Pages

Subscribe:

13 Ogos, 2009

HINA ISLAM

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ‘menghalalkan’ tindakan DAP menghina Islam merupakan satu kenyataan yang dipengaruhi oleh pendirian politik dan tidak berdasarkan kepada kearifan ilmu agamanya.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, perkara itu amat serius kerana apabila dibiar berterusan akan menjadikan sesuatu yang menghina Islam sebagai perkara biasa pada akhirnya.

“Bagi saya, pendapat Nik Abdul Aziz itu sangat dipengaruhi oleh pendirian politik. Ia adalah amat membimbangkan kerana akan menghakis terus perasaan sensitiviti terhadap kesucian agama Islam.

“Apabila dihina, kita hanya senyap dan pada masa yang sama seperti mengizinkan. Lama-kelamaan ia akan menjadi seperti perkara biasa dan kalis serta jika berlaku, adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Tegas Mahmood Zuhdi, dalam setiap isu berkaitan dengan agama, tidak sepatutnya dipolitikkan kerana dibimbangi akan menjejaskan kesucian Islam itu sendiri.

Justeru, beliau yakin sekiranya Nik Abdul Aziz tidak berada pada kedudukan sekarang sebaliknya sebagai ulama biasa, pasti akan berasa sensitif dengan penghinaan dan cacian terhadap Islam yang dihamburkan oleh orang bukan Islam.

“Inilah bahayanya apabila orang- orang agama memakai topi atau pakaian politik. Saya berpendapat mungkin Nik Abdul Aziz sedikit terkeliru kerana tidak mendapat maklumat tepat dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain menegur Nik Abdul Aziz yang terlalu memberi ‘muka’ kepada DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam secara mendalam.

“Kenyataan itu adalah jelas tidak tepat kerana saya percaya orang bukan Islam di negara ini sebenarnya sudah cukup faham dengan Islam. Cuma mereka tidak mahukan syariat Islam ditegakkan di negara ini.

“Kalau mereka tidak faham, maka sudah pasti mereka tidak akan mengeluarkan sebarang komen mengenai undang-undang Hudud seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pemimpin mereka dahulu iaitu, ‘langkah mayat aku dahulu’,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz sepatutnya membetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap ajaran Islam dan bukannya menambah kekeliruan mereka.

Mohammad Yusoff berkata, Nik Abdul Aziz seharunya mengutamakan objektif dan bukan menekankan kepada perkara subjektif iaitu kepentingan politik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan menyokong DAP hanya kerana mereka bersekongkol atau berada sekumpulan dengan kita dengan membuat pelbagai cara untuk menghalalkan apa yang mereka cakap.

“Tidak bolehlah membutakan mata, memekakkan telinga demi kepentingan golongan yang diwakili, kerana secara tidak langsung Nik Abdul Aziz telah menyokong golongan menghina Islam,” katanya yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.