Pages

Subscribe:

26 April, 2013

[hang nadim] Kalau Tak Faham Jangan buat Cerita.....



Menyiarkan dakwaan pasukan polis undi awal
MiloSuam: PDRM, SPR buat aduan
KUALA LUMPUR 25 April - Dua laporan polis dibuat terhadap laman blog milosuam.blogspot.com kerana menyiarkan dakwaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan undian awal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelmarin.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusoof berkata, laporan tersebut dibuat oleh seorang pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tengah hari semalam.
"Laporan yang masing-masing dibuat di ibu negara dan Putrajaya itu adalah bagi meminta polis menjalankan siasatan terhadap pengendali blog berkenaan kerana tindakannya menyiarkan khabar angin berbaur fitnah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, dakwaan dibuat oleh pemilik blog berkenaan sekali gus telah mencetuskan stigma negatif orang ramai terhadap sistem pilihan raya di negara ini.
Sehubungan itu, Ramli meminta orang ramai agar memahami kaedah dan proses membuang undi sebelum menyiarkan sebarang kenyataan yang tidak jelas.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam seperti membuat, menerbit atau mengedar apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau mana-mana golongan awam.
"Polis turut menyiasat kes ini mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Ramli turut menjelaskan bahawa gambar kertas undi yang disiarkan dalam blog tersebut sebenarnya undi pos bukannya undi awal seperti yang didakwa.
Menurutnya, undi pos boleh dijalankan secepat mungkin pada bila-bila masa selepas kertas undi diedarkan tetapi undi awal pula kebiasaannya untuk individu yang terpaksa bertugas pada hari mengundi yang mana tarikh yang ditetapkan SPR ialah 30 April ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh empat hari sejak penamaan calon sehingga semalam, polis telah menerima 906 laporan dan membuat 25 tangkapan membabitkan kesalahan pilihan raya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130426/je_02/Menyiarkan-dakwaan-pasukan-polis-undi-awalbrMiloSuam-PDRM-SPR-buat-aduan#ixzz2RcAk21v0
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Mustafa Ali 'tidak muncul' di Masjid Rusila untuk sumpah laknat




Mustafa Ali
MARANG 26 April - Usaha para wartawan bergegas ke Masjid Rusila dekat sini, bagi membuat liputan mengenai Datuk Mustafa Ali yang dikatakan bersedia bersumpah laknat sebaik sahaja selesai solat Jumaat di masjid itu hari ini, ternyata sia-sia.
Setiausaha Agung Pas itu bukan hanya tidak melakukan sumpah laknat seperti diuar-uarkan, malah kelibatnya juga langsung tidak kelihatan sehingga selesai solat Jumaat.
Desas-desus Mustafa mahu membuat sumpah laknat itu tersebar luas menerusi laman blog propembangkang sejak semalam, menyebabkan sebahagian besar wartawan menunggu beliau di masjid tersebut sejak awal pagi ini.
Mustafa dikatakan akan membuat sumpah laknat itu berhubung penyebaran rakaman video seks seorang lelaki yang miripnya baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja selesai solat Jumaat dan sehingga pukul 2 petang selepas sebahagian besar jemaah mula meninggalkan masjid itu, kelibat Mustafa langsung tidak kelihatan.
Malah, para wartawan yang setia menunggu juga dimaklumkan oleh penyokong Pas mereka tidak mengetahui mengenai upacara sumpah laknat seperti disebarkan menerusi internet itu.
Antara blog yang menyiarkan mengenai maklumat itu ialah http://azmykelanajaya.blogspot.com menerusi entri bertajuk '#PRU13 : Sah Mustapha Ali Sumpah Laknat Di Masjid Rusila Esok !!'
Blog itu antara lain menyebut: "Khabar gembira buat penyokong Pas dan menurut sumber dalaman, esok (Jumaat, 26 April) selepas solat Jumaat, Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas, akan mengadakan upacara sumpah laknat di Masjid Rusila!!
"Ini berikutan tekanan yang terlalu kuat datang dari pelbagai sudut yang inginkan penjelasan konkrit, bukan memberi 1001 alasan seperti Anwar bin Hj Ibrahim.
"Alasan, bukan seperti perut saya..bukan seperti saya.. mirip saya.. fitnah.. kerja jahat UMNO," ini semua alasan karut kata sumber !
"Insya-Allah selepas solat Jumaat esok kita tunggu.. aakj dan team sudah d Terengganu..sabar ye..kita mohon agar beliau tenang semasa bersumpah !!"
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan penyebaran meluas rakaman video seks lelaki yang mirip Mustafa menerusi laman blog serta dalam bentuk video cakera padat (VCD) di beberapa kawasan di sekitar negeri ini.
Berikutan penyebaran video itu, Mustafa menerima tekanan banyak pihak supaya segera membuat laporan polis bagi membuktikan dirinya tidak terbabit dalam video tersebut namun beliau sehingga kini belum membuat laporan tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130427/po_08/Mustafa-Ali-tidak-muncul-di-Masjid-Rusila-untuk-sumpah-laknat#ixzz2RcDOMYkY
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Penasihat PKR berdalih tentang hudud

SARATOK 26 April - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pendekatan 'menjawab soalan' sambil menyoal dan kemudiannya memperlekehkan wartawan yang mengajukan soalan tidak digemarinya.
Menjadi mangsa beliau kali ini ialah seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times yang bertanyakan mengenai pendirian PKR dalam isu hudud Pas.
Pada mulanya, Anwar yang baharu selesai berceramah di pekan Kabong semalam menjawab soalan itu dengan memberitahu mana-mana parti pembangkang boleh mengemukakan cadangan dan perkara itu akan dibincang secara bersama.
Namun, apabila disoal kenapa masih tiada kesepakatan selepas lima tahun bersama, Anwar terus mempersalahkan media yang tidak melaporkannya.
Beliau kemudiannya bertanya wartawan berkenaan daripada mana dan apabila diberitahu, Anwar berkata: "Oh... patutlah, ada kenyataan yang jelas tentang hudud, bukan kenyataan UMNO, Straits Times (ini) UMNO," katanya dan terus menamatkan sesi soal jawab.
Sementara itu, di dalam ceramahnya, Anwar menjaja janji walaupun negeri yang dikuasai pembangkang sudah terbukti gagal menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.
Anwar berulang kali memberitahu, harga minyak di negara ini akan diturunkan pada 7 Mei selepas pembangkang menawan Putrajaya dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihapuskan serta-merta.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130427/po_06/Penasihat-PKR-berdalih-tentang-hudud#ixzz2RcEliUZI
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.