Pages

Subscribe:

16 Ogos, 2009

FAKTOR-FAKTOR AJARAN SESAT

Q: Faktor Faktor Ajaran Sesat Oleh JAKIM
by Anjung Siber on Mon Feb 23, 2004 2:47 am
001: FAKTOR-FAKTOR AJARAN SESAT

Hasil dari penelitian Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, umat Islam di negara ini sentiasa terdedah kepada ajaran sesat yang berkembang hasil dari faktor-faktor berikut:-

1: Tasawuf Falsafah @ Teosofi
2: Ajaran Batiniah;
3: Ajaran Syiah;
4: Khurafat, Amalan Bomoh dan Tradisi; dan
5: Usaha menjauhkan Umat Islam dari al-Quran dan al-Sunnah.

Faktor Pertama:Tasawuf Falasafah @ Teosofi @ Wujudiah + Martabat Tujuh

a: Tasawuf Teosofi

Tasawuf Teosofi(7) menjadi punca utama kepada penyelewengan dalam ilmu tasawuf dan kepada muncul ajaran-ajaran sesat yang mana ia didapati dipengaruhi oleh pengaruh Greek, Parsi, Yahudi, Kristian dan Hindu – Buddha.

Faktor ini mengandungi berbagai-bagai konsep yang bermula dengan konsep wahdatul wujud dan seterusnya diserap kepada ajaran martabat tujuh dari karangan Syeikh Mohammad b. Fadhlullah Al-Burhanipuri, (W 1029H @ 1619M) melalui bukunya al-Tohfah Ila-Mursalah Ila Roh Al-Nabi, yang diterjemah ke bahasa Jawa tahun (1680M) kemudiannya pula disalurkan oleh beberapa tokoh Nusantara seperti Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani (W 1690M) yang mengarang buku Jauhar al-Haqaeq, Abdul Rauf Singkel dengan kitab Daqaiq al-Huruf beliau dikatakan menuntut di Mekah selama 19 tahun dan kembali ke Acheh tahun (1661M) dan Syeikh Hamzah Fansuri (W 1606M) dalam buku-bukunya di bidang tasawuf ketuhanan terutama buku Asrar al-Arifin, Syarb al-‘Asyikin dan al-Muntahi dan berkembang pula melalui kitab al-Durr al-Nafis oleh Syeikh Mohammad Nafis al-Banjari (W 1778M) yang ditulis tahun (1200H) yang dianggap pula oleh beberapa tokoh penyelidikan sebagai mewarisi kitab al-Tohfah al-Mursalah yang dikatakan telah ditemui di Ceribon tidak lewat dari tahun 1668M oleh Abdul Muhyi seorang wali dari Jawa, yang menjadi guru kepada Bagus Norjan dari Ceribon.

Kitab ini juga tersebar di Sumatera pada abad ke-17 M. Buku ini dikatakan mempengaruhi kelanjoran buku Serat Wirid Hidayat Jati karangan Rengka Warsita (W 1873M).

Pada asasnya faktor Tasawuf Teosofi ini telah banyak mempengaruhi ajaran-ajaran yang dibawa oleh guru-buru ajaran sesat ditambah pula oleha buku Kasyr Al-Asrar oleh Syeikh Mohammad Salleh bin Abdullah al-Mengkabu yang ditulis tahun 1922M.

b: Tasawuf Wahdatul Wujud

Menurut Prof. Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim bahawa tasawuf wahdatul wujud dalam Islam dapat dikesan sumbernya daripada Hindu dan Neoplatonisma atau seumpama kedua-duanya (lihat Ajaran Sesat 1994) DBP hal. 13).

Menurut Haji Abdullah Fahim b. Hj. Ab. Rahman, pula bahawa buku Bahr al-Lahut iaitu kitab adunan antara kandungan al-Tohfah al-Mursalah dengan Serat Wirid dan kandungan Bahr Al-Lahut inilah yang terdapat dalam kitab Hidayah Anwar (Ajaran Taslim) dan Hakikat Insan (1985M) serta Tajalli Ahmad Laksamana (lihat Sejarah Kemunculan Ajaran Menyeleweng, hal. 55-56).

