Pages

Subscribe:

07 April, 2011





Timbalan Presiden PBB dicabar PKR

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my













Abang Johari Tun Openg (dua dari kanan), Dr. Rais Yatim dan Ahmad Maslan bersama para penyokong BN ke pusat penamaan calon di Sekolah Kebangsaan Datuk Merpati Jepang, Kuching, semalam. - BERNAMA

KUCHING 6 April - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan Timbalan Presiden Parti Pesaka Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walaupun timbul ura-ura beberapa nama dari calon Bebas untuk turut mencabar kerusi itu namun hanya Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak, Ahmad Nazib Johari,35, tampil di pusat penamaan calon di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang pagi ini.

Abang Johari yang bertanding buat kali kelapan bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 1981 itu mula mengemukakan borang pencalonannya pada pukul 9.03 pagi diikuti calon PKR pada pukul 9.07 pagi.

Bagaimanapun, Pegawai Pengurus pilihan raya DUN Satok, Onn Abdullah mengumumkan pihaknya menerima tiga bantahan daripada calon yang bertanding dan kesemuanya ditolak selepas proses bantahan tamat pada pukul 11 pagi.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang kesembilan, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar memenangi kerusi DUN Satok dengan majoriti 2,798 undi mengalahkan pesaingnya yang juga merupakan seorang calon muda.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Abang Johari berkata, taktik PKR meletakkan calon muda daripada AMK Sarawak bukannya perkara baru bagi beliau.

Katanya, beliau pernah berhadapan dengan PKR sebanyak tiga kali dan keputusannya tetap berpihak kepada BN.

''Dan saya yakin bahawa pada pilihan raya kali ini pengundi di Satok akan tetap bersama BN kerana mereka tahu prestasi yang telah kita laksanakan berbanding PKR," katanya di sini hari ini.

Cabaran sengit 'heavyweight'

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SOPI SAMAILE
pengarang@utusan.com.my












Kekecohan ditimbulkan penyokong PKR yang berlaku di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah, Sarawak, semalam.

TIDAK ada pekikan dan lolongan para penyokong dan pengikut parti-parti bertanding di hampir kesemua 71 kerusi DUN yang membuka tirai Pilihan Raya Negeri Ke-10 pagi di pusat-pusat penamaan calon seluruh Sarawak semalam. Ia amat berbeza dengan trend di Semenanjung.

Cuma di Balingian, seorang anggota Angkatan Muda Keadilan dari Perak bersama sekumpulan lima rakannya cuba membuat kacau dengan memprovokasi anggota polis dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kumpulan itu mahu mereka dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah. Kata mereka jika tidak dibenarkan masuk, maka Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga harus diminta berbuat demikian.

Namun, kerenah lelaki yang berlagak 'ketua' itu yang pada awalnya begitu beria-ria, nampak reda setengah jam kemudian setelah 'mendapat lensa' kamera jurugambar. Di satu sudut di situ, Timbalan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tutus Hilir, Awang Yahya Awang Jaya, 57, sekadar menggeleng-geleng kepala.

"Budaya dari luar jangan dibawa masuk ke Mukah. Jika ingin berkempen pun, biar guna cara berhemah, jangan cuba ungkit perkara-perkara yang tidak senonoh, jangan timbulkan huru-hara.

"Ini pertama kali berlaku dengan provokasi dan kekecohan oleh PKR. Jika budaya rakyat di Sarawak, perlakuan seumpama ini tidak berlaku. Kita kena lawan secara aman atau persahabatan, sebab masa ini sahaja kita berbeza namun selepas habis pilihan raya, kita akan berkawan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sememangnya bertepatanlah dengan amaran yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu Numpang yang mempertahankan kerusi Layar untuk penggal kelapan berturut-turut kepada tukang kempen dari Semenanjung. Beliau meminta mereka supaya jangan buat kacau.

