Pages

Subscribe:

22 Oktober, 2013

[hang nadim] Saya tidak sangka masih hidup - Mohd. Akhmar






















MOHD. Akhmar Mat Zin yang terapung di laut hampir dua puluh empat jam di temui oleh sekumpulan nelayan dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 22 Okt. - Umur seorang nelayan yang hilang selepas bot dinaiki bersama empat rakannya terbalik akibat dipukul ombak di perairan berdekatan Kampung 20, Penaga semalam, ternyata masih panjang apabila dia ditemui selamat meskipun hanyut hampir 24 jam di laut.
Mohd. Akhmar Mat Zin, 19, ditemukan terdampar oleh sekumpulan nelayan di Pulau Batu Keramat dekat Tanjung Tokong di sini kira-kira pukul 9 pagi ini sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Ketika menceritakan detik-detik yang hampir meragut nyawanya itu, Mohd. Akhmar yang dalam keadaan keletihan memberitahu, sebaik sahaja bot terbalik, dia berpaut pada sebuah pelampung selama hampir 24 jam.
“Dalam tempoh itu, saya tidak tidur kerana bimbang tangan terlepas daripada pelampung disebabkan tidak boleh berenang selain hanya minum air laut sehingga terdampar di sebuah pulau.
“Saya sendiri tidak sangka masih hidup kerana peluang (hidup) saya hanya 50-50 apatah lagi dalam keadaan laut yang bergelora. Dalam fikiran saya ingat sudah tiada (mati)," katanya.
Mohd. Akhmar berkata, dia gembira apabila nampak sebuah bot nelayan pagi ini dan terus melambai-lambai tangan ke arah bot berkenaan.
“Saya langsung tidak jumpa bot kerana keadaan cuaca tetapi nasib baik pagi ini seorang nelayan dari bot itu nampak saya dan terus mendekati serta beri bantuan sebelum hantar ke hospital," katanya.
Kejadian itu, katanya, tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menjadi nelayan dan berazam untuk belajar berenang bagi mengelak perkara sama berulang.
Dalam kejadian pada pukul 10.35 pagi semalam, Mohd. Akhmar bersama Ridzuan Hashim, 42; Mat Jais Mat, 41; Mamat Basir, 19; dan Asraf Rosli, 15; dalam perjalanan pulang dari laut ke jeti di Kota Kuala Muda, Kedah akibat cuaca buruk.
Ketika berada 250 meter dari pangkalan itu, tiba-tiba bot dinaiki mereka karam selepas dipukul ombak besar menyebabkan kelima-lima nelayan terbabit jatuh ke dalam laut.
Sementara itu, abang mangsa, Hasman Mat Zin, 38, berkata, Mohd. Akhmar merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan suka ke laut biarpun tidak pandai berenang.
“Saya bersyukur dia selamat biarpun kami semua rasakan peluang untuk hidup tipis sebab dia tidak pandai berenang.
“Mujurlah dia pun tidak cedera, cuma keadaannya sedikit lemah kerana terlalu lama berpaut pada pelampung di tengah laut," ujarnya yang bergegas pulang dari Pulau Langkawi petang semalam sebaik sahaja mengetahui tentang kejadian menimpa adiknya itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_22/Saya-tidak-sangka-masih-hidup---Mohd-Akhmar#ixzz2iUgOB500
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.