Menurut Dr. Abdul Fatah Haron bahawa martabat tujuh juga bukan dari al-Quran dan Hadis Sahih, tetapi dari falsafah Neo Platonism yang dikenal dengan teori immanasi atau as-Sudur (Lihat Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf (1993M) BAHEIS, KL H. 25). Dari Kitab al-Durr al-Nafis, Maktabah Wa Matbaah Darul Maarif Pulau Pinang terdapat huraian martabat tujuh ini dari halaman 21 – 23.

Fahaman Wahdatul Wujud menganggap alam ini adalah penyataan Allah yang qadim Azali lagi abadi. Alam ini seperti ombak dan Tuhan seperti laut. Ombak itu kekal ada selagi laut itu kekal.

c: Ajaran Martabat Tujuh

Martabat Tujuh adalah satu perbincangan mengenai asal usul mula kejadian alam semesta ini. Ilmu ini termasuk dalam bidang iktiqad Tasawuf Falsafah Wahdatul Wujud.

Penjelasan maksudnya ialah bahawa Allah Yang Maha Esa Mentajalli (menampak) alam semesta daripada Dzatnya sendiri.

Pertama: Ahadiyah iaitu Martabat zat qadim, azali, abadi, martabat La Taayun ertinya martabat tidak nyata. Ahadiyah iaitu seperti menilik cermin, wahdah seperti cermin, wahdiyah seperti rupa dalam cermin, martabat La Taayun belum nyata Tuhan dengan hamba.

Kedua: Wahidiyah – Martabat Aliah Wahdah Qadim, azali, abadi, roh Qudsi yakni nyawa Muhammad, martabat Taayun Awwal iaitu nyata yang pertama, kelakuan dzat: Syuun, Martabat Muhammad. Ertinya nyawa Muhammad pada pihak pengetahuan Allah.

Ketiga: Wahdiyah, Martabat Taayun thani, nyata yang kedua iaitu Roh Adam dan Aayanthabitah namanya iaitu Kenyataannya telah ada bagi ilmu Allah bagi zat dan bagi sekalian yang maujud iaitu jalan tafsil. Tajalli hak Allah kepada martabat ini dengan nama Ar-Rahman bersifat pemurah.

Keempat: Alam Arwah iaitu alam segala nyawa dan alam roh aayan kharijah ertinya kenyataan yang sudah terbit daripada ilmuNya dan roh itu daripada kehendak Allah Taala yang dibangsakan keadaannya dengan martabat terbit daripada suruhan Tuhan kita dengan berantara sesuatu daripada pergantung.

Kelima: Alam Mithal ialah kalbu sanubari bererti tempat hati. Inilah alam segala rupa namanyaa iaitu daripada kehendak Allah Taala yang rapat terus daripada segala suku yang halus dan tiada menerima suku ertinya tiadalah menerima akan tegahan dan tiadalah menerima berciri-ciri setengahnya daripada setengahnya dan tiadalah menerima akan tebusan dan tiada menerima zakat kerana halus.

Keenam: Alam Ajsam ialah alam syahadah, alam yang dipandang, alam segala martabat yang terus daripada anasir empat, air, tanah, udara dan api dan yang tersebut daripada itu lima perkara iaitu segala batu, tumbuhan, binatang dan segala jin yang tersusun dari segala unsur, nyata Allah taala itu dengan zahir dan Muhammad namanya Mazhar.

Ketujuh: Alam Insan disebut Insan itu rahsiaKu dan Aku rahsianya martabat yang dihimpunkan segala martabat ini. (Bandingkan dengan buku dari Abdul Fatah Ajaran Sesat 1994 h. 20 – 25).

d: Nur Muhamad

Nur Muhamad ialah cahaya yang dihubungkan dengan Nabi Muhammad (s.a.w). Dari segi istilah ialah ciptaan Allah yang pertama, sebelum Dia mencipta makhlukNya yang lain. Cahaya ini dicipta dari Nur Allah, pada asal kewujudannya. Nur ini sama dengan rupa kejadian Nabi Muhammad s.a.w.

Istilah yang lain dipakai juga oleh penggemarnya iaitu al-Aql al-Awwal, al-Insan al-Kamil, Qutub, Ghaus dan lain-lain. Kaitannya dengan Martabat Tujuh, ia terletak di martabat kedua.