"Jika anda buat kacau di sini, lebih baik anda pulang sebelum anda menyinggung perasaan penduduk. Jika anda mahu buat kacau, fikirlah dua kali.

"Adalah tradisi kami untuk mempertahankan keamanan kami. Sila beradab, jangan ganggu keharmonian di sini," kata Jabu ketika bercakap semasa upacara tradisional miring bagi kaum Ibah di Betong, 60km di utara Sri Aman.

Miring merupakan satu upacara tradisional dalam masyarakat Iban untuk menghormati dewa-dewa, roh-roh dan nenek moyang dan untuk mendapatkan restu. Kata Jabu semasa memperkenalkan istiadat tersebut sebelum ia bermula, para peserta memohon kepada nenek moyang memberi mereka kekuatan dan kemenangan dalam pilihan raya.

Kempen pilihan raya negeri Sarawak yang membuka tirainya menyaksikan beberapa calon 'heavyweight' dicabar oleh beberapa pendatang baru. Di N51 Balingian, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima tentangan seorang suri rumah dari PKR, Suriati Abdullah dan seorang calon bebas yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin.

Suriati mengibaratkannya sebagai 'semut' yang berdepan dengan 'gajah' di sebalik mengakui "semangat saya cukup kuat dan memiliki penyokong yang ramai". Salleh pula mendakwa dia bukannya menentang Abdul Taib secara terbuka tetapi 'seorang individu' yang dilihat agak rapat dengan penyandang kerusi Balingian itu. Salleh dilihat bertegang urat dengan individu yang dimaksudkannya itu di pekarangan Dewan Suarah Mesra.

Selain Abdul Taib, fokus kali ini tertumpu kepada beberapa lagi 'heavyweight' tempatan yang bertanding sebagai calon bebas. Ini termasuk penyandang kerusi Padungan, Dominique Ng yang mengakhiri spekulasi dengan menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusinya. Beliau berdepan dengan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan calon SUPP, Sim Kiang Chiok dan Wong King Wei dari DAP. Ini bukan kali pertama Ng bertanding secara solo.

Bekas pengerusi PKR Sarawak itu pernah bertanding sebagai calon Bebas menentang setiausaha DAP negeri itu, Chong Chieng Jen dan calon BN bagi kerusi Parlimen bandar Kuching pada 1999. Sekalipun BN menang, tetapi Ng berjaya memperoleh 3,950 undi lebih daripada Chong. Keputusan Ng keluar PKR kali ini ialah berpunca daripada keputusan parti itu untuk bertukar kerusi Padungan miliknya dengan kerusi Batu Lintang, milik DAP.

BN pada 20 Mei 2006 kehilangan lapan kerusi, sebahagian besarnya di kawasan majoriti Cina di Kuching dan juga di kerusi majoriti Dayak di Engkilili dan Ngemeh. Beberapa kerusi panas juga dikesan di kawasan yang terlibat dengan pentadbiran kerajaan negeri ke atas tanah adat Orang Asal Sarawak, pembukaan kawasan hutan dan pembinaan empangan hidroelektrik. Di kawasan luar bandar ini, BN akan terus meyakinkan rakyat Sarawak supaya mengundinya untuk pembangunan bagi menyekat sentimen pembangkang yang terus membawakan isu 'kembalikan hak rakyat' yang agak meragukan.

Di Piasau, seorang lagi calon 'heavyweight', Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak akan dicabar oleh Ling Sie Kong daripada DAP.

Di Satok, Datuk Abang Johari Openg yang juga Timbalan Presiden PBB mempertahankan kerusinya untuk kali kelapan. PKR pula menurunkan seorang peguam syarie Ahmad Nazib Johari sebagai calon.

