Pages

Subscribe:

07 Oktober, 2009

Orang Padang 'besar hati' bantuan Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Pusat Rawatan Kemanusiaan Malaysia yang terletak di tengah bandar Padang, Indonesia sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat meskipun media republik itu terus melemparkan pelbagai dakwaan yang mencemar imej negara.

Pusat rawatan yang beroperasi 24 jam itu menerima lebih 100 pesakit setiap hari yang terdiri daripada mangsa gempa bumi serta penduduk kawasan tersebut.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Fauzi Omar berkata, rata-rata masyarakat Padang menerima bantuan kemanusiaan Malaysia dengan perasaan 'besar hati' sejak hari pertama bencana menimpa mereka.

''Tidak ada pula riak di wajah mereka yang menunjukkan tidak suka pada kita. Sebaliknya mereka sangat menghargai serta menghormati negara kita,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Katanya, penduduk Padang lebih selesa mengunjungi Pusat Rawatan Kemanusiaan Malaysia kerana mudah berkomunikasi dengan para petugasnya.

Fauzi juga berkata, usaha mencari rakyat Malaysia yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan bangunan masih dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Jelasnya, sehingga kini belum ada rakyat negara ini dilaporkan terkorban akibat bencana alam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.