Pages

Subscribe:

14 April, 2012

[hang nadim] Tuntutan menjaga lisan
















ANTARA punca utama anak Adam terjerumus ke lembah maksiat ialah mereka tidak menjaga dua perkara iaitu lidah dan kemaluan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mampu menjaga apa yang terdapat di antara dua janggutnya dan apa yang ada di antara dua kakinya, maka aku jamin akan masuk syurga.” (Muttafaqun ‘alaih)
Kemaksiatan yang ditimbulkan daripada kemaluan adalah zina dan kemaksiatan yang ditimbulkan oleh lisan adalah dusta.Dengan lisannya seseorang mengucapkan kata-kata tanpa pertimbangan dan difikirkan hingga menimbulkan fitnah dan kemudaratan bagi dirinya mahupun orang lain.

Jelaslah antara faktor keselamatan seseorang hamba bergantung kepada penjagaannya terhadap lisannya. Nabi s.a.w sendiri pernah menasihati Uqbah bin Amir ketika dia bertanya mengenai keselamatan, lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Peliharalah lidahmu, tahanlah tinggal di rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu.’’ (Hadis Riwayat: At Tirmidzi).

Termasuk penyimpangan yang nyata dan banyak terjadi dalam masyarakat kita sekarang adalah melakukan dusta, baik dalam ucapan mahupun perbuatan, dalam jual beli, dalam sumpah dan perjanjian, bahkan menggunakan dusta sebagai unsur dakwah dan menjatuhkan orang kerana kedengkian.

Manusia daripada kalangan orang awam atau yang alim banyak menganggap dusta sebagai kebiasaan yang membudaya dan sukar ditinggalkan. Lebih parah lagi, apabila dusta yang sudah menjadi kebiasaan ini tidak dipedulikan lagi orang awam mahupun golongan alim.

Sesungguhnya, perbuatan dusta termasuk dalam hal yang berbahaya, kerana ia adalah haram yang menyebabkan pelakunya terjerumus ke neraka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kekejian dan kekejian itu menjerumuskan ke neraka. Tidak henti-hentinya seseorang itu berdusta dan membiasakan diri dalam dusta, sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (Muttafaqun ‘alaih).”

Dusta mempunyai beberapa pengaruh buruk, seandainya hal ini disedari pendusta pasti mereka akan meninggalkan tabiat berdusta dan akan kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.

Sebahagian daripada kesan buruk itu:

i. Menyebarkan keraguan kepada dan di antara manusia. Keraguan ertinya bimbang dan resah. Ini bererti seorang pendusta selamanya menjadi sumber keresahan dan keraguan serta menjatuhkan ketenangan orang yang jujur. Bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa-apa yang membuatmu ragu dan ambil apa-apa yang tidak meragukanmu, kerana sesungguhnya kejujuran itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keresahan.” (Hadis Riwayat: Tirmidzi dan An Nasai)

ii. Terjerumusnya seseorang ke dalam salah satu tanda munafik. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Ada empat hal, barangsiapa yang memiliki semua, maka dia munafik sejati. Dan barangsiapa memiliki salah satu daripadanya, bererti dia mempunyai satu jenis sifat munafik hingga dia meninggalkannya, iaitu bila diberi amanah dia khianat, bila berkata dia dusta, bila berjanji dia mengingkari, dan jika berselisih dia berkata kotor.” (Muttafaqun ‘alaih).

Sebagaimana diketahui, orang munafik akan menghuni neraka paling bawah. Sebutan munafik adalah amat berat, mengapa kita berani berdusta dan mempertahankannya padahal ia akan menghantar kita kepada kedudukan buruk lagi hina.

iii. Hilangnya kepercayaan. Sesungguhnya selama dusta tersebar dalam kehidupan masyarakat, hal itu akan menghilangkan kepercayaan di kalangan kaum Muslimin, memutuskan jalinan kasih sayang di antara mereka, sehingga menyebabkan tercegahnya kebaikan dan menjadi penghalang sampainya kebaikan kepada orang yang berhak menerimanya.

iv. Memutarbalikkan kebenaran. Antara akibat buruk dusta adalah memutarbalikkan kebenaran dan membawa berita berlainan dengan fakta, lebih-lebih lagi dilakukan tanpa mencari penjelasan atau tabayyun yang disyariatkan. Hal ini dilakukan kerana pendusta suka merubah kebatilan menjadi kebenaran dan kebenaran menjadi kebatilan dalam pandangan manusia.

Sesungguhnya, pendusta suka menghiasi keburukan sehingga nampak baik dan memburuk-burukkan yang baik sehingga menjadi buruk. Itulah perniagaan pendusta yang mahal harganya menurut pandangan mereka.

Apa saja yang mereka katakan mengenai keburukan seseorang dan apapun pengaruhnya, maka berhati-hatilah terhadap mereka, sama ada yang anda baca daripada mereka ataupun yang anda dengar. Fahamilah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas lagi pendusta.” (Surah Al Mukmin Ayat 28)

v. Pengaruh dusta terhadap anggota badan. Dusta menjalar dari hati ke lidah, maka rosaklah lidah itu, lalu menjalar ke anggota badan, maka rosaklah amal perbuatannya sebagaimana rosaknya lidah dalam berbicara. Jika Allah s.w.t tidak memberikan kesembuhan dalam kejujuran kepada pendusta itu, semakin rosaklah mereka dan menjerumuskan mereka ke arah kehancuran.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kejujuran itu menuntut kepada kebajikan, sedangkan dusta menuntun kepada kedurhakaan.’’ (Muttafaqun ‘alaih).

Itulah sebahagian daripada akibat buruk dusta yang semuanya nampak di dunia dan di sisi Allah balasan bagi pendusta lebih dahsyat dan mengerikan. Jelaslah, pendusta akan berjalan di atas laluan menuju neraka, kerana dengan berdusta bererti ia akan membuka pelbagai pintu keburukan lain. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dusta itu menuju kepada kekejian dan kekejian membawa ke neraka, seseorang yang terus menerus berdusta sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kita hendaklah merenung dan memperhatikan bahaya dusta sehingga takut untuk melakukannya. Antara cara menghindarinya ialah:

i. Tidak bergaul dengan pendusta sebaliknya mencari teman soleh dan jujur.

ii. Mempunyai keyakinan mantap akan bahaya yang ditimbulkannya baik di dunia mahupun di akhirat.

iii. Melatih hati dan lisan untuk selalu berkata secara jujur.

iv. Selalu mengkaji dan mengamalkan al-Qur’an. Semoga Allah menganugerahkan kejujuran kepada kita dalam ucapan dan perbuatan.

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 08 June 2008
http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/91/tuntutan-menjaga-lisan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.