From: "mohd naim mohd zain"
Di sebuah pekan kecil bernama Jilan, tinggal seorang pemuda bernama Abu Salleh, berasal daripada keturunan Imam Hasan ra.
Satu hari, ketika leka bertafakur memikirkan kebesaran Allah SWT di tebing sebatang sungai, pemuda itu ternampak gugusan epal yang dihanyutkan arus sungai.
Disebabkan sangat lapar, beliau mengambil sebiji epal lalu memakannya. Begitupun, dia kesal selepas sedar dia makan epal itu tanpa izin tuannya. Lalu, dia berjalan menyusur sungai itu sehingga terjumpa sebatang pohon epal yang lebat buahnya.
Yakin bahawa itulah pohon yang dicari, dia menemui pemilik pohon epal berkenaan untuk memohon maaf. Pemilik pohon itu sebenarnya wali yang disegani di kawasan itu dan berasal daripada keturunan Imam Husin ra, dikenali sebagai Syeikh Abdullah.
Beliau tertarik pada keikhlasan dan ketakwaan Abu Salleh lalu berhasrat mengujinya dengan mengenakan syarat, Abu Salleh bekerja di ladangnya selama 12 tahun dan tanpa banyak soal Abu Salleh bersetuju dengan syarat itu.
Tamat tempoh 12 tahun, sekali lagi Abu Salleh berjumpa Syeikh Abdullah untuk memohon maaf atas peristiwa lalu. Syeikh Abdullah bersetuju, tetapi beliau mengenakan syarat baru kepada Abu Salleh.
Syeikh Abdullah bersedia memaafkan Abu Salleh seandainya dia menikahi puterinya, seorang yang digambarkan sebagai lumpuh, buta, tuli dan bisu.
Memikirkan balasan di kemudian hari seandainya tidak memperoleh kemaafan, Abu Salleh reda dan bersetuju menikahi puteri Syeikh Abdullah.
Pada malam pernikahan, Abu Salleh masuk ke kamar tidur dan memberi salam kepada isterinya. Melihat seorang wanita cantik di dalam bilik itu, Abu Salleh segera beredar menuju ke tempat Syeikh Abdullah kerana menyangka wanita lain menceroboh masuk ke dalam kamar tidurnya.
Syeikh Abdullah lantas tersenyum dan berkata: “Wahai Abu Salleh, memang itulah puteriku, Ummu Khair Fatimah. Ku katakan dia lumpuh kerana dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat maksiat, buta kerana tidak pernah melihat perkara haram, tuli kerana tidak pernah mendengar perkara khurafat dan bisu kerana tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia.”
Hasil perkahwinan pasangan soleh itu lahirlah seorang wali Allah yang masyhur daripada keturunan Rasulullah SAW, Syeikh Abdul Kadir Jailani. Beliau dikenali dengan gelaran ‘Mahyuddin’ bermaksud ‘Yang Menghidupkan Agama’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.