Pemikiran ini tidak ada dalam al-Quran dan hadis sahih, lebih-lebih lagi ia disifatkan sebagai qadim dan semua perkara yang ada dalam alam ini bersumber darinya. Bagi syiah, menggunakannya untuk meluluskan akidah mereka terhadap al-Imamah.

Manakala kaum Sufi untuk meluluskan Konsep al-Wilayah atau Kewalian, yang ada persamaannya dengan al-Imamah dalam Syiah. Orang Islam yang awal membincangkan Konsep Nur Muhamad ialah Ibnu ‘Arabi (638H/240M) dan Abdul Karim al-Jili (832H). Ini disebutkan dalam kitab-kitab karya mereka seperti al-Futuhat al-Makiyyah, Fusus al-Hikam dan al-Insan al-Kamil fi Ma’arifah al-awa’il wa al-Awakhir.

Bagi Ibnu Arabi, Nur Muhamad merupakan asal usul kejadian semua makhluk yang hidup dan sumber yang terpancar daripada ilmu para Nabi dan wali atau dengan kata lain Nur Muhamad ialah roh yang nyata dengan rupa para Nabi dan wali sejak Nabi Adam a.s. diutus hingga Nabi Muhamad s.a.w. dan sejak wujud Martabat al-Wilayah atau kenabian dalam pemikiran Sufi.

Ilmu para nabi dan wali menurut Kaum Sufi adalah suatu pancaran dari Nur Muhamad yang merupakan induk kepada segala yang wujud ini. (lihat Muhamad Ali al-Junid, Nazdariyyah, al-Imamah, al-Imamah, hal. 128) dan bandingkan dengan artikel Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul Shukor (UM) “Nur Muhamad: Satu Pencemaran Terhadap Akidah” (Utusan Zaman – 9 Jun 1996).

Orang yang terlibat dengan kumpulan ini dipercayai banyak memalsukan hadis bagi meluluskan teori dan cita-cita ini. Sedangkan menurut pandangan ahli Sunnah Wal Jamaah, asal kejadian Nabi Muhamad s.a.w. adalah jelas seperti dinyatakan dalam ayat 110, surah al-Kahfi, yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhamad) sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah satu.”

Bagi ahli Sunnah, kepercayaan Nur Muhamad ini adalah khurafat dan tidak bersandarkan mana-man dalil yang layak menjadi sumber hukum.

Tetapi setengah kaum Sufi yang keterlaluan mendakwa bahawa ilmu mereka kasyaf, kadang-kadang dikatakan diambil terus dari Allah atau Rasulullah.

Menurut Prof. Dr. Abdulfatah Haron bin Ibrahim, bahawa Nur Muhamad tidak lebih daripada lagenda. Ia tidak ada dalam ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Asyariah, Maturidiah dan Salafiah, tetapi terdapat dalam Ajaran Tasawuf Wahdatul Wujud).

Dalam kitab al-Dur al-Nafis disebutkan sebuah hadis yang bermaksud: “Mula pertama Allah jadikan ialah Nur Nabimu, hai Jabir, maka Allah jadikan Nur itu segala sesuatu dan engkau adalah daripada sesuatu itu (halaman 22).”

Hadis ini adalah hadis mauduk ( rekaan dan palsu) seperti disebut dalam Kitab al-Mawahib dalam Kasyaf al-Khifa Wa Mazil al-Albas, hal. 266).

Faktor Kedua: Ajaran Batiniah

Ajaran ini juga dikenali dengan Tasawuf Batiniah iaitu kebatinan. Pada umumnya ajaran ini dibawa melalui buku Kasyaf Al-Asrar terjemahan dan susunan oleh Syeikh Mohammad Salleh bin Abdullah Al-mangkabau yang ditulis pada tahun (1344H/1922M) (tahun 1390 telah ulang cetak ke-22 di Singapura) dan kemudiannya disalurkan melalui buku Hidayah Al-Anwar oleh Syed Ghazali Jamalullail, Pulau Pinang pada tahun 1355H/1933M) dan mengembangkan Ajaran Taslim dari bapanya Hj. Mohd. Matahari, kemudian Hj. Ahmad laksamana bin Omar Kelantan pada tahun 1985, menulis buku Hakikat Insan (1985M) dan Ilmu Tajalli (belum terbit) dan mengembangkannya ke seluruh Malaysia.

