnya nak jatuhkan PM kita
http://cetusan-hati.blogspot.com
Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM 4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4juta PM boleh jatuh, ia cukup murah.

Apa sebab mahal dan apa pula sebab murah?

PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

Seorang petugas tegar UMNO seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu.

Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?

UMNO Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan UMNO Kelantan. Empat juta.

Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja UMNO belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan UMNO satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

Rupanya tak susah sangat nak tewaskan UMNO Kelantan dan kalau dengan empat juta UMNO satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki UMNO seluruh Malaysia. Rasanya UMNO akan kecut.

Dunia blogger ada indahnya.

Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja.

Setahu saya, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita.

Saya pun tak tahu sangat apa beza gerak saraf perang saraf dan operasi berkaitan saraf.

Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan UMNO tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang UMNO yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!

Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat.

Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kanan Kerajaan Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.