02 Februari, 2010
[hangnadim]Jururawat kerjaya mulia
jururawat memerlukan pengorbanan yang begitu tinggi, mereka bukan sahaja bertanggungjawab menjaga pesakit malah perlu memberi layanan yang baik sehingga pesakit benar-benar sembuh. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------
Oleh Zuhayati Yazid
zuhayati.yazid@utusan.com.my
JURURAWAT mungkin dianggap kerjaya biasa yang tiada istimewanya. Sebab itu ada yang tidak menghargai atau menyedari kehadiran mereka sehinggalah salah seorang daripada orang yang kita sayang terlantar di hospital dan memerlukan jagaan rapi setiap ketika. Masa itu barulah kita sedar betapa mulianya mereka yang bergelar jururawat
Mungkin ada yang akan berkata, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk merawat pesakit atau mereka dibayar untuk melakukan tugas-tugas tersebut, Namun realitinya tidak semua daripada kita sanggup melakukannya. Siapa yang sanggup bergelumang dengan nanah dan darah setiap hari. Terpaksa membersihkan najis serta luka pesakit yang ada diantaranya telah reput dan berbau busuk. Tetapi mereka yang bergelar jururawat rela mengetepikan semua itu.
Bukan sahaja ganjaran gaji yang dikejar tetapi juga khidmat bakti kepada masyarakat terutama mereka yang menderita dengan pelbagai penyakit yang memerlukan pemerhatian dan penjagaan rapi. Cuba bayangkan jika tidak ada seorang pun yang sanggup menjadi jururawat kerana geli dan jijik untuk mendekati pesakit.
kerjaya sebagai jururawat memerlukan pengorbanan yang begitu tinggi, mereka bukan sahaja bertanggungjawab menjaga pesakit malah perlu memberi layanan yang baik sehingga pesakit benar-benar sembuh.
Kesabaran menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit pada setiap hari bekerja adalah satu cabaran yang perlu ditangani di samping berperanan menangani kecemasan dalam semua keadaan yang membahayakan nyawa pesakit.
Peranan mereka bukan sekadar membantu doktor sebaliknya perlu melaksanakan kelancaran tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal dengan penuh profesional.
Tidak keterlaluan jika jururawat dikatakan berperanan dalam memastikan kelancaran tugasan doktor dan boleh dianggap sebagai tulang belakang kejayaan sesuatu operasi perubatan.
Bahkan kerjaya yang digelar bidadari suci ini diiktiraf sebagai yang mempunyai masa depan cerah serta menjanjikan pendapatan lumayan.
Di negara ini sejumlah 130,000 jururawat diperlukan menjelang 2020 bagi mencapai nisbah jururawat kepada penduduk iaitu 1:200 ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sehingga kini Malaysia hanya mempunyai 79,742 jururawat di sektor awam dan swasta . Nisbahnya antara pada kadar 1:645. Kerajaan melatih sejumlah 7,000 bakal jururawat setiap tahun.
Sebanyak 107 institusi kejururawatan bertanggungjawab melahirkan jururawat baru setiap tahun, namun ia masih belum mampu menampung keperluan di hospital kerajaan khususnya di Unit Rawatan Koronari (CCU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sebanyak 92 peratus daripada jumlah kekosongan jururawat di negara ini telah diisi dan ia masih tidak memadai kerana kemunculan banyak klinik serta hospital baru selain kemajuan pantas dalam penjagaan kejururawatan.
Itulah realiti bagi kerjaya yang 'terhangat' pada masa kini. Permintaannya semakin meningkat bukan sekadar dalam negara malah mendapat tempat di seberang laut.
Kepercayaan dan keyakinan pihak luar dengan sistem kejururawatan negara tidak boleh disangkal lagi.
Permintaan dari negara-negara Asia Barat sedikit sebanyak 'mencuri' modal insan bergelar jururawat milik negara untuk berhijrah ke sana.
Hakikatnya, ramai yang tidak mengetahui bahawa peluang pekerjaan sebagai jururawat lebih terjamin berbanding bidang-bidang lain.
Kerjaya ini menerima gaji permulaan yang lumayan termasuk elaun dan juga insentif. Malah, kerjaya ini juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sehingga ke doktor falsafah.
Sehubungan itu, kerjaya yang dipenuhi dengan kemungkinan yang tidak berpenghujung, sama ada limpahan ganjaran peribadi mahupun profesional harus dipenuhi segera supaya tiada lopong dalam tenaga kerja kesihatan.
Ekoran kekurangan jururawat global yang permintaannya semakin tinggi, hospital-hospital dan organisasi-organisasi penjagaan kesihatan tidak putus-putus merekrut jururawat terlatih.
Bertepatan dengan keperluan jururawat dalam bidang kesihatan negara, Kolej Lincoln merupakan antara institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang menawarkan kursus dalam bidang kejururawatan.
Ia boleh dianggap sebagai kolej premier dalam menyediakan pendidikan holistik kepada bidang kejururawatan dan kesihatan.
