Pages

Subscribe:

29 Oktober, 2009

PM Thai sokong idea Najib











BANGKOK 29 Okt. – Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva hari ini menyokong cadangan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Bangkok memberi autonomi kepada wilayah selatannya.

Abhisit berkata, beliau akan membincangkan rancangan untuk selatan Thai apabila Najib melawat negara itu pada Disember ini.

Najib dalam satu wawancara akhbar yang disiarkan baru-baru ini berkata, Thailand hendaklah menawarkan autonomi ‘dalam bentuk tertentu’ kepada selatan Thai, di mana lebih 3,900 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Januari 2004.

“Itulah pendekatan yang betul. Kerajaan saya sedang berusaha untuk merealisasikannya dan pada awal Disember nanti, saya dan rakan sejawatan saya dari Malaysia akan melawat wilayah selatan,” kata Abhisit dalam reaksinya terhadap kenyataan Najib itu.

Najib memberitahu akhbar berbahasa Inggeris di Thailand, The Nation bahawa ‘anda mungkin tidak mahu menyebutnya sebagai autonomi tetapi sekurang-kurangnya terdapat autonomi dalam bentuk tertentu’.

“Terserah kepada Thailand untuk membuat keputusan sejauh mana autonomi di selatan Thai patut dibenarkan dan Malaysia selaku negara jiran tidak akan campur tangan dalam hal itu,” katanya.

Jurucakap kerajaan Thai, Panitan Wattanayagorn berkata, Perdana Menteri Malaysia itu mengakui keganasan di selatan Thai adalah ‘urusan dalaman Thai semata-mata’ dan telah berjanji untuk bekerjasama dengan negara jiran itu bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Thailand menyokong pendekatan ini tetapi selatan Thai bukanlah wilayah merdeka.

“Pendekatan ini tidak menyalahi perlembagaan tetapi sebaliknya membenarkan lebih banyak penyertaan rakyat dalam bentuk dewan perhimpunan tempatan,” kata Panitan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.