Pages

Subscribe:

29 Oktober, 2009

PAKISTAN Angka rasmi mangsa 105 maut


Orang ramai bekerjasama mengangkat budak lelaki yang ditemui di bawah runtuhan bangunan. - AFP

--------------------
PESHAWAR 29 Okt. - Pakistan diselubungi kesedihan hari ini selepas insiden berdarah yang meragut 105 nyawa semalam, sekali gus menenggelamkan misi keamanan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ke negara itu.

Serangan itu menjadi penutup dalam pertumpahan darah bulan ini di negara Islam berkuasa nuklear ini di mana keadaan berjaga-jaga dan kawalan keselamatan ketatnya gagal menghalang sebuah kereta dari diletupkan di sebuah pasar di Peshawar, meruntuhkan bangunan dan mengorbankan peniaga.

Kebanyakan yang terbunuh di bandar yang berjiran dengan kawasan kabilah tempat perlindungan al-Qaeda dan Taliban Pakistan adalah wanita dan kanak-kanak, dalam apa yang dilihat sebagai cubaan untuk mencemarkan misi Hillary untuk mengukuhkan kerajaan.

Tiada sesiapa mengaku bertanggungjawab namun serangan demi serangan yang memaksa kerajaan menghantar 30,000 askar bagi menangani kumpulan Taliban yang beroperasi di Selatan Waziristan.

"Sebanyak 105 orang terbunuh. Seramai 71 daripadanya telah dikenal pasti. Sebanyak 13 mangsa adalah kanak-kanak dan 27 lagi wanita," kata doktor di Lady Reading Hospital, Zafar Iqbal. Sejumlah 217 yang lain cedera.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengetuai kemarahan antarabangsa terhadap serangan tersebut, yang dilancarkan sejurus selepas serangan Taliban ke atas hostel kediaman petugas PBB yang membunuh lapan orang.

Pada upacara pengebumian yang menyayat hati di bandar konservatif dengan 2.5 juta penduduk etnik Pashtun ini, kemarahan mengenai serangan yang banyak mengorbankan wanita dan kanak-kanak itu jelas terpapar.

"Abang dan bapa saya tidak mempunyai kaitan langsung dengan Taliban atau tentera, mengapa mereka terbunuh? Kami menerima mayat mereka dalam cebisan daging. Hampir mustahil bagi kami mengenal pasti mereka," luah seorang penduduk, Saddiq Khan, sambil menitiskan air mata.

Kedai dan pasar ditutup tiga hari sebagai tanda berkabung dan kebanyakan keluarga berkurung di dalam rumah. Sekolah memang sudah lama ditutup atas sebab-sebab keselamatan.

Letupan itu, yang paling serius sejak serangan ke atas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang meragut kira-kira 140 nyawa pada Oktober 2007, menunjukkan besarnya ancaman ekstremis dalam negara Islam berkuasa nuklear ini. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.