MOHD. IZANI MOHD.
ZAIN | 13 November 2014 2:00 AM
Baru-baru ini, satu Forum Demokrat Islam Sedunia diadakan di ibu
negara dan antara isu yang menarik perhatian penulis adalah pandangan salah
seorang pembentang kertas kerja yang menegaskan bahawa parti politik Islam yang
eksklusif tidak mempunyai masa depan.
Beliau juga mencadangkan agar kumpulan Islamis atau pendukung
politik Islam lebih mesra dengan demokrasi dan menerima sistem itu sebagai satu
budaya politik dan bukan satu cara untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Dalam
erti kata lain, mereka perlu melihat demokrasi dari perspektif melangkaui
pilihan raya.
Tidak dinafikan, persaingan untuk mendapatkan kuasa politik
melalui proses demokrasi dalam konteks politik Muslim telah memunculkan dua
kumpulan atau golongan. Antaranya, apa yang diperkenalkan oleh ahli akademik
dari Amerika Syarikat, Vali Nasr iaitu Islamis dan Muslim Demokrat.
Menurut beliau, Islamis merujuk kepada gerakan Islam yang
menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya dan bercita-cita menubuhkan
negara Islam. Nasr mendakwa Islamis hanyalah menggunakan demokrasi sebagai alat
untuk mencapai kuasa politik. Kumpulan kedua iaitu Muslim Demokrat pula dilihat
secara lebih positif di mana kumpulan ini menyertai demokrasi untuk menubuhkan
negara yang stabil dan mampu memenuhi keperluan rakyat tanpa terpengaruh dengan
retorik negara Islam atau undang-undang Islam.
Islamis dan
Muslim Demokrat
Di Malaysia, persaingan politik Muslim banyak tertumpu kepada
dua parti politik yang bertunjangkan sokongan Melayu dan Islam iaitu UMNO dan
Pas. UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan pada 1946 hasil
gerakan menentang Malayan Union yang bertujuan menjaga kepentingan Melayu dan
Islam. Walaupun perjuangan UMNO berteraskan kepada hal ehwal orang Melayu dan
Islam di negara, UMNO juga adalah sebuah parti yang pragmatik apabila
bekerjasama dengan parti-parti komponen lain dalam Perikatan dan kemudiannya
Barisan Nasional (BN). Dalam konteks ini, UMNO dilihat sebagai kumpulan Muslim
Demokrat yang mengambil pendekatan moderat dan pragmatik dalam kerangka
demokrasi serta tidak terpengaruh dengan retorik negara Islam dan pelaksanaan
undang-undang Islam.
Kumpulan kedua iaitu Islamis merujuk kepada Parti Islam
Se-Malaysia (Pas). Parti ini yang ditubuhkan pada 1951 mempunyai komitmen yang
tinggi untuk menubuhkan sebuah negara Islam di mana syariat Islam menjadi
akidah negara, perlembagaan dan perundangan negara, dan segala nizam (sistem)
yang ada dalam negara. Meskipun mempunyai matlamat menegakkan negara Islam di
Malaysia, Pas mahu memperjuangkannya mengikut kerangka demokrasi.
Mutakhir ini, landskap politik di Malaysia menjadi semakin
terbuka dan dipengaruhi oleh wacana politik baharu telah mengangkat tema
demokrasi, keadilan, kebebasan dan pemerintahan yang baik sebagai keutamaan
berbanding ideologi negara Islam. Perkembangan ini telah mendesak kumpulan
Islamis untuk mengubah pendekatan mereka dan menjadi lebih toleran dengan
memahami realiti politik semasa. Mereka perlu berubah atau jika tidak, akan
terpinggir dalam arus perdana persaingan politik negara.
Ini boleh dilihat dalam konteks Pas apabila parti itu mula
mengubah pendekatan perjuangannya daripada untuk mengubah realiti kepada
memahami realiti. Penggunaan istilah negara Islam tidak lagi digunapakai kerana
ia menggerunkan masyarakat bukan Islam, sebaliknya memilih negara kebajikan
yang lebih mesra dan cocok dengan keperluan semasa.
Sikap tolak ansur dan berlunak yang diambil oleh Pas memberi
kesan yang besar kepada pencapaian dan identiti parti itu. Memang benar parti
itu mendapat lebih banyak sokongan namun pada masa sama, identiti Pas sebagai
sebuah parti yang membela kepentingan Islam semakin mula dipersoalkan.