Unsur-unsur atau faktor ajaran Batiniah ini ialah berasal daripada Syiah Ismailiyah Batiniah iaitu satu gerakan yang pada mulanya dipropagandakan oleh Abdullah bin Maimon (W 165H/780M). Beliau ialah seorang bekas penganut agama Madaism (Al-Mazdakiyah) berbangsa Yahudi dari Al-Hawas, bapanya Maimon b. Dalsan al-Khaddah ialah hamba kepada Jaafar al-Sadiq iaitu salah seorang imam 12 Syiah.

Al-Khaddahlah yang mendakwa Ismail bin Jaafar al-Sidiq yang telah meninggal dunia tahun 158H dianggap sebagai ghaib dan beliau adalah Imam Mahdi Abdullah bin Maimon juga terpengaruh dengan teori angka simbolik seperti angka 7, 12 yang diambil dari 7 huruf Bismillah dan 12 huruf Lailahaillahallah kemudiannya berjumlah 19. Teori ini akhirnya diambil oleh Ismailiyah Kisaniyah dan Qaromitah.

Di kalangan pengamal ilmu hakikat seperti Taslim wujud satu amalan nikah batin, yang pda asalnya lahir dari konsep batin yang disebar oleh kumpulan Syiah Batiniah.

Nikah batin adalah satu amalan misteri bagi golongan Taslim.ereka merahsiakan amalan ini dari sesiapa. Menurut Hj. Abdullah Fahim b. Abdul Rahman, nikah batin di Malaysia ia bukan sahaja diamalkan oleh kumpulan Taslim bahkan oleh individu lain.

Menurutnya pada tahun 1986 seorang gadis berumur 19 tahun dari Kuala Lumpur membuat laporan ke Pusat Islam yang menyatakan kakaknya telah dinikah batin oleh guru yang mengubat mereka secara batin. Kakak yang tua telah melahirkan 4 orang anak dan yang muda telah dua kali menggugurkan kandungannya.

Guru itu dan kakaknya telah dibicarakan di Mahkamah Syariah Gombak Timor, Selangor atas tuduhan berzina sehingga melahirkan anak. Mereka mengaku salah dan guru tersebut tidak sebut langsung hal ‘nikah batin’, ini berlaku pada 28 Mac 1986. (Lihat catitan kaki hal. 106: Abdullah Fahim b. Hj. Abd. Rahman:

Satu Analisis Perbandingan Antara Doktrin-doktrin Dalam Ajaran Taslim, Ajaran Ahmad Laksamana dan Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Tesis, Fakulti Pengajian Islam UKM, 1991).

Ajaran Batiniah ialah ajaran Tasawuf yang mengandungi 3 unsur iaitu: fahaman Hulul iaitu penyerapan Tuhan dengan hamba dan Wahdatul Wujud dan semacam dengannya, faham Syariah Ismailiyah dan Batiniah dan yang semacam dengannya dan ilmu Kebatinan hasil sankratisma antara kepercayaan primitif, agama Hindu, Buddha, Tasawuf Wahdatul wujud dan ajaran Syiah terutamanya yang terdapat di negara jiran.

Antara ajaran sesat yang mengandungi unsur Batiniah ialah ajaran Taslim, ajaran Tajalli Ahmad Laksamana Kelantan. Ada doktrin wujudiah, batin, takwil, gnosis, emanasi dan kebatinan Jawa (A. Fahim Ibid. H. 193).

Faktor Ketiga: Ajaran Syiah

Yang dimaksudkan dengan ajaran Syiah di sini ialah Syiah Nusairiyah dan Nizariyyah serta Musta’liyah dan Druz . Syiah Ismailiyah berjaya menegakkan kerajaan Fatimi di Mesir tahun 358 Hijrah.

Dalam tahun 487 Imam Kerajaan Fatimi bergelar al-Mustansirbillah meninggal dunia, lalu puak Ismailiyah berpecah dua, satu mengikut Nizar bergelar Nizariyah dan satu lagi mengikut adiknya al-Musta’li lalu digelar at-Musta’liyah.

