Pages

Subscribe:

29 Oktober, 2009

[hang nadim ] Kilang memproses nira nipah





Kilang memproses nira nipah tunggal negara ini yang terletak di Kampung Kelulut, Marang, menjadi antara produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang kini menjadi sumber pendapatan sampingan penduduk tempatan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi, pusat itu yang diseliakan Siti Aishah Mohamad @ Abd Aziz dengan dibantu operator pemprosesan, Fatimah Mohd, menjadi pengeluar air nira atau Nira Mocca terkenal di seluruh negara.

Air nira nipah itu diperolehi daripada pokok nipah sejenis tumbuhan kumpulan palma dikenali nama botaninya Nypa fruiticans, tumbuh di kawasan lembab dan berair tawar.

Bukan sahaja rasanya manis, nira nipah juga berkhasiat dan menjadi minuman asli yang mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu, tetapi kaum lain.

Antara khasiat nira nipah menurunkan suhu badan yang panas, mencuci buah pinggang serta mengubati penyakit gastrik, darah tinggi dan kencing manis.

Pada masa yang sama, perusahaan nira nipah memberi pendapatan sampingan kepada enam penduduk sekitar kampung Kelulut yang mengambil upah memungut air nira dengan kadar upah RM4 seliter.

Menurut Siti Aishah, lazimnya pembekal nira nipah menghantar 40 liter sehari dan setiap orang memperolehi antara RM600 hingga RM800 sebulan, bergantung kepada kuantiti nira terkumpul.

Hasil promosi giat yang diatur Cakna Sdn Bhd menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Nira Mocca laris terjual di ekspo dan pameran dalam mahu pun luar Terengganu.

Kilang pemprosesan yang mampu menghasilkan kapasiti 120 kilogram air nira atau bersamaan 700 botol nira mocca, juga mengeluarkan cuka nipah dengan jumlah antara 200 botol hingga 500 botol sehari.

Cuka nipah dengan isian 60 hingga 80 liter sebotol perlu melalui beberapa proses yang dilakukan pada waktu siang, di mana air nira nipah berkenaan perlu diperam selama 40 hari dan elok dihasilkan pada musim kemarau.

Nira Mocca dijual dengan harga RM2.50 sebotol atau RM31.20 sekaton boleh didapati di pusat pemprosesan berkenaan yang dibuka 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Selain Nira Mocca dan cuka nipah, pusat itu yang dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Ogos 2006 itu turut menghasilkan aiskrim nira.

Produk nira nipah sudah dipasarkan di serata tempat dan boleh dibeli di Mydin Mall, Giant, Taman Tamadun Islam, Nor Arfa Craft Compleks, kedai keropok di Losong dan Seberang takir, selain kedai runcit sekitar Terengganu.

Dalam program SDSI 2008 di Pusat Dagangan Terengganu, Mei lalu, perusahaan itu turut mendapat tempat pertama sebagai `Booth Cuka Nipah Terbaik’.

Webmaster : satuganukita@yahoo.com




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.