Pages

Subscribe:

27 April, 2012

[hang nadim] Jangan Bersekongkol dengan Pejuang Kezaliman.....

Jangan bersekongkol dengan pejuang kezaliman

KENAPA TIDAK DI STADIUM?
KUALA LUMPUR 26 April - Umat Islam ditegah bersekongkol dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kezaliman dan maksiat seperti pengamal, pejuang termasuk penyokong aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Malah, seorang tokoh ulama muda meletakkan hukuman yang cukup keras dengan menyatakan adalah haram bagi umat Islam daripada terlibat di dalam sebarang majlis atau program diketuai seorang pejuang LGBT kerana seks songsang merupakan perbuatan jijik lagi hina di sisi Islam.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, wajib setiap umat Islam mengelakkan diri daripada terjebak dengan perhimpunan Bersih 3.0 kerana pengerusinya Datuk S. Ambiga seorang penyokong tegar LGBT, selain menyokong aktiviti memurtadkan umat Islam.
‘‘Atas sebab itu saya amat hairan bagaimana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewajibkan semua ahli Pas terlibat dengan perhimpunan itu. Bukankah himpunan seperti ini mengundang syubhah?
‘‘Bukankah menurut Islam perkara-perkara syubhah wajar ditinggalkan. Tidakkah umat Islam sedar ketua perhimpunan ini iaitu Ambiga merupakan pejuang LGBT dan murtad,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang menyatakan haram bagi umat Islam menyokong Ambiga kerana Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) itu merupakan pejuang tegar amalan seks songsang di negara ini.
Menyentuh isu sama, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, di dalam al-Quran ayat 113 surah al-Hud, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya cenderung terhadap mereka yang melibatkan kezaliman.
Maksud perbuatan zalim katanya, termasuk mereka yang menyokong dan melakukan perkara-perkara maksiat seperti amalan seks songsang.
‘‘Berdasarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, maksud cenderung itu adalah Allah melarang umat Islam bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan mereka yang melakukan kezaliman dalam apa jua bentuk terutama golongan menjadi musuh Islam dan umat Islam.
‘‘Di dalam ayat tersebut dinyatakan juga kesan daripada perbuatan itu yang mana Allah akan mencampakkan mereka ke dalam api neraka,’’ katanya.
Seorang ahli akademik, Dr. Yusoff Mohamad ketika mengulas isu sama berkata, perhimpunan Bersih 3.0 yang diketuai oleh Ambiga boleh menimbulkan huru-hara di ibu kota.
Selain itu, beliau berkata, perhimpunan tersebut juga merupakan bukti kejayaan Ambiga memperbodoh-bodohkan orang Melayu kerana tujuannya hanyalah semata-mata politik.
Tokoh agama yang juga Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa‘amah berpendapat, kenyataan Nik Abdul Aziz meminta orang ramai menyertai perhimpunan itu sangat bertentangan dengan ajaran Islam kerana seruan beliau boleh meletakkan negara dalam keadaan tidak selamat.
“Bersih ini bukan bersih tetapi kotor dan wajib ditentang kerana ia mahu menjatuhkan kerajaan yang sah secara tidak betul.
“Jangan ikut, ini racun Yahudi yang hendak merosakkan umat Islam dan negara Islam sebagaimana mereka lakukan di Mesir, Libya, Afghanistan dan sekarang jarum mereka tujukan kepada Malaysia," katanya.
http://www.utusan.com.my
More Sharing Service