Ada lagi pecahan lain iaitu Druz dan Nasiriyah yang ada di Lubnan, Syria dan Palestin. Selain itu Syiah Dua Belas yang berakidah dengan dengan Imamah, Wasi, Ismah, Hulul Zahir – Batin. Ia mengandungi 4 konsep utama iaitu:

1: Ada zahir dan batin
2: Ada tanzil dan takwil
3: Ada takiyyah
4: Ada wasi

Di sepanjang sejarah Gerakan Syiah meninggalkan imej buruk yang penuh dengan ugutan, ancaman, pergaduhan dan kekerasan. Sikap kekerasan ini adalah warisan daripada saki baki gerakan syiah Ismailiyah yang berpusat di Aalamut yang diketuai oleh Al-Hasan al-Sabah di abad ke enam Hijrah, yang kadangkala menggunakan Hasyisy (ganja) atau seumpamanya.

Faktor Keempat: Amalan Khurafat

Berpunca dari tiga unsur Sin Kritisma, Hindu-Buddha dan Animisma dan Dinisma. Ia dijelmakan dalam amalan-amalan perbomohan dan kesaktian.

Faktor Kelima: Usaha Menjauhkan Umat Islam Dari Al-Quraan Dan As-Sunnah

Ada pihak tertentu berusaha menyeleweng umat Islam agar tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan As-Sunnah atau salah satu darinya. Mereka terdiri dari golongan munafikin dan zindik dengan usaha tertentu antaranya:

1: Pentafsiran batin oleh golongan kebatinan dan menyatakan al-Quran ada makna zahir dan makna batin dan mendakwa yang wajib diamalkan ialah yang batin sahaja.

2: Pentafsiran dengan angka.

3: Pentafsiran palsu ke atas surah Al-Muddathir ayat 30 dan 31 oleh Rashad Khalifa.

4: Penetapan tarikh berlakunya kiamat.

002: CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Ciri-ciri yang didapati dalam ajaran-ajaran sesat di Malahsia adalah seperti berikut:-

1: Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya dan mendakwa menerima wahyu.

2: Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Al-Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Al-Mahdi dan sebagainya (Qadyani, Bahai, 4 Sahabat, Nasir, Mufarridiah).

3: Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.

4: Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja yang dijamin masuk syurga.

5: Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.

6: Mempercayai bahaw agurunya boleh menebus dosa dengan wang.

7: Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

8: Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya.

9: Memohon kepada benda-benda tertentu seperti batu, cicin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.

10: Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang soleh @ anak hakikat.

11: Mengaku Allah menjelma di dalam diri.

12: Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.

13: Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamal sekarang diambil terus dari Rasulullah s.a.w. secara jaga (Yaqazah).

14: Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan dengan demikian di dakwa pasti masuk syurga.

15: Memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru @ menganggapkan bila sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.

16: Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.

17: Mendakwa bahawa Ibadat Haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah, tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat yang lain.

18: Mengubah dengan sengaja ayat Al-Quran dan maskudnya.

19: Mengaku dan mempercayai bhawa azimat (tangkal) boleh memberi kesan.

20: Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya ada batinnya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan dant idak sampai kepada matlamat sebenar.

003: ANCAMAN KEPADA UMMAH DAN NEGARA

Penyebar ajaran menyeleweng telah banyak mendatangkan keburukan kepada umat dan negara. Antaranya melalui:

1: Mencela Ulama dan Fuqaha

Kebanyakan penganjur ataupun ajaran sesat didapati mendakwa diri mereka masing-masing atau dianggap oleh murid-murid atau pengikutnya sebagai manusia yang mengethaui segala isi iaitu ilmu hakikat dan mereka telah sampai maqam tinggi lalu menolak syariat, pada umumnya mereka mempunyai motif untuk mencela ulama dan fuqaha.

Dalam masa yang sama meletakkan taraf ulama kepada dua iaitu ulama zahir dan batin. Ulama zahir ialah ulama yang hanya mengetahui perkara-perkara zahir seperti ulama yang ada hari ini, sedangkan bagi diri mereka diletakkan taraf yang lebih tinggi dan kedudukannya lebih mulia kerana mengetahui rahsia batin dan ilmu hakikat.

2: Membuat Takwilan Dalam Agama

Guru ajaran sesat berani melakukan takwilan-takwilan terhadap ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. dengan membuat huraian-huraian tanpa asas syarie.