Di Beting Maro pula, Pas yang bertanding di lima kerusi meletakkan peguam, Abang Ahmad Kerdi Abang Magasus. Keputusan tidak menampilkan calon ulama diambil oleh Pas kerana kurang yakin untuk memperoleh sokongan daripada penduduk pelbagai etnik Sarawak. BN pula menurunkan seorang pendatang baru, Razaili Gapor. Pas yang gagal bertapak di Sarawak sejak 2003, pada pilihan raya negeri lalu tewas 895 undi di kawasan Beting Maro yang majoriti pengundinya Melayu/Melanau.

Sementara di Batang Ai, penyandang kerusi Malcolm Mussen Lamoh akan ditentang calon PKR, Nicholas Bawin. Batang Ai yang baru dipertahankan BN pada pilihan raya kecil dua tahun lepas, adalah kerusi luar bandar dengan kira-kira 94.7 peratus pengundi Iban. Pada pilihan raya negeri 2006, Batang Ai menyaksikan pertarungan sengit apabila Bawin, yang bertanding di bawah tiket Snap hanya tewas 806 undi kepada Dublin Unring Ingkut dari BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil 2009 BN yang diwakili Lamoh berjaya mendapat majoriti besar 1,854 undi bagi mengalahkan bekas ahli parlimen Lubok Antu Jawah Gerang, yang bertanding di bawah tiket PKR.

Di DUN Layar pula, Jabu yang mengekalkan kerusi itu selama tujuh penggal berdepan calon PKR, Stanny Embat. Layar adalah kerusi di pinggir bandar yang majoriti pengundi adalah masyarakat Iban.

Penyokong PKR yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman dilihat membawa sepanduk dan bendera parti sambil melaungkan "Reformasi!" dan "Tumbang Jabu!''.

Kempen pilihan raya Sarawak yang memasuki hari kedua pagi ini masih mempunyai 'ruang' penyusutan calon seandainya esok ada calon menarik diri daripada pertandingan.

SPR memberi masa sehingga 12 tengah malam esok untuk mereka yang 'putus asa dan sedar akan diri mereka' untuk berbuat demikian.

Dari Sarawak ke Putrajaya?
Oleh NOOR AZAM
DATUK NOOR AZAM ialah bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PADA malam 16 April nanti rakyat Sarawak akan dapat kerajaan baru, sama ada kerajaan lama yang diperbaharui atau kerajaan yang betul-betul baru. Kerajaan lama terdiri daripada parti-parti yang lahir dan mati-hidup di Sarawak. Kerajaan baru kecuali SNAP adalah parti pendatang dan semua pemimpin besarnya dari Semenanjung.

Kata orang tua-tua, 'Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Demikianlah, rakyat Sarawak sendiri dan pemimpin parti-parti Sarawak sendiri yang lebih tahu susah-senang mereka selama ini. Rakyat Sarawak tentulah akan memilih orang yang benar-benar tahu dan dapat merasa beban hidup yang mereka pikul, bukan orang yang datang sekali sekala untuk berpidato.

Jika fikiran mereka tenang dan pertimbangan mereka waras, pastilah mereka akan memilih pemimpin yang hidup bersama mereka dan kerajaan yang dekat di hati mereka. Siapa yang dapat memenangi hati dan fikiran pengundi dan bertindak merawat denyutan nadi kehidupan rakyat, pasti akan terpilih.

Ini tidaklah susah jika kerajaan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah lebih 30 tahun, sentiasa memelihara rakyat yang sebenarnya tidaklah banyak sangat yang dipinta. Tetapi kiranya 30 tahun lamanya kepentingan, perasaan, fikiran dan persepsi rakyat dilupakan, pastilah kritik, tohmahan dan janji pembangkang melekat di hati rakyat.

