Pages

Subscribe:

11 November, 2014

[hang nadim] Bekas Ketua Polis Negara meninggal dunia......





Ahmad Zahid Hamidi (duduk, dua dari kiri) menziarahi jenazah Allahyarham Mohd. Bakri Omar yang meninggal dunia di Klang, Selangor, semalam. – Utusan/Saharuddin Abdullah
KAPAR 10 Nov. – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd. Bakri Omar (gambar) meninggal dunia di Institut Kanser Negara di Putrajaya hari ini akibat sakit kanser mulut dan usus.
Allahyarham yang ber­­usia 66 tahun dan merupakan KPN Ketujuh meninggal dunia kira-kira pukul 8.45 pagi.
Menteri Dalam Ne­ge­ri, Datuk Seri Dr. Ah­­mad Zahid Hamidi ber­­kata, pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kerana beliau banyak memberi sumbangan dari segi ke­selamatan negara khususnya dalam operasi antikeganas­an.
“Beliau juga banyak memberi idea baharu kepada saya ketika saya mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri terutamanya tentang pencegahan dan pembanterasan jenayah.
“Hari ini saya turut mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di Beijing, China; Timbalan Perda­na Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini berada di Jepun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Kha­lid Abu Bakar yang juga berada di luar negara, un­tuk menziarahi dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Aman Perdana, Meru, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pemangku Timbalan KPN, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dan Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan.
Allahyarham yang dilahirkan di Manjung, Perak dilantik menjadi KPN pada 6 November 2003 hingga 11 September 2006.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Maizura Yusof, 44, dan tiga orang anak iaitu Eda Mastura, 41, Mahathir, 35, dan Mahadi, 35.
Sebelum menjadi KPN, Allahyarham merupakan pengarah pertama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Ketua Polis Kedah serta Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham dikebumi­kan di Tanah Perkuburan Islam Bu­kit Kiara selepas solat Asar.
Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, satu majlis pengebumian tertinggi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
“Urusan pengebumian akan di­kendalikan sepenuhnya oleh PDRM sebagai menghargai jasa dan sumbangan arwah kepada pasukan keselamatan dan negara. Allahyarham ialah seorang yang tegas terutamanya tentang disiplin dan integriti yang tidak membenarkan perkara penye­lewengan berlaku,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bekas-ketua-polis-negara-meninggal-dunia-1.23329#sthash.V1Rfmo5n.dpu
Tan Sri Mohd. Bakri Hj. Omar (2003 - 2006)
Tidak ramai yang mengenali beliau sebelum ini, kerana beliau sering dikatakan sebagai 'low profile', walaupun jawatan yang dipegangnya sebelum ini merupakan jawatan-jawatan penting.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, namanya disebut-sebut bukan sahaja di kalangan warga PDRM, malahan di kalangan orang ramai.
Beliau ialah Tan Sri Mohd. Bakri Hj. Omar, Ketua Polis Negara yang menggantikan Tan Sri Norian Mai yang bersara hari ini, 5 November 2003. Beliau dikenali sebagai seorang pegawai kanan polis yang amat tegas dan menitikberatkan disiplin di kalangan pegawai dan anggota bawahannya. Ciri-ciri kepimpinan ini telah mendatangkan rasa gerun dan hormat seluruh warga PDRM terhadapnya; di kalangan ahli masyarakat, mereka melihat beliau secara positif, iaitu sebagai pemimpin pasukan yang mampu berbuat sesuatu, khususnya dalam membimbing PDRM menurut aspirasi masyarakat.
Tan Sri Mohd Bakri dilahirkan pada 10 September 1948 di Manjung, Perak.
Dengan berbekalkan kelulusan Sarjana Sastera, beliau telah memulakan perkhidmatan beliau sebagai Kadet Asisten Superintenden pada 1 Januari 1971, dan seperti kebanyakan pegawai lain, telah menjalani latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Beliau  memegang beberapa jawatan 'command post' yang penting, di antaranya:-
·         Ketua Polis Daerah Mersing (1972 - 1973)
·         Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang (1974 - 1977)
·         Ketua Polis Daerah Petaling Jaya (1987 - 1988)
·         Timbalan Komandan Maktab Pegawai Kanan Polis, Kuala Kubu Bahru (1984 - 1986)
·         Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (1988 - 1990)
·         Pesuruhjaya Polis Sabah (1994)
·         Ketua Polis Kedah (1996 - 1997)
·         Ketua Polis Kuala Lumpur (1997-1998)
·         Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (1998 - 1999)
·         Pengarah Pengurusan (1999 - 2002)
·         Timbalan Ketua Polis Negara (2002 - 2003)
Sebagai seorang pegawai kanan yang berpengalaman, beliau juga memiliki segala ilmu yang mencukupi bagi memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Negara. Beliau telah mengikuti kursus-kursus penting seperti 'Hostage Negotiation Technic', 'Terrorism' dan Airport Security Management.
Seperti kesemua Ketua Polis Negara sebelum ini, beliau juga merupakan lepasan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.

Peribadi Allahyarham disenangi ramai – Isteri



11 November 2014 2:09 AM

Maizura Mohd. Yusof KUALA LUMPUR 10 Nov. – “Allahyarham Tan Sri Mohd. Bakri Omar, seorang yang tegas tidak kira dengan sesiapa, namun dia penyayang.
“Sikapnya itu mem­buatkan beliau disenangi dan di­sayangi oleh ramai orang termasuk dalam kalangan rakan sekerja sewaktu menyarung uniform pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dahulu”.
Itulah gambaran tentang bekas Ketua Polis Negara itu oleh isterinya, Puan Sri Maizura Mohd. Yusof, 44, tentang peribadi suaminya yang me­ninggal dunia akibat penyakit kanser mulut dan usus di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, pagi ini.
Menurut Maizura, sejak suami­nya disahkan menghidap penyakit tersebut pada 2010, Allahyarham kerap berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Saya bersyukur kerana dapat menjaganya apatah lagi berada di sisinya pada saat beliau menghembuskan nafas terakhir. Sekiranya suami ada melakukan sebarang kesilapan kepada mana-mana pihak, saya minta maafkanlah beliau,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di si­ni hari ini.
Jelas Maizura, kesihatan suami­nya merosot dan sering mengalami sesak nafas sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan Allahyarham dimasukkan ke IKN pada 2 November lalu.
“Sepatutnya hari ini kami bawanya pulang, namun suami kata tidak mahu kerana risau jatuh atau sesak nafas di rumah berikut­an tiada kemudahan lengkap se­perti di hospital.
“Pagi tadi suami perlu makan ubat seperti biasa, na­mun sesak nafasnya semakin teruk dan tidak lama selepas itu, beliau disahkan sudah tiada,” ujarnya yang menerima kehi­langan tersebut de­ngan reda.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin menyifatkan Allahyarham seorang pemimpin yang tegas, berkaliber, berhemah, disenangi serta sentiasa memberikan arahan yang jelas.
“Saya pernah berkhidmat di ba­wah Allahyarham semasa memegang jawatan sebagai Ketua Polis Dae­rah Sandakan. Sewaktu itu, Allahyarham memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah.
“Sepanjang tempoh itu, saya senang melakukan kerja kerana arahan yang diberikan tepat dan jelas,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, kira-kira pukul 3.50 petang ini.

Majlis pengebumian selamat disempurnakan meskipun dalam keadaan hujan renyai oleh lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara serta anggota PDRM selaku pengendali urusan tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham kepada pasukan keselamatan dan negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.