Tunku Abdul Aziz bantah Bersih 3.0

KUALA LUMPUR 26 April - Seorang ahli Dewan Negara daripada DAP menggemparkan sesi sidang dewan apabila secara terbuka menyatakan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
Ahli Dewan Negara berkenaan, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) yang juga Naib Pengerusi DAP menyatakan pendirian tersebut ketika bangun berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sesi tengah hari ini.
Tegas beliau, bantahan itu berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.
‘‘Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya.
‘‘Saya secara rekod, saya bantah, tak sokong Bersih," katanya.
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, beliau menjelaskan bantahan itu adalah pendirian peribadinya atas dasar pengalaman sebelum ini.
‘‘Berdasarkan pengalaman saya, mana-mana demonstrasi bermula dengan niat aman dan tiada siapa mahu menimbulkan keadaan huru-hara. Tetapi dalam banyak kes, apa yang dikatakan aman ini bertukar menjadi ganas.
‘‘Saya ingin bertanya siapa yang akan bertanggungjawab kalau sesuatu berlaku? Penganjur dan pihak terlibat mungkin tidak akan berada di sana. Siapa yang akan menjaga mangsa yang terkorban dan cedera? Matlamatnya adalah untuk menyalahkan pihak berkuasa dan ini adalah tidak adil.
‘‘Saya telah memberitahu pimpinan DAP, saya membantah (Bersih) di atas prinsip peribadi dan apa parti hendak buat, itu adalah keputusan parti," tegasnya.
Beliau berkata, apa jua bantahan pasti ada cara penyelesaiannya tanpa perlu mengadakan demonstrasi di jalanan.
‘‘Idea asal semua ini adalah untuk mengadakan protes tidak kira di mana ia diadakan. Jika DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang merupakan pemilik kawasan (Dataran Merdeka) tidak membenarkan, apa yang boleh mereka lakukan? Mereka akan pergi juga? Ini adalah tidak bertanggungjawab.
‘‘Mungkin undang-undang itu dikatakan tidak baik tetapi ada saluran lain melalui Parlimen untuk mengubahnya. Jangan melanggar undang- undang. Penentangan saya terhadap demonstrasi seperti ini adalah kerana kita menggalakkan orang ramai untuk melanggar undang-undang sedangkan kita yang sepatutnya menjadi pembuat undang-undang. Ada percanggahan di sini," katanya.
Jelas Tunku Abdul Aziz, beliau tidak menentang sebarang bentuk perhimpunan yang telah disediakan peruntukan hak mengenainya dan selagi ia mematuhi undang-undang.
‘‘Saya ingin bertanyakan, siapa yang bertanggungjawab mengenai keselamatan di negara ini? Ia adalah polis. Apa yang perlu dibuat adalah berunding dengan polis dan sekiranya polis menasihatkan untuk menukar laluan dan tempat berhimpun, itu adalah apa yang dilakukan kerana polis adalah pihak berkuasa keselamatan," tegas beliau.
Ketika ditanya mengenai pendirian pemimpin pembangkang lain mengenai perhimpunan Bersih 3.0, beliau berkata :
‘‘Saya tidak tahu tetapi ini adalah kepercayaan peribadi saya. Kita mungkin datang daripada mana-mana parti tetapi ia tidak bermakna kita boleh meninggalkan kesedaran kita, sesetengah perkara kita sokong tetapi ada perkara yang kita mesti menentang."