Persepsi umum, walaupun tidak semesti semuanya benar, jika diperlekehkan pastilah peristiwa 8 Mac 2008 akan berulang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini menjadi lebih penting kerana ia adalah permulaan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Jika kesemua 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU-12, adalah ujian untuk mengukur pengaruh BN dan parti-parti pembangkang, PRN Sarawak adalah permulaan persaingan sengit pihak pembangkang untuk menawan Putrajaya dan BN pula berusaha mempertahankannya. Datuk Seri Najib Tun Razak pun kata, PRN Sarawak ini akan menentukan bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jika 16 September 2008 adalah percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk masuk ke Putrajaya melalui jalan pintas, PRN ini yang pertama kali selepas PRU-12 akan menentukan jaya atau tidaknya cita-cita politik Anwar itu dicapai menerusi jalan biasa. Ini adalah pertarungan sebenar, bukan lagi ujian pengaruh. Maka Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal-awal lagi turun ke medan pertempuran.

Ada yang menyebut Najib menggambarkan PRU-13 nanti sebagai 'do-or-die battle for the ruling group'. Sekiranya benar Najib berkata begitu, maka pertempuran hidup atau mati itu sudah bermula di Sarawak.

Kalau parti pembangkang dan Snap tidak berjaya menawan Sarawak, atau sekurang-kurangnya mendapat kemenangan besar, cita-cita Anwar akan mati di situ. Dengan Abdul Taib sebagai panglima medan dan imej positif Najib sekarang, saya melihat Anwar yang berada dalam situasi hidup atau mati, bukan BN dan Najib.

Bagaimanapun, jika iklim politik sekarang dan PRN Sarawak 2006 dijadikan landasan, kedudukan BN tidak boleh dikatakan selesa. Dalam PRN itu anggota BN, Sarawak United People's Parti (SUPP) yang didominasi kaum Cina, tewas lapan kerusi kepada DAP. Bagaimana SUPP, salah satu parti kelahiran Sarawak yang tertua boleh tewas kepada pendatang baru, DAP dari Semenanjung? Apakah ini akan berulang?

Persepsi dan perasaan umum terhadap kerajaan, menjadikan iklim politik di Semenanjung dan juga di Sarawak, masih belum begitu nyaman untuk BN. Generasi muda terutama pengundi bandar dan pinggir bandar sangat percaya kerajaan sekarang tidak telus dan tidak bersih. Dikatakan masih banyak rasuah dan penyelewengan wang dan harta benda rakyat.

Generasi muda tidak sabar menunggu perubahan pimpinan parti dan kerajaan. Mereka sangat ingin melihat pemimpin-pemimpin baru yang berwibawa, bersih dan berkaliber ditampilkan ke depan. Pemimpin lama dirasakan semakin jauh dari mereka. Namun pengalaman masa lalu dan apa yang mereka nampak jelas, perubahan ini tak mungkin tiba. Ditambah dengan faktor kaum, mesej daripada iklim politik baru ini, sudah mulai diterjemahkan dalam PRK Sibu kira-kira 10 bulan yang lalu.

Kemenangan tipis DAP di Sibu, kubu kuat BN sudah cukup membakar semangat penyokong pembangkang, khususnya Cina dan pribumi bukan Islam. Isu-isu sensitif kecil seperti penggunaan perkataan Allah dan Injil dalam bahasa Melayu pasti akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang. Maka keputusan BN Sarawak meletakkan 18 muka baru, tentu memberi kesan yang positif.

Sebenarnya apa yang terjadi kepada SUPP dalam PRN Sarawak 2006 itu sudah pun jadi petunjuk kepada apa yang bakal berlaku di Semenanjung pada PRU 2008.

Kalau apa yang terjadi di Sarawak pada 2006 itu diberi perhatian serius, kekalahan menyakitkan yang dialami oleh MCA dan Gerakan di Semenanjung pada PRU-12, mungkin tidak berlaku.

Malangnya, kemenangan BN paling hebat pada 2004 menjadikan pemimpin dan wakil rakyat BN , khususnya MCA dan Gerakan, senang dan leka. Nyatalah, kekuasaan dan kemewahan menyebabkan manusia lupa diri.

