Pages

Subscribe:

03 Oktober, 2009

[hang nadim] Rumah Teh di taman Jepun....Malaysia



KELIBAT gadis comel berpakaian kimono melalui tangga, melewati kolam ikan koi, sebelum langkah diatur perlahan-lahan menaiki tangga granit untuk ke rumah besar di atas bukit. Langkah disusun cermat memenuhi tatasusila sebelum menyelinap masuk ke pintu kecil sebelum acara minum teh.

Sekali imbas, pemandangan ini seperti babak drama alih suara Jepun yang begitu popular di negara ini pada sekitar awal 90-an. Namun, kehidupan tradisional negara matahari terbit itu kini menjadi tarikan menarik menanti pengunjung ke Desa Jepun di Berjaya Hills, Pahang.

Desa dengan landskap taman Jepun dikelilingi hutan hujan semula jadi berusia 150 juta tahun pada paras kira-kira 1,000 meter (m) di luar Jepun. Tampak mustahil, namun idea ini berjaya dizahirkan oleh arkitek terkemuka Jepun, Kaio Ariizumi.

Komponen utamanya terletak pada Rumah Teh siap sepenuhnya pada 1997 dengan kos RM3.9 juta atau RM3,145 untuk setiap kaki persegi. Angka itu jika dibandingkan menyamai 25 kali ganda kos untuk membina rumah banglo di ibu kota, mengikut pasaran semasa.

Ariizumi bertanggungjawab mereka seni bina Rumah Teh dan landskap supaya ia benar-benar membuatkan pengunjung berada di perkampungan Jepun. Untuk tujuan itu, pembinaan desa ini mengekalkan lereng bukit sedia ada tanpa mengorbankan landskap semula jadi hutan hujan.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Berjaya Hills, Chin Pei Ling, berkata keseluruhan rumah kecuali lantai konkrit diperbuat di Jepun, sebelum strukturnya diceraikan kepada 1,734 bahagian kecil untuk diterbangkan ke Malaysia.

"Kita juga terpaksa menerbangkan 22 pengukir dari Jepun untuk memasang semula dan membina landskap taman. Ini kerana mereka termasuk paling tua berusia 64 tahun memiliki alatan dan kepakaran untuk membina rumah tradisional Jepun," katanya.

Jika pintu gerbang atau Chumon turut diimport dari negara matahari terbit itu, Ariizumi turut membawa batu tongkol yang diambil sejauh negara di Indo-China bagi memastikan ia benar-benar mirip dengan suasana perkampungan Jepun.

Potongan batu granit pula diambil dari kuari di Melaka seakan-akan runtuhan istana Jepun lama, manakala lampu tanglung batu diukir di Jepun. Ketelitian arkiteknya membuatkan pengunjung seakan-akan mengembara dalam drama popular 90-an, Oshin.

Lokasinya di puncak bukit walaupun dipenuhi dengan suasana kehijauan tidak menjanjikan sumber air semula jadi bagi mengairi kolam buatan manusia di taman itu. Justeru, bekalan dari punca air terletak 100 meter di bawah lokasi taman itu dipam untuk tujuan berkenaan.

Pengurus Rumah Teh, Chan Lai Che, berkata selain bersiar-siar sambil menikmati keindahan landskap taman Jepun di pergunungan, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan dengan bayaran berpatutan.

Ini termasuk mencuba persalinan tradisional Jepun, kimono atau mempelajari upacara jamuan teh dikenali sebagai Chan-No-Yu, antara warisan tradisional yang semakin dilupakan generasi muda di negara matahari terbit itu.

"Ada pelancong Jepun yang singgah di sini terkejut kerana tidak menyangka dapat menyaksikan upacara tradisional masyarakatnya di negara ini. Ini kerana tidak ramai yang mengetahui atau memahami amalan Chan-No-Yu ini," katanya.

Jika sudah puas bersiar-siar di taman ini, anda boleh mencuba terapi rawatan bertemakan empat musim di Spa Tatami. Di sini, perawatan menyeluruh seperti Amayakashi turut merangkumi mandian kolam air panas di luar rumah iaitu onsen.

Menjejakkan