Pages

Subscribe:

07 September, 2010

[ hang nadim ] Pemergian Yusof Chong & Dr Gunawan Mahmood satu kehilangan



2010/09/07
KUALA LUMPUR: Pemergian ke rahmatullah pelawak dan pelakon veteran terkenal, Yusof Chong, kelmarin adalah satu kehilangan besar kepada industri hiburan tanah air, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kita ada ramai penyanyi dan pelakon tetapi kita tak ada bakat sebagaimana Yusof iaitu meniru suara personaliti popular, katanya pada majlis penyerahan bantuan kewangan ketika berkunjung ke kediaman Yusof di Selayang Mulia, di sini, semalam serta meluangkan masa menziarah anak Allahyarham Yusof iaitu Zaliana, 32, Ita Zahirah, 30, Ahmad Shatri, 24 dan Ahmad Nuzul, 28.

Yusof Chong atau nama sebenarnya Yusop Mat Said, 63, meninggal dunia di Hospital Selayang dekat sini kelmarin akibat masalah buah pinggang dan batu karang.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Siti Nurbaya, 23, berkata bapanya
pernah menyuarakan hasrat untuk mengadakan konsert dengan meniru gaya 20 selebriti popular tanah air untuk meletakkan nama di dalam buku Malaysia Book of Records.

Malahan, itulah satu-satunya perkara yang ingin dilakukannya sebelum dia menutup mata buat selama-lamanya. Bagaimanapun, di-sebabkan ketiadaan penaja membuatkan pelaksanaan konsert itu terpaksa ditangguhkan. Tak sangka pula hasrat itu menjadi satu permintaan terakhir buatnya, katanya.

Setiausaha politik MB Johor meninggal

2010/09/07
JOHOR BAHRU: Setiausaha piolitik Menteri Besar Johor, Dr Gunawan Mahmood, 51, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika berehat di sofa di pejabatnya di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, petang semalam.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Saodi Mat Atar berkata, Allahyarham yang mempunyai penyakit kencing manis ke klinik pada sebelah pagi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dinasihatkan doktor supaya berehat .

Katanya, Allahyarham yang berjalan dalam keadaan tidak stabil ke pejabat dinasihatkan rakan pulang berehat di rumah

Bagaimanapun, beliau mahu berehat dulu di pejabatnya di tingkat empat sebelum ditemui rakan sepejabatnya terbaring tidak sedarkan diri jam 2.30 petang.

Arwah yang diperiksa pegawai perubatan dan disahkan meninggal dunia kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini jam 3.30 petang, " katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norhayati Maarof, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih belajar berusia antara 13 hingga 21 tahun.

Dr Gunawan yang berkhidmat dengan Pejabat Menteri Besar Johor sejak 16 September 2008 itu pernah berkhidmat dengan Jabatan Penerangan dan pernah menjadi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas sebelum bersara awal dan menyertai pejabat Menteri Besar Johor.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kampungnya di FELDA Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.