LADANG LONGAN
KG BERAPIT
TIKAM BATU
PENGUSAHA LONGAN
KAMPUNG BERAPI T
TIKAM BATU
POKOK LONGAN DI
KAMPUNG BERAPIT
TIKAM BATU KEDAH
Oleh SAFINA RAMLI
BUKIT KAYU HITAM 25 Jun - Buah longan atau lebih dikenali sebagai buah mata kucing adalah antara buah- buahan bermusim yang menjadi kegemaran ramai.
Berbanding buah durian atau rambutan yang mudah ditanam, buah longan kurang mendapat sambutan kerana kesukaran pokoknya untuk berbunga, sekali gus menghasilkan buah apabila cukup matang.
Setiap kali tiba musim buah tersebut, kita hanya dapat membeli buah longan yang diimport dari Thailand.
Selain itu, penggunaan bahan kimia terlarang bagi meningkatkan ketahanan dan kesegaran buah oleh petani asing, menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.
Kini, bagi yang menggemari buah longan, mereka boleh menikmati buah tersebut sepanjang tahun dengan kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bukit Tangga yang telah menghasilkan teknologi bagi mengatasi masalah pendebungaan.
Pengurus Stesennya, Khadzir Darus berkata, antara masalah yang sebelum ini selalu menghantui pengusaha adalah masalah pendebungaan dan ia dapat diatasi dengan teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat.
"Buah mata kucing adalah sejenis tanaman yang bergantung kepada faktor cuaca yang sejuk serta kering dan ini menyebabkan ramai pengusaha tempatan tidak berminat untuk menanam pokok ini secara komersial.
"Sebenarnya buah longan ini merupakan antara tanaman yang mudah diurus dan tahap serangan makhluk perosak adalah rendah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Khadzir, melalui teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat, pihaknya berharap ia dapat dikomersialkan oleh pengusaha tempatan.
"Pokok longan sangat responsif terhadap penggunaan potasium klorat sebagai penggalak ia berbunga.
"Pengeluaran buah juga lebat dan pasti tidak akan mengecewakan pengusaha kerana mata kucing jenis berlian dan E-daw amat manis ditambah dengan penggunaan racun yang amat minimum," jelasnya.
Katanya, pihak Mardi menggunakan tiga kaedah untuk merangsang pertumbuhan pokok longan iaitu kaedah penyiraman, tabur dan semburan daun.
"Ketiga-tiga kaedah memberikan tindak balas yang serupa dan tindak balas ia berbunga terjadi selepas 25 hingga 28 hari rangsangan.
"Namun, peratus pembungaan pokok longan bergantung kepada kadar potassium klorat yang digunakan, saiz kanopi dan tahap kematangan pucuk," jelasnya.
Kata Khadzir, sekiranya pengusaha mengikut prosedur yang betul penjagaannya, mereka akan dapat hasilnya dalam masa lima hingga tujuh bulan sahaja selepas ia berbunga.
"Pada peringkat empat tahun tanaman pokok mata kucing, pengusaha berupaya mengeluarkan hasil sehingga 30 kilogram sepokok dan ia begitu memberangsangkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.