LEDANG 28 Sept. - Proton Holdings Bhd. (Proton) yang mengeluarkan model kompak terbaharunya Proton Iriz pada Khamis lalu, turut merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dimulakan dengan rantau ASEAN sebelum melebarkan sayap ke Eropah.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, buat permulaan sebuah kilang Proton Iriz akan dibina di Bangladesh dan perbincangan tentang perkara itu sedang dilakukan.
"Selepas Bangladesh, Proton Iriz dirancang untuk memasuki pasaran negara-negara bersebelahan seperti India, Pakistan, Nepal dan lain-lain. Bangladesh dipilih kerana kos tenaga kerjanya berpatutan dan murah.
"Proton Iriz berpotensi diterima kerana bertaraf dunia dan mempunyai enjin serta ciri keselamatan yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gemilang Siswa 2014 Peringkat Negeri Johor di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang, di sini hari ini.
Iriz yang merupakan model baharu ke-32 Proton sudah pun mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).
Ujian pemanduan dan ujian cuaca telah dilakukan di Sweden untuk ujian cuaca sejuk dan juga gurun dengan suhu mencecah sehingga 42 darjah Celsius dan hasilnya Iriz boleh mengharungi cuaca panas dan berjaya melepasi ujian 100,000 kilometer.
Hamim berkata, pihaknya yakin Iriz akan dapat bersaing di peringkat global kerana standard dan kualitinya setanding kereta-kereta hebat dari negara maju dan tidak mempunyai masalah untuk dieksport.
Ditanya sama ada akan diterima di pasaran Barat kerana saiz kompak dan mungkin menjadi masalah kerana fizikal pemandu di negara terbabit lebih besar dan tinggi, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi satu masalah.
"Kita perlu mengambil contoh model kereta Jepun dan Korea yang diterima baik dan berjaya di pasaran dunia," katanya dan menyatakan Iriz bakal menjadi pesaing model sekelasnya seperti Suzuki Swift, Kia Rio, Mazda 2, Peugeot 208 dan Volkswagen Polo.
Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, Iriz akan menjadi perangsang syarikat automotif negara tersebut untuk meningkatkan pasaran eksport kerana mengikut peraturan beberapa negara pengimport.
"Proton juga selepas ini akan mengeluarkan kereta dengan pemanduan di sebelah kiri bagi meluaskan potensi pasaran antarabangsa. Ini kerana kira-kira 70 peratus kereta di dunia dipandu di sebelah kiri," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140929/dn_07/Iriz-akan-tembusi-ASEAN-Eropah#ixzz3EfkHO2Tk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.