Mereka terpengaruh dengan ajaran Batiniah dan mengguna doktrin batin dan takwil dalam menghuraikan konsep wujudiah yang dipegangnya. Hal ini boleh dilihat dalam bentuk takwil terhadap kalimah-kalimah atas lafaz-lafaz yang berkaitan dengan ibadah seperti pada angka dan pandangan huruf.

3: Kepentingan Peribadi dan Sex

Ajaran-ajaran sesat kebanyakannya adalah mempunyai motif dan kepentingan peribadi guru-guru ajaran sesat itu.

Ini termasuk kepentingan kepada kedudukan, pangkat kebendaan dan seks bebas umpamanya dengan mengamalkan Nikah Batin: yang dinikah itu namanya maknikam, maharnya ialah air mani, walinya Allah Taala, yang manikamnya Muhamad saksinya Kiraman-Katibin (dalam ajaran Tariqatul Islam).

Nikah Batin ialah nikah yang dijalankan secara rahsia oleh guru atas muridnya. Ia boleh berlaku antara guru dengan murid atau murid dengan murid, tidak terikat dengan hukum syarak. Maksud maknikam ialah perempuan yang dinikah.

4: Ingin Melemahkan Perpaduan dan Menghancurkan Agama Islam Melalui Gerakan Rahsia

Peri adanya golongan atau individu yang dengan sengaja tetapi secara halus, ingin merosakkan agama Islam memang wujud, malah sejak zaman Rasulullah dan para sahabat lagi. Tetapi mereka telah mengalami kegagalan kerana Islam telah dapat dikawal dengan ketatnya pada masa itu.

Tetapi perisai kawalan ini telah dapat ditembusi oleh seteru-teru Islam itu di zaman Khalifah Umaiyyah dan di zaman-zaman selepasnya. Mereka melakukan penyelewengan dalam berbagai-bagai segi sama ada di segi akidah atau syariah.

Di dalam keadaan tertentu mereka menafikan kebenaran sumber-sumber Islam itu sendiri dan dalam keadaan lain pula mereka menyelewengkan hukum dan syariat Islam. Hal ini dapat dilihat juga di negara ini melalui:

a: Ajaran Crypto Mokhtar Hassan di hukum di Mahkamah Syariah (Kuang Selangor, 1978) ajaran ini menafikan Al-Quran, membatalkan ibadat sembahyang dan lain-lain. Ajaran ini tidak ada sambutan.

b: Ajaran Taslim (difatwa oleh Jawatankuasa Kedah 1969) ajaran ini kadang-kadang mengurangkan pengerjaan ibadat sembahyang dan puasa.

c: Ajaran Tajalli @ Hakikat Insan Ahmad Laksamana, Kelantan (dihukum di Kelantan tahun 1986). Ajaran ini memperkecilkan ulama syariat. Ia telah merebak ke serata negeri.

d: Ajaran Mohd. Nasir Ismail Kemboja (Batu Pahat 1980) yang menafikan fardhu Jumaat serta menyalahkan orang lain, akhirnya telah menyerang Balai Polis Batu Pahat.

e: Kumpulan Anti Hadis (Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan mengharamkannya Januari 1986, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengharamkan November 1995).

f: Untuk memecahbelahkan perpaduan dan persaudaraan umat Islam.

Syiah yang tumbuh tahun 36H, dan sekarang Syiah di Iran, Lubnan, Pakistan dan lain-lain telah menimbulkan banyak masalah kepada dunia Islam. Di Malaysia kes Abu talib Haron @ Ahmad Habibullah Ahmad As-Salafi 34 tahun yang berkahwin dengan 10 orang (6 bermutaah) dituduh dengan 16 tuduhan berasingan (mulai dibicara bulan Julai 1994), di Johor Bahru telah menguji kewibawaan pihak berkuasa agama akhirnya beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua (2) tahun mulai Julai tahun 1995.

g: Untuk Menguji Sejauhmana Kefahaman Dan Ketaatan Umat Islam Terhadap Agamanya

Apabila mereka berjaya dengan motif tersebut, maka senanglah agama dan umat Islam dihancurkan dan diganti dengan ideologi dan sistem asing.

