Pages

Subscribe:

14 November, 2013

[hang nadim]Pengikut--Tuhan-Harun-terus-disiasat.....

KUANTAN 14 Nov. - Keterangan daripada pengikut 'Tuhan Harun' yang diambil setakat ini tidak menunjukkan penglibatan mereka dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, bagaimanapun, pihaknya tetap mahu baki 27 pengikut ajaran sesat itu tampil memberi keterangan seperti mana diarahkan sebelum ini.
"Keterangan kita ambil untuk menentukan sama ada mereka terlibat atau tidak. Namun berdasarkan (keterangan) yang telah diambil tidak ada yang boleh membantu.
"Namun kita masih cari yang lain. Termasuklah ketua mereka (Harun Mat Saad) yang telah dikeluarkan waran tangkap ke atasnya dalam kes yang dikendalikan JAIP.
"Kalau mereka masih tak datang, kita akan cari (untuk menentukan penglibatan dalam kes pembunuhan Ahmad Raffli). Setakat ini tiada tangkapan, kita masih menyiasat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini Ahad lalu.
Kejadian yang berlaku pukul 1.55 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada.
Sementara itu, sumber polis yang dihubungi memaklumkan, suspek utama kes pembunuhan Ahmad Raffli dipercayai masih berada di negeri ini.
Menurutnya, berdasarkan keterangan daripada beberapa saksi yang dipanggil pihaknya yakin suspek utama yang memberi salam sebelum mangsa ditembak masih berada di negeri ini.
"Siasatan masih diteruskan dan usaha memburu suspek masih dipergiatkan. Sehingga kini hasil siasatan menunjukkan perkembangan yang cukup positif.
"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kereta Proton Wira Aeroback yang digunakan ketika kejadian masih belum ditemui," katanya.
Tambah sumber itu, selain empat pengikut 'Tuhan Harun', beberapa pegawai JAIP turut dipanggil untuk diambil keterangan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131115/je_03/Pengikut--Tuhan-Harun-terus-disiasat#ixzz2kfP3oQLj © Utusan Melayu (M) Bhd 

ARKIB : 14/11/2013

2 pengikut Tuhan Harun beri keterangan - Polis


KUANTAN 13 Nov. - Dua pengikut kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai 'Tuhan Harun' tampil memberi keterangan kepada pihak polis semalam bagi membantu kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik.
Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, pihaknya merekod kenyataan kedua-dua lelaki tersebut dan berharap 29 lagi pengikut kumpulan ajaran sesat itu tampil untuk membantu pihak polis.
"Saya harap mereka mendengar nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta serah diri mereka secepat mungkin bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini Ahad lalu.
Kejadian yang berlaku pukul 1.55 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada.
Sehari selepas kejadian tersebut, Khalid meminta seramai 31 pengikut kumpulan ajaran sesat itu menyerah diri bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, pihaknya bersedia membantu JAIP untuk mengesan ketua kumpulan ajaran sesat tersebut, Harun Mat Saat, 47, selepas Mahkamah Rendah Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya hari ini.
Katanya, setakat ini pihaknya belum mengetahui di lokasi sebenar lelaki itu berada dan dipercayai sedang bersembunyi.
"Siasatan bagi kes ajaran sesat berada di bawah bidang kuasa JAIP dan polis hanya akan campur tangan jika bantuan diperlukan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131114/je_01/2-pengikut-Tuhan-Harun-beri-keterangan---Polis#ixzz2kfRID5dX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.