Pages

Subscribe:

01 Oktober, 2012

{hang nadim] Raja Bola, Abdul Ghani Minhat meninggal dunia.....Alfatihah

Abdul Ghani Minhat selaku ketua pasukan Selangor memegang Piala Malaya ketika dijulang rakan sepasukan selepas muncul juara pada tahun 1963. KUALA LUMPUR - Raja bola sepak Malaya, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), semalam akibat mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung yang dilakukan Selasa lalu. Menurut anak sulung Allahyarham, Nik Abdul Halim Abdul Ghani, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.34 pagi di IJN selepas kritikal pada pagi Rabu lalu dan berterusan sehingga semalam. "Allahyarham tidak sakit tetapi kami sekeluarga telah menetapkan dan membuat keputusan supaya arwah menjalani pintasan jantung pada awal Ramadan, namun ia ditangguhkan sehingga Selasa minggu ini kerana tiga injap jantungnya sudah tersumbat," katanya ketika ditemui media semalam. Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 pada pukul 5.30 petang. Turut menziarah jenazah Allahyarham beberapa bekas pemain kebangsaan yang pernah di bawah asuhannya seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, dan Azlan Johar. "Sebenarnya pembedahan berjalan seperti biasa dan berjaya, mungkin sebab faktor usia arwah agak terbatas untuk pulih dengan cepat dan prosesnya terbantut, selepas menjalani pembedahan pada Selasa, pagi Rabu dia berada dalam keadaan kritikal. "Selepas itu pagi tadi (semalam) arwah sedar semula dan sempat melemparkan senyuman kepada adik saya serentak dengan itu kami menjangkakan arwah akan stabil tetapi sudah ketentuan Ilahi, arwah telah meninggalkan kita semua pagi tadi," kata Nik Abdul Halim. Allahyarham Abdul Ghani meninggalkan isteri Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, 67, dan empat anak, dua lelaki, Nik Abdul Halim, 42, Nik Mohd. Hanif, 37 dan dua wanita, Nik Salwani, 40 dan Nik Sarina 38. Pada zaman kegemilangannya pada sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an, Allahyarham yang bermain sebagai penyerang, merupakan pemain yang licik dan lincah dan sering menggerunkan pihak lawan. Anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan itu yang lahir pada 23 Disember 1935, banyak menyumbangkan tenaga sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu. Allahyarham pernah merangkul Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Kebangsaan pada 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.