Pages

Subscribe:

24 September, 2009

ISA perlu dikekal, diberi penambahbaikan

MARAN 24 Sept. - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikekalkan dengan diberi penambahbaikan untuk menjamin keselamatan dan kemakmuran rakyat negara ini.

Justeru Setiausaha Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Ismail Muttalib berkata, kerajaan tidak perlu melayan gesaan daripada mana-mana pihak supaya akta itu dihapuskan kerana mereka sengaja mempolemikkan isu tersebut bagi tujuan politik peribadi

Tambah beliau, pembabitan pemimpin pembangkang yang mengheret generasi muda menyertai perhimpunan haram membantah dan mendesak kerajaan memansuhkan ISA baru-baru ini tidak patut berlaku.

Katanya, pemimpin pembangkang itu telah membawa mesej yang salah kepada generasi muda supaya menggunakan jalan raya untuk berdemonstrasi dan mencetuskan provokasi bagi mencapai cita-cita atau matlamat peribadi.

"Hal yang demikian bertentangan sama sekali dengan budaya dan adat Melayu yang kaya dengan sopan santun, hormat menghormati yang menolak sama sekali sikap kasar dan ganas.

"Demonstrasi membantah ISA pada 1 Ogos lalu jelas memberi gambaran buruk kepada orang Melayu dan beragama Islam kerana 95 peratus daripada mereka yang terbabit adalah orang Melayu dan generasi muda Melayu," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop bahawa kajian ISA akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Ismail menegaskan, ISA perlu dikekalkan kerana akta itu sangat relevan bagi menangani sesuatu jenayah yang mengancam keselamatan awam dan negara pada peringkat awal lagi.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Khairul Amin Osman, 37, pula mengingatkan orang Melayu supaya bijak menilai mengapa ISA perlu dikekalkan.

Tegasnya, jika akta itu dimansuhkan atas desakan pembangkang, ia hanya akan memberi ruang lebih luas kepada mana-mana individu atau kumpulan atau petualang menghuru-harakan negara.

"Jika akta ini dimansuhkan bermakna secara tidak langsung memberi tiket kepada penjenayah melakukan onar di mana mereka hanya dapat disabitkan kesalahan setelah melakukan jenayah," katanya.

Ketua Puteri UMNO Kuala Krau, Norhasmimi Abd.Ghani, 36, pula menyokong kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Muhammed Hanif Omar yang menyifatkan hanya orang yang kurang waras akan mendesak ISA dihapuskan.

Katanya, ISA semakin penting bagi mana-mana negara di dunia termasuk Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia yang cenderung pada keganasan berikutan perkembangan globalisasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.