Ghairah berpolitik pinggir adab Islam

keteguhan yang terpancar dalam saf ketika solat berjemaah, sewajarnya begitulah juga kesatuan umat Islam. - Gambar hiasan
SETELAH musim pilihan raya kecil terhenti kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah pun melampaui tempoh tiga tahun, cakap-cakap politik kembali rancak kerana pelbagai spekulasi timbul tentang pilihan raya umum yang mesti dilakukan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
Pilihan raya umum kali ini seperti pilihan raya-pilihan raya terdahulu, sudah pasti akan mencetuskan persaingan sengit antara parti bertanding bagi tujuan merebut kerusi itu.
Kebiasaannya, tidak akan ketinggalan kempen mencemuh pihak lawan sebagai cara meraih undi parti yang bertanding.
Acap kali persoalan akhlak, peribadi dan sebagainya mendapat perhatian istimewa di kalangan orang yang bertanding.
Tidak dapat dinafikan politik adalah sebahagian daripada Islam. Islam tidak menyisih politik daripada pemantauan agama. Rasulullah sendiri sangat mahir berpolitik sehingga dapat menyatukan umat Arab yang bertelingkah antara satu sama lain selama beberapa kurun.
Walaupun politik sebahagian daripada Islam, umat Islam kini seolah-olah menganggap politik adalah segala-galanya. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan terdapat segelintir yang berpandangan bahawa saluran politik saja yang dapat menegakkan agama Islam di Malaysia.
Pada pandangan saya, arena politik hendaklah bersama-sama saluran lain seperti dakwah, kemasyarakatan, perundangan, pendidikan, ekonomi dan moral memartabatkan Islam.
Politik sahaja mungkin tidak akan dapat mencapai standard negara Islam yang diacu oleh Rasulullah. Apa yang menyedihkan, hari ini umat Islam terlalu banyak berpolitik. Apa saja yang berlaku, neraca digunakan bagi memberi justifikasi adalah neraca politik. Hatta dalam warna berpakaian pun neraca politik digunakan melihat kepada warna serta gaya pemakaian.
Inilah yang menyebabkan apabila satu pihak mengambil sesuatu pendekatan, pihak satu lagi pasti tidak bersetuju dan mengambil pendekatan berlainan. Ia dilakukan semata-mata kerana ingin berbeza dengan parti lawan.
Natijahnya, pembangunan Islam itu sendiri akan dikesampingkan, malah pembangunan negara juga tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana pemimpin lebih sibuk memikirkan hal politik berbanding pembangunan negara.
Amat sedih juga apabila diperhatikan dalam hal ehwal Islam seperti isu-isu yang berkaitan akidah, pemimpin Islam bertelagah serta berbeza pendapat.
Bukan setakat berbeza pandangan tetapi memburukkan pihak lain yang tidak sependapat dengan mereka. Masing-masing mengatakan mereka yang benar dan pihak lain itu salah.
Isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam umpamanya adalah tamsilan yang nyata pemimpin politik meletakkan politik mengatasi kepentingan Islam.
Begitu juga dalam hal orang bukan Islam memasuki dan berceramah di surau yang menimbulkan perbahasan sehingga orang yang tidak mempunyai pengetahuan agama pun memberi pandangan akal mereka.
Seharusnya para ulama perlu menzahirkan teladan permuafakatan di dalam sesuatu isu agama dan berpegang kepada prinsip selagi isu tersebut bukan merupakan suatu isu yang asas maka perbezaan pandangan adalah diraikan.
Malah, dalam isu penggunaan wang hasil judi diberikan kepada warga emas Islam juga menjadi pertikaian antara parti politik. Hasilnya, Islam dilihat sebagai tidak seragam dan mengelirukan.
Perbezaan tersebut sepatutnya diraikan dengan hikmah berdasarkan adab ikhtilaf yang digariskan ulama terdahulu.
Apa yang berlaku hari ini, kelapangan dada menerima pandangan berbeza itu sudah hilang dan adab berbeza pandangan sudah terlalu nadir.
Apabila seseorang itu berbeza pandangan, khususnya membabitkan persoalan politik, orang itu dicemuh dan dikritik secara melulu seolah-olah tiada sebarang manfaatnya. Perkara sedemikian berlaku kerana umat Islam meletakkan persoalan politik mengatasi ajaran Islam itu sendiri.
Prinsip hukum syarak yang mengajak kepada kehalusan budi dalam berbeza pandangan diketepikan dan objektif utama ialah untuk berada di puncak kekuasaan.
Pendekatan sebegini hanya merugikan orang Islam. Sebagai orang Islam, walau apapun pegangan politik, Islam hendaklah diutamakan. Jika sesuatu itu dilakukan memberi kebaikan kepada agama dan negara, ia hendaklah disokong tanpa mengira siapa yang menzahirkan idea itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.