004: MANGSA AJARAN SESAT

Golongan yang mudah terpengaruh menjadi mangsa ajaran sesat ialah terdiri daripada:

1: mereka yang jahil dan kosong jiwa kerana tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup. Dan mendapat dorongn kawan-kawan supaya berguru atau belajar melalui orang-orang tertentu yang mengajar secara rahsia dan sulit;

2: mereka yang ghairah mencari ketenangan jiwa dan kesempurnan beragama terutama melalui unsur kerohanian dengan cara jalan dekat tanpa ikut sunnah; dan

3: golongan yang salah atau menyeleweng dalam hal yang berhubung dengan usul; hal ini terjadi kerana mereka kurang kemantapan dalam usul syariyyah dan tunjangan serta pengetahuan mereka yang lemah dalam hal Shaddik dan ikhlas. Mereka mendakwa diri hampir dengan Allah dan berada di makam tertinggi.

Dalam keadaan ini terdapat orang yang suka mengeksploitasikan kejahilan dan kedahagaan masyarakat kepada kesempurnaan kerohanian dan lalu digunakan untuk kepentingan tertentu, seperti untuk mendapat kekayaan, pangkat, kuasa dan sex bebas.

Di samping itu terdapat golongan yang berpegang kepada konsep kebebasan intelektualisme. Golongan ini mengagungkan rasionalisme dan pendekatan apa yang dikatakan secara sainstifik dan emparical dalam soal agama. Golongan ini membawa fahaman modenisasi dalam Islam yang bertentangan dengan akidah dan fahaman yang diiktiraf dan diterima oleh masyarakat di negara ini.

Mereka ini dengan fikiran-fikiran baru itu menggugat akidah orang yang kurang kukuh pegangannya. Dengan akhirnya menimbulkan ajaran-ajaran sesat yang membawa perpecahan dalam masyarakat.

005: IMPLIKASI TERHADAP KEMURNIAN AKIDAH DAN KESELAMATAN

Kumpulan ajaran sesat didapati sentiasa muncul dan merebak daripada satu negeri ke satu negeri yang lain atau ke seluruh negara, jika tindakan membenterasnya tidak diberikan tumpuan yang bersungguh-sungguh.

Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa negeri terhadap kumpulan-kumpulan ajaran sesat tertentu tidak memberi kesan yang positif kerana ia akan berpindah ke negeri-negeri lain.

Ini memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak di bawah penyelarasan sebuah agensi pusat. Perancangan membanteras ajaran sesat memerlukan proses yang seragam bagi menunjukkan tindakannya berkesan dan hasilnya dapat dijangka dengan lebih tepat. Dengan demikian, JAKIM perlu diberi tugas menyelaraskan program tindakan ini.

Sudah nyata pada pandangan umum, bahawa ajaran-ajaran sesat ini telah membawa dan boleh membawa kepada beberapa akibat dan ancaman kepada agama dan keamanan. Antara akibat-akibat ancaman itu ialah;

a: Meluasnya kesesatan di segi akidah dan penyelewngan di segi ibadat orang-orang Islam. Ini dapat digambarkan melalui ajaran-ajaran sesat yang disebutkan di atas.

b: Meluasnya perpecahan dalam masyarakat Islam.
Tiap-tiap ajaran sesat mempunyai ‘Ketua Guru’ dan pengikutnya sendiri. Antara mereka mempunyai perhubungan yang rapat seolah-olah hubungan antara ‘saudara dengan saudaranya yang lain’.

Melalui ajaran yang dianuti, mereka memupuk persefahaman hidup dan jika dapat, cuba mewujudkan kumpulan atau masyarakat mereka sendiri. Dari sinilah wujudnya apa yang boleh dipanggil:

1: Masyarakat Orang Qadiani’ di Kg. Nakhoda, Selangor.
2: Masyarakat Orang Taslim’ di Yan, Kedah.
3: Masyarakat Ikhwan’ @ ‘Al-Mas’ di W. Persekutuan, Selangor dan Melaka.

Sebagaimana yang telah diketahui, ahli-ahli kumpulan masyarakat di atas antaranya tidak boleh berkahwin dengan orang yang bukan dari ahli masyarakat mereka, atas arahan dan hukum dari ajaran itu sendiri. Ini menimbulkan akibat yang buruk, bukan sahaja dari segi agama malah dari segi sosial.

c: Timbulnya berbagai-bagai keganasan di dalam masyarakat.

