Memberi salam pembuka tirai suatu perkenalan. Salam menghancurkan rintangan untuk bermesra antara satu dengan yang lain. Langkah selanjutnya bagi seorang mukmin setelah bertegur sapa dengan salam ialah bertaaruf. Saudara sebangsa dan seagama, tidak bermakna jika tidak berkenalan antara satu sama lain.
Kepelbagaian budaya dan warna hidup, pasti meluaskan pandangan dan pengalaman. Banyak iktibar yang boleh didapati apabila kita berpeluang melihat manusia pelbagai bangsa, bertukar fikiran dan pengalaman dengan saudara kita.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan kabilah adalah untuk saling berkenalan. Sesungguhnya yang lebih mulia di kalangan kamu ialah orang yang lebih bertaqwa." (Surah al-Hujurat: 13)
Marilah di dalam usaha kita membina kembali ummah, mulakan kehidupan baru dalam hubungan sesama Islam. Kita menghormati sesama Islam dan menghidupkan kembali suasana persaudaraan di kalangan orang tua, ibu bapa menghormati anak dan anak menghormati ibu bapa. Peliharalah lidah daripada mengeluarkan kata-kata cemar dan kotor terhadap sesama Islam, inilah akhlak Islam dan marilah kita menghayatinya sepenuh hati.
Perjuangan membina ummah perlukan kerjasama setiap anggota ummah. Kerana itu kita mesti mengenali mereka, mencari jalan untuk berkenalan dan diikuti dengan usaha mendapat kerjasama serta sokongan mereka.
Jauhkan kerja yang merenggangkan kita dengan ummah. Mereka adalah saudara dan sahabat kita. Dapatkan kerjasama semua pihak untuk menjayakan niat suci membina kembali umat dan bangsa yang dikasihi.
Ingatlah bahawa usaha membina ummah, berjalan atas asas persaudaraan, kasih sayang, kesungguhan dan pergantungan dengan seluruh anggota ummah. Justeru, kerja yang berat akan menjadi ringan dan yang susah akan menjadi mudah. Kerjasama adalah sebahagian fenomena persaudaraan yang hendak ditegakkan Islam di kalangan umatnya.
Kerjasama itu diteruskan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, akan berkembang mencapai tahap tadhamun iaitu ikatan setia kawan antara umat Islam.
Inilah yang perlu dicapai masyarakat Islam seperti dirakamkan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan demam." � (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
Oleh kerana wujudnya setiakawan yang kuat dan padu, masyarakat Islam pada zaman awal Islam, tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun. Mereka mempunyai maruah tinggi dan disegani kerana mereka prihatin terhadap kesusahan dan kesulitan saudara mereka. Mereka bertindak tegas terhadap orang kafir yang cuba menceroboh dan menjatuhkan maruah Islam dan umat Islam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Muhammad pesuruh dan mereka yang bersama-samanya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir dan saling berkasih sayang sesama mereka." (Surah Al-Fath: 29)
Tetapi ketegasan dalam tindakan mereka sentiasa berpegang kepada keadilan. Mereka akan memihak kepada yang benar, walaupun terpaksa menghukum diri serta saudara. Mereka berpegang kepada prinsip yang ditetapkan al-Quran.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu kitab supaya kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia dengan apa yang dipelihara kepada kamu kepada Allah dan jangan kamu menjadi pembela kepada orang yang khianat." � (Surah al-Nisa: 105)
Ayat itu mengenai Ibn Ubairaq yang mencuri sebilah pedang dan kemudian melemparkan tuduhan kepada seorang yang tidak bersalah.
Larangan menjadi pembela kepada pengkhianat itu merangkumi perbuatan khianat terhadap orang Islam atau orang kafir muahad (yang memeterai perjanjian damai dan hidup bersama secara aman). Kerana itu, keadilan adalah menjadi pegangan kukuh mereka dalam pelaksanaan sikap tegas.
Sikap setia kawan dan prihatin terhadap kesulitan dihadapi saudara Muslim ini menjadi asas kepada pembentukan masyarakat bertakaful iaitu masyarakat yang terjamin dari segi keselamatan, kesejahteraan dan pemeliharaan hak bagi setiap individu, keluarga serta masyarakat.
Kita berusaha menghidupkan kembali budaya ini dalam Program Bina Ummah dan mengajak semua sahabat memulakannya. Walaupun pada peringkat awal, ia dihayati dalam kumpulan yang kecil, lama kelamaan, kehidupan seperti ini akan berkembang dan membesar.
Jika yang menguatkan bangunan itu ialah besi, paku, batu atau simen konkrit, maka yang menyatu dan saling menguatkan binaan masyarakat Islam ialah persaudaraan yang melahirkan perasaan kasih sayang, tolong menolong, bekerjasama dan takutkan balasan Allah di akhirat.
Menerusi taaruf (berkenalan) , ta'awun (bekerjasama) , jaminan sosial (tadhamun) dan saling bantu membantu (takaful), maka masyarakat Islam yang penyayang serta prihatin dapat dibina dan ditegakkan.
Bagaimanapun, kekuatan bangunan masyarakat Islam akan roboh oleh perbuatan umat Islam sendiri, jika ia dibiarkan dimakan anai-anai, dipecahkan oleh tangan jahat dan dimusnahkan oleh perbuatan ganas yang tidak mengingini masyarakat Islam dibina dengan teguh.
Anai-anai itu ialah permusuhan antara sesama Islam, benci membenci, ghaibah (mengumpat) khianat, tiada setia kawan, fitnah memfitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan sebagainya.
Dengan beriltizam daripada ajaran Allah dan Rasul-Nya, maka perubahan masyarakat Islam yang kian pincang akan dapat dilakukan secara berkesan, bermula daripada perubahan dalam lingkungan sahabat dan dikembangkan dalam masyarakat lebih luas. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita.
Oleh Penulis Khas YaPEIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.