Polemik Pasca
Islamisme
Kelahiran Muslim Demokrat dikatakan sesuai dengan konteks
politik semasa kerana ia membawa dimensi baharu politik Islam yang tidak
menyandarkan perjuangan Islam itu kepada retorik tetapi praktis.
Ini berbeza semasa dekad 80-an apabila dilihat sebagai era gelap
politik Islam atau Islamisme yang bukan sahaja memperlihatkan ketidakmampuan
parti Islam atau kumpulan Islamis mendapatkan kuasa politik melalui pilihan
raya, tetapi kegagalan mereka mengemukakan model baharu masyarakat yang
diinginkan. Prof. Olivier Roy seorang penasihat dasar negara Perancis
berpandangan, perjuangan politik Islam pada ketika itu hanya memberi reaksi dan
sanggahan terhadap kegagalan sistem Barat serta retorik untuk kembali kepada
ajaran Islam melalui penubuhan negara Islam.
Alaf 21 telah menyaksikan perubahan landskap politik dunia
termasuk dunia Islam apabila wujudnya kebangkitan rakyat menentang kepimpinan
autokratik dan menuntut sebuah pemerintahan yang demokratik serta mengiktiraf
hak asasi manusia. Wacana politik semakin berubah dan jauh meninggalkan retorik
agama dan negara Islam. Tema yang lebih universal seperti demokrasi, keadilan,
kebebasan dan pemerintahan yang baik semakin mendapat tempat kerana ia
mengiktiraf hak asasi rakyat partisipasi politik dalam bernegara.
Perkembangan ini turut mempengaruhi kumpulan Islamis untuk lebih
memahami realiti politik dan kepelbagaian sekaligus memaksa mereka berubah
untuk kekal dalam persaingan politik. Rata-rata kumpulan Islamis sudah mulai
meninggalkan wacana dan politik lama mereka dan berusaha memenuhi tuntutan
semasa dan kehendak rakyat. Ini jauh berbeza dengan retorik negara Islam yang
dilaung-laungkan sebelum ini yang dilihat sebagai berpendekatan atas bawah (top
down) dan meletakkan negara sebagai punca kuasa.
Peralihan paradigma dan anjakan kepada pendekatan yang lebih
toleran ini dilabel sebagai Pasca Islamisme. Dr. Asef Bayat yang mempelopori istilah
ini percaya bahawa wacana dalam politik Muslim sudah berubah kepada keperluan
universalisme dan bukan lagi terkongkong dengan retorik agama dan negara Islam.
Asef berpendapat pasca Islamisme tidak melihat ideologi itu penting atau tidak
diberikan penekanan dalam wacana politik Muslim masa kini.
Era keterbukaan dan pluralisme telah mendesak politik Muslim
memberi tumpuan kepada pendekatan yang bersifat inklusif dan merentas massa. Ia
sebenarnya amat baik kerana selari dengan realiti Islam sebagai agama yang
universal dan rahmat untuk semua. Walau bagaimanapun, keterbukaan ini janganlah
sampai kita mengambil sikap berlunak sehingga soal liberalisme serta pluralisme
diterima dan menjadi akidah atau pegangan dalam setiap tindakan politik kita.
PENULIS ialah
Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
- See more at:
http://www.utusan.com.my/rencana/mendepani-cabaran-politik-muslim-1.24061#sthash.m7sio3Pe.dpuf
Deklarasi Etika Global diisytihar dan diluluskan secara rasmi oleh Majlis Parlimen Agama-Agama Dunia pada 4 September 1993 di Chicago, Amerika Syarikat. Persidangan itu dihadiri 6,500 peserta dari seluruh dunia mewakili pelbagai latar agama di samping tokoh politik, ekonomi dan budaya. Antara sarjana Islam yang hadir Profesor Hasan Hanafi dari Universiti Kaherah, Profesor Muhammad Talbi (Universiti Tunis), Syaikh Muhammad al-Ghazali (Universiti al-Azhar) dan Putera Mahkota Hasan Talil dari Jordan.
Dari sudut terminologi, ekspresi global ethic ditunjangi perkataan penting iaitu global dan ethic. Global bermaksud seluruh dunia, sejagat, semesta manakala ethic merujuk kepada standard etika yang boleh diterima sebagai model ikutan oleh umat manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya.