Calon teramai
Oleh Kadir Dikoh dan Ahmad Naim Tahir
bhnews@bharian.com.my
2011/04/07


















TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi Ketua Menteri Sarawak yang juga calon Barisan Nasional bagi DUN Balingian, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ke tempat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah, semalam.Buat pertama kali semua kerusi DUN ditandingi

KUCHING: Sebanyak 213 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April ini, paling ramai dalam sejarah pilihan raya negeri ini dengan Barisan Nasional (BN) dijangka menerima tentangan hebat daripada pembangkang untuk mendapatkan mandat baru daripada pengundi.
BN mempertaruhkan calon di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah lawan tertinggi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding 49 kerusi, diikuti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), 26 kerusi; DAP (15), Parti Cinta Malaysia (PCM) (enam) dan PAS (lima). Penyertaan calon Bebas dan calon wanita juga paling ramai dalam sejarah pilihan raya negeri, masing-masing 41 dan 16 orang, selain tiada lagi kemenangan tanpa bertanding untuk BN seperti yang kerap berlaku pada pilihan raya sebelum ini, termasuk dua pada 2006.

Jumlah calon lelaki mendominasi dengan 197 calon, tetapi setiap parti kecuali SNAP tidak mengetepikan calon wanita dengan BN, PKR dan DAP masing-masing memberi kepercayaan kepada empat wanita.

PAS juga tidak ketinggalan apabila menamakan dua calon wanita yang disifatkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaras dengan usaha parti meningkatkan martabat wanita. Seorang lagi calon wanita bertanding atas tiket Bebas.

Daripada keseluruhan 71 kawasan pilihan raya, masing-masing dua kerusi menyaksikan pertembungan enam dan lima penjuru, empat penjuru (17), tiga penjuru (23) dan dua penjuru (27).
Sepanjang tempoh 10 hari kempen bermula semalam, BN dijangka memberi lebih tumpuan untuk meraih sokongan di lapan DUN milik DAP, PKR dan PCM serta memastikan kawasan majoriti pengundi Cina dan dilabel kelabu tidak jatuh ke tangan pembangkang.

Kerusi yang mahu dirampas BN ialah Pending, Padungan, Batu Lintang, Kidurong, Meradong, Kota Sentosa, Bukit Assek dan Ngemah, selain mengetepikan saingan pembangkang yang bertumpu di Samariang, Batu Kawah, Lingga, Engkelili, Saribas, Belawai, Bawang Assan, Nangka, Balingian, Pelagus, Bekenu, Bukit Kota, Ba'kelalan, Telang Usan, Batang Ai, Kedup, Simunjan dan Bukit Begunan.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mempertahankan kerusi Balingian menentang dua pupunya yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin dan peniaga, Suriati Abdullah, 50.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ditemui di Mukah, menasihatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu, termasuk calon Bebas yang mendakwa kononnya mendapat sokongan pimpinan kerajaan atau BN Pusat.

“Di semua 71 DUN di Sarawak, kita meletak calon atas lambang BN. Itulah calon yang direstui, menggunakan lambang dacing yang sudah mendapat pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya yang mengiringi Abdul Taib ke pusat penamaan calon, di Dewan Suarah Mesra, Mukah.

PAS yang mempertaruhkan lima calon, sekadar berharap penyertaan calon Bebas di kawasan yang ditandinginya mampu memecahkan undi BN dan memberi kemenangan mengejut kepada parti itu yang hanya bertanding di Beting Maro pada pilihan raya negeri 2006.

“Kita berharap mampu membuat kejutan kali ini,” kata Abdul Hadi selepas mengiringi calon PAS bagi DUN Sadong Jaya, Abang Eddy Allyanny, iaitu satu daripada lima kerusi yang ditandingi parti itu, selain Sebuyau, Tanjung Datu, Beting Maro dan Muara Tuang.

Saingan di kawasan majoriti pengundi kaum Melanau seperti DUN Jepak, Semop, Jemoreng, Daro, Belawai, Balingian, Dalat dan Nangka juga diramal sengit dengan saingan daripada pembangkang dan Bebas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.