Kolej Lincoln yang ditubuhkan pada tahun 2004 menjadikan bidang sains kesihatan sebagai perniagaan utamanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Lincoln, Prof. Datuk Dr. Badaruddin Nordin, penubuhan kolej ini bertujuan melatih individu menjadi jururawat dan kakitangan terlatih dalam industri kesihatan.
''Melihat kepada kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini mendorong kami menerajui bidang ini yang dianggap mulia dan dianggap tiket ekspres menuju akhirat kerana tugas dan peranannya," katanya.
Tegas Badaruddin, matlamat asal penubuhan kolej ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan menyambung pengajian dan seterusnya berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Memandangkan ramai generasi muda hari ini berminat untuk menyambung pengajian tetapi tiada tempat untuk mereka di IPT, jadi kita memberikan peluang ini melalui kolej ini,''ujarnya.
Katanya, di kolej itu pelajar akan didedahkan dengan proses pembelajaran dan juga latihan praktikal selama tiga tahun oleh tenaga-tenaga pengajar yang berpengalaman.
Pelajar yang mendaftar di Kolej Lincoln juga tidak perlu membuat sebarang bayaran yuran semasa pendaftaran.
''Pada permulaan kami sendiri yang menampung segala keperluan kemasukan pelajar termasuklah tiket bagi pelajar yang jauh, asrama dan juga wang perbelanjaan,'' katanya.
Jelasnya lagi, peluang dalam bidang penjagaan kesihatan adalah besar memandangkan disebabkan permintaan tinggi terhadap jururawat Malaysia di luar negara.
''Di kolej ini, kita memberi satu laluan kerjaya yang bermanfaat dalam bidang industri sains kesihatan termasuk bidang kejururawatan dan juga farmasi kepada generasi muda,'' katanya.
Tegasnya, pelajar yang mendaftar di kolej itu tidak perlu membuat sebarang bayaran tetapi akan diberikan pinjaman untuk tujuan pembelajaran.
''Kita juga menanggung segala perbelanjaan mereka sebelum mendapat pinjaman tersebut termasuklah tempat tinggal, wang perbelanjaan serta wang saku," jelasnya.
Katanya, selain memberi peluang kepada pelajar-pelajar dalam negara ia juga terbuka kepada pelajar di luar negara untuk belajar dalam bidang mulia ini.
"Malah kita berhasrat dalam tempoh terdekat untuk membuka cawangan-cawangan Kolej Lincoln di Kenya, India, Oman, Bahrain dan Australia," ujar beliau.
Jelasnya, pelajar-pelajar yang menuntut di kolej itu juga berpeluang untuk membuat latihan praktikal di dalam dan juga luar negara.
''Ini semua memberi pengalaman baru kepada pelajar serta mampu menyuntik semangat baru dalam hidup mereka supaya terus bersemangat,'' ujarnya.
Selain itu, pelajar yang lulus cemerlang pula mendapat tawaran untuk bekerja di luar negara termasuklah di Arab Saudi dan juga India.
Katanya, sehingga kini, Kolej Lincoln telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan bagi menggunakan hospital-hospital di bawahnya bagi tujuan latihan praktikal para pelajar.
''Kita komited dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti melalui gabungan mantap kakitangan akademik dan bukan akademik,'' ujarnya.
Mereka yang mengikuti pengkhususan ini diberi latihan teori dan praktikal. Penekanan turut diberikan kepada subjek klinikal bagi melahirkan jururawat yang berkebolehan.
Sebagai satu disiplin praktikal, pelajar diberi pendedahan awal kepada pesakit secara berterusan selain berpeluang melakukan penyelidikan kejururawatan dan proses kejururawatan.
Tambah beliau lagi, bagi memastikan para pelajarnya mendapat manfaat daya saing dan kejayaan pelajar, Kolej Lincoln memfokuskan kepada kualiti pengajaran, amalan-amalan mahir dan kemudahan-kemudahan perubatan terkini.
''Kolej ini juga telah melakukan pelaburan yang banyak bagi memastikan kemudahan-kemudahan di fakulti kejururawatan adalah moden dan menepati piawaian tertinggi yang ditetapkan.
'' Kami mempunyai wad simulasi, makmal kemahiran, makmal komputer, bilik praktikal dan juga perpustakaan," katanya.
Untuk keterangan lanjut mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di Kolej Lincoln, sila hubungi 03-78063478 atau email: info@lincoln.edu.my
TIADA SIAPA YANG BOLEH MENGUKIR SEBUAH BAHASA NAN INDAH UNTUK MENYAMPAIKAN UCAPAN KEPADA ANAKANADA JURURAWAT SEMUA UNTUK SAMPAIKAN TERIMA KASIH.......HANYA TUHAN SAJA YANG AKAN MEMBERI GANJARANNYA DI DUNIA DAN AKHIRAT....SELAGI KAMU BERTUGAS DENGAN KERANA ALLAH,JUJUR DAN IKHLAS................
CAKAR HARIMAU.....SELAMAT MENCUBA DAN BISIKAN AKU SAYANG PADAMU.......SETELAH SELESAI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.