Penggunaan istilah ethic merujuk kepada prinsip-prinsip asas moral yang sedia ada dan diamalkan oleh seseorang individu atau kumpulan etnik tertentu, sama ada yang bersumberkan ajaran agama atau berasal dari amalan tradisi, adat dan budaya hidup mereka. Perkataan ethics pula bermaksud falsafah moral atau teori-teori teologi tentang norma dan sikap manusia yang terkeluar dari skop perbincangan etika global (Hans Kung, A Global Ethics for Global Politics and Economics, 1997).
Deklarasi Etika Global mengajak umat manusia mengamal dan mempertahankan nilai-nilai baik dan sejagat yang terdapat dalam kebanyakan agama dan budaya. Sebab itulah, deklarasi itu antara lain menegaskan bahawa bumi yang kita huni ini sangat menderita kerana sedang dimusnahkan oleh pelbagai penyakit kronik seperti jenayah, kemiskinan, ketidakadilan, kemusnahan institusi keluarga, kerosakan ekosistem bumi, keganasan dan kebencian atas nama agama. Masalah-masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku jika prinsip-prinsip etika sejagat yang dianjurkan oleh pelbagai agama atau etika global dilaksanakan oleh setiap daripada kita.
Hans Kung menegaskan bahawa ia bukanlah suatu ideologi global yang baru; bukan juga percubaan untuk menyatukan semua agama menjadi satu; atau suatu bentuk dominasi agama tertentu ke atas agama lain. Etika global juga bukan mahu menggantikan prinsip-prinsip etika tertinggi yang sedia terdapat dalam sesuatu agama dengan yang baru; bukan juga untuk mengambil alih peranan kitab Taurat, Injil, al-Quran, Bhagavadgita dan lain-lain. Objektif sebenarnya, tegas Hans Kung, adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa semua agama di dunia menganjurkan nilai-nilai moral umum yang boleh diterima oleh semua bagi menjamin keharmonian, keadilan, keselamatan dan kelangsungan hidup mereka. Justeru, etika global tidak berhasrat menentang sesiapapun tetapi mempelawa semua manusia, baik yang beragama atau tidak, supaya berpegang teguh kepada nilai-nilai etika umum tersebut serta merealisasikannya dalam segenap ruang hidup mereka.
Antara nilai etika standard paling asas yang disyorkan untuk diamalkan oleh setiap individu oleh etika global adalah setiap manusia wajib diperlakukan sebagai manusia; setiap manusia juga perlu komited terhadap budaya tanpa keganasan dan menghormati kehidupan; dan komited terhadap budaya persamaan hak dan perkongsian sama rata antara lelaki dan wanita.
Sekiranya prinsip-prinsip etika yang paling asas tersebut dapat direalisasikan oleh setiap manusia, maka sudah tentu bumi ini akan menjadi aman sejahtera serta kelangsungan hidup manusia akan terjamin.
Pada hemat saya, etika global boleh disamakan dengan gerakan pluralisme agama yang diperjuangkan oleh pemikir-pemikir liberal pada masa kini. Bagaimanapun, gagasan etika global lebih fokus kepada isu-isu persamaan dasar etika yang terdapat dalam agama-agama di dunia, bukan persamaan antara agama tersebut. Pluralisme agama pula merujuk kepada aliran teologi liberal yang mendakwa bahawa semua agama adalah benar dan sah belaka, masing-masing menuju suatu tujuan atau tuhan yang sama, iaitu Allah, sekalipun menggunakan pendekatan berbeza-beza. (Mun’in A. Sirry, Fiqih Lintas Agama: Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis, 2005; Charles Kurzman, Liberal Islam: A Sourcebook, 1998).
Oleh itu, gagasan etika global lebih tertumpu kepada persamaan dasar etika dalam pelbagai agama dan budaya, manakala gerakan pluralisme agama menekankan skop lebih luas iaitu ke arah penyatuan dan persamaan antara agama. Bagaimanapun, pengiktirafan gagasan etika global bahawa dasar-dasar etika sejagat yang boleh diterima oleh semua manusia sudah terdapat dalam semua ajaran agama di dunia terutama Kristian, Islam, Yahudi dan Hindu, mungkin juga satu lagi bentuk pluralisme baru, iaitu pluralisme etika.