Keganasan yang timbul bukan sahaja sekadar mencedera dan membunuh orang lain, malah boleh membunuh diri mereka sendiri. Hal ini boleh ditunjukkan dari beberapa kejadian berikut:-

1: Pembunuhan dan tembak menembak antara polis dengan Kumpulan Ajaran Empat Sahabat, Kg. Dedap Rantau Panjang, Kelantan pada 19 Oktober 1974. Dalam kejadian ini, seorang dari kumpulan 22 orang itu telah mati tertembak dan yang lain-lain cedera parah atau cedera. Dalam pertempuran dengan anggota polis dan Rela itu mereka telah cuba bertahan dan tidak mahu menyerah sehinggalah mereka tidak berdaya lagi dan terus ditangkap. Mereka kemudiannya didakwa dan dihukum salah oleh Mahkamah Kadi Besar Kelantan pada tahun 1974 atas kesalahan mengajar ajaran salah.

2: Serangan dengan parang oleh seorang awam ke atas seorang pengikut Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya di Bukit Marak, Kelantan pada tahun 1976. Pengikut tersebut telah luka di bahu dan dimasukkan ke Hospital Besar Kota Bharu. Ini berlaku akibat dakwaan pengikut tarikat tersebut bahawa orang yang tidak memasuki tarikatnya adalah tidak betul, tidak selamat dan tidak terjamin masuk syurga.

3: Serangan Tajul Ariffin yang mendakwa dirinya Imam Mahdi, ke atas Tuan Hj. Damanhuri b. Hj. Abd. Wahab, di masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak pada 5 Julai 1979. Ini berikutan keengganan orang lain mengiktiraf dirinya sebagai Imam Mahdi. Haji Damanhuri telah luka. Walau bagaimanapun, pemeriksaan doktor menunjukkan bahawa Tajul Ariffin adalah kurang siuman dan pernah dimasukkan ke Hospital Tanjung Rambutan untuk rawatan sakit otak.

4: Serangan pengikut-pengikut Haji Kamaruddin bin Ahmad Kajang, ke atas kuil-kuil Hindu di Selangor dan Wilayah Persekutuan dan akhirnya Kuil Hindu di Kerling, Selangor pada 19 Ogos 1979. Akibat dari serangan ini empat (4) orang dari mereka telah dicederakan hingga mati oleh penjaga-penjaga kuil tersebut.

5: Serangan kumpulan Mohd. Nasir bin Ismail (seramai 15) orang ke atas Balai Polis Batu Pahat pada pagi 16 Oktober 1980 dan mencederakan berbelas orang polis dan kakitangan Balai tersebut. Akibatnya 8 orang dari kumpulan ini, termasuk Nasir sendiri telah mati ditembak oleh Polis.

4: Berlakunya keretakan dalam keluarga.

Apabila terdapat seorang dari anggota keluarga itu, khususnya si suami yang memasuki satu-satu ajaran sesat, maka berlakulah keretakan dalam keluarganya, terutama apabila isteri tidak menyertai sama suaminya atau tidak menyokongnya. Hal ini berlaku apabila:

1: Si suami selalu menghabiskan masa siang dan malam bersama-sama guru dan pengikut yang lain dan apabila pulang ke rumah amalan-amalan di dalam ajaran tesebut diteruskan lagi dan kadang-kadang jelas pada pandangan isteri amalan dan iktikadnya sudah menyeleweng begitu juga sebaliknya.

2: Banyak harta benda dan wang dicurah dan digunakan untuk kepentingan ajaran, guru dan pengikutnya. Hal ini berlaku kepada pengikut kumpulan al-Arqam dan lain-lain. Hal yang sama berlaku pada pengikut-pengikut beberapa ajaran sesat.

3: Si suami tidak lagi mahu mencampuri sahabat handai biasa yang bukan menjadi ahli ajaran yang diikutinya. Ini menyulitkan kehidupan biasa keluarga tersebut.

Dan terdapat berbagai-bagai akibat dan bencana lain lagi hasil wujudnya ajaran-ajaran sesat ini.

006: PENUTUP

Mudah-mudahan dengan penjelasan mengenai ajaran sesat ini boleh memberi garis panduan dalam usaha pembanterasan ajaran sesat di negeri-negeri.

Disediakan oleh:

Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kuala Lumpur
Mei 2000

Petikan : http://www.islam.gov.my/ppi/faktorasesat.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.