07 Oktober, 2010
[ hang nadim] Allahyarham Abu Bakar selamat dikebumi
PADANG BESAR 7 Okt. - Jenazah pelakon, Abu Bakar Ariffin, 58, selamat dikebumikan di kampungnya, Kampung Padang Melangit, Bintong di sini hari ini.
Allahyarham yang pernah membintangi beberapa filem sekitar 1980-an termasuk Jiwa Remaja dan Cinta dan Lagu bersama-sama Datuk Yusof Haslam menghembuskan nafas terakhir di pangkuan isterinya, Siti Armah Samsuddin, 52, di kediaman mereka pada pukul 11.30 malam tadi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia 23 hingga 29 tahun serta dua cucu.
Menurut Siti Armah, Allahyarham mengadu sesak nafas dan dia cuba mengurangkannya dengan mengurut badan suaminya itu selain memanggil jiran-jiran untuk membantunya.
"Bagaimanapun Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di atas pangkuan saya sebelum sempat dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Kata Siti Armah, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan ceria pada siangnya termasuk sempat berbasikal ke pusat perkelahan di Sungai Batu Pahat selain melayari Internet.
Siti Armah berkata, kali terakhir Allahyarham berlakon ialah dalam drama bersiri Gerak Khas pada Januari lalu.
"Allahyarham terpaksa menolak banyak tawaran untuk berlakon sejak berpindah balik ke Perlis kerana masalah kesihatan," katanya.
Menurutnya, Allahyarham mengambil keputusan kembali ke kampung di Perlis ini selepas bersara sebagai pegawai sumber manusia di syarikat Apson Toyocom Corporation di Seri Damansara, Kuala Lumpur, Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.