Bagaimanapun, beberapa prinsip etika standard yang disyorkan oleh gagasan etika global seperti, what you do not wish done to yourself, do not do to others! (Apa yang kamu tidak mahu orang lain perbuat kepada diri kamu, jangan kamu perbuat kepada orang lain); you shall not kill (kamu tidak boleh membunuh); you shall not steal (kamu tidak boleh mencuri); you shall not lie (kamu tidak boleh berbohong); dan you shall not commit sexual immorality (kamu tidak boleh melakukan hubungan seksual yang tidak bermoral), adalah antara usaha menyuntik wawasan Barat yang berpaksikan ajaran Taurat dan Ten Commandments.
Dasar-dasar etika umum lebih komprehensif seperti yang terdapat dalam agama lain terutama Islam, nampaknya tidak menarik minat Hans Kung untuk dijadikan nilai ikutan yang asasi. Malah nilai-nilai sejagat dalam agama Buddha dan Hindu juga sangat perlu untuk diketengahkan secara perbandingan bagi membuktikan bahawa nilai-nilai sepunya juga terdapat dalam agama-agama lain.
Saya berpendapat gagasan etika global lebih bersifat retorik tanpa disokong oleh suatu kerangka kerja atau program yang konkrit untuk dilaksanakan, sedangkan objektif yang ingin dicapai oleh etika global adalah sangat besar iaitu bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini. Kaedah yang dicadangkan pula sekadar menyeru dan menyedarkan setiap individu supaya mempraktikkan nilai-nilai kebaikan yang boleh diterima oleh umum bagi mewujudkan dunia yang aman, makmur serta bebas jenayah, keganasan, kemiskinan, ketidakadilan, keruntuhan institusi keluarga, kemusnahan ekosistem alam, kebencian dan keganasan atas nama agama. Persoalan penting tentang bagaimanakah cara untuk menyedarkan setiap individu supaya melaksanakan nilai-nilai kebaikan sejagat tersebut tidak diberi perhatian oleh etika global.
Barangkali tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa, gagasan etika global adalah satu lagi produk diplomasi Barat untuk mengkristiankan penganut agama lain dengan cara menggesa mereka berpegang kepada prinsip-prinsip etika sejagat yang terdapat dalam ajaran agama masing-masing, tetapi terhad kepada nilai-nilai sepunya yang dianjurkan oleh agama Kristian sahaja.
Hans Kung sendiri mungkin sudah menyedari bahawa agama Kristian hanya mempunyai nilai-nilai etika sejagat yang sangat terhad, maka beliau cuba menutup hakikat ini dengan menyarankan supaya nilai-nilai sejagat yang terdapat dalam agama lain juga diiktiraf dan diamalkan, tetapi gagal mengetengahkan apakah nilai-nilai sejagat yang dimaksudkan itu.
Dalam bidang ekonomi umpamanya, Hans Kung cuba meuniversalkan nilai agama Kristian tentang ‘tidak boleh mencuri’ sebagai suatu prinsip yang boleh mewujudkan kesejahteraan umat manusia di samping membentuk sistem ekonomi yang adil. Adalah terlalu janggal untuk mendakwa bahawa suatu prinsip etika sahaja dapat menjamin pembangunan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, Hans Kung jelas gagal menelaah prinsip asas agama lain yang lebih penting dalam bidang tersebut seperti terdapat dalam ajaran Islam (Mushtaq Ahmad, Business Ethics in Islam, 1995).
Prinsip-prinsip etika ekonomi Islam yang cukup komprehensif sudah tentu akan dapat menjamin kesejahteraan umat serta pembangunan ekonomi yang adil seperti, kewajipan bekerja, kebebasan untuk menjalankan bisnes, keharusan untuk memiliki harta kekayaan, pengharaman riba, judi, curi, rompak, rasuah, monopoli, sorok dan pembaziran, kewajipan mengagihkan harta kekayaan melalui pelbagai institusi seperti zakat, cukai, nafkah dan kifarah serta saranan Syariat Islam supaya umat manusia mengagihkan harta kekayaan kepada orang lain yang memerlukan melalui sedekah, memberi pinjaman, wakaf dan wasiat.
Prinsip-prinsip etika Islam yang sangat mendasar dan universal dalam bidang ekonomi ini jika dilaksanakan, sudah tentu akan dapat menjamin pertumbuhan ekonomi yang sihat dan adil, di samping dapat memelihara kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini.
PENULIS ialah Profesor Pemikiran Islam dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/gerakan-pluralisme-agama-bentuk-baru-1.20900#sthash.aGm8IZov.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.