Pages

Subscribe:

19 Oktober, 2009

Tiga beranak terima ijazah


Nor Azmi Rahmat bersama Abidah Yahya penerima Sarjana Muda Pendidikan Kepujian Pengurusan Pendidikan dan anak mereka Nurul Syazwani Nor Azmi (tengah) penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Peniagaan (Kewangan) gembira selepas Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
SHAH ALAM 18 Okt. – Ikatan kekeluargaan yang kuat serta semangat untuk berjaya menjadi pendorong kepada tiga beranak mengecap kejayaan apabila mereka bersama-sama menerima ijazah pada istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-71 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau, Kota Kemuning, Nor Azmi Rahmat, 47, dan isterinya, Abidah Yahya, 48, pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan Selangor menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).

Keluarga itu mencatat sejarah tersendiri apabila anak perempuan mereka, Nurul Syazwani, 23, dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan).

Nor Azmi ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu melahirkan rasa syukur dan gembira kerana penat lelah bersama isterinya sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil sekali gus menjadi daya pendorong untuk enam anak mereka mencari ilmu sepanjang hayat.

Malah kejayaan hari ini mengimbau kembali ketika kedua-duanya menerima diploma dari Universiti Pertanian Malaysia pada 1985 dan setelah 24 tahun mereka sekali lagi berada pada majlis konvokesyen untuk pencapaian lebih cemerlang.

Nor Azmi yang memperoleh nilai gred purata (CGPA) 3.43 memberitahu, walaupun sibuk mengikuti kelas dan mengulang kaji pelajaran, namun pelajaran enam anak mereka tidak diabaikan.

‘‘Malah seisi keluarga sentiasa memastikan kebajikan dan pencapaian akademik anak-anak tidak terabai.

‘‘Ini dapat dibuktikan apabila anak sulung kami, Nurul Syazwani berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dan kebetulan berkongsi majlis konvokesyen yang sama dengan kami,” katanya.

Bagi Abidah pula yang memperoleh CGPA 3.68, walaupun sudah 21 tahun meninggalkan kehidupan sebagai pelajar universiti selepas tamat Diploma Sains dengan Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia dulu tetapi semangat untuk melanjutkan pelajaran tidak pernah padam.

Namun, disebabkan masa dan tanggungjawab yang perlu dipikul bagi membesarkan enam anak selain tugas sebagai pegawai teknologi pendidikan membuatkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan seketika.

‘‘Apabila suami pelawa saya untuk bersama-sama dengannya meneruskan pelajaran, saya tidak berfikir panjang terus bersetuju, kebetulan pula anak-anak sudah besar dan majikan juga memberi galakan,” katanya.

Tambahnya, beliau semakin bersemangat untuk mencapai keputusan terbaik mungkin apabila ibunya sendiri Habibah Awang, 65, memberi sokongan padu dan menggalakkan supaya terus menyambung pelajaran.

Selain tiga beranak itu, majlis konvokesyen hari ketiga yang dibahagikan kepada sidang ketiga dan keempat tersebut turut diraikan oleh ahli keluarga 2,225 graduan lagi.

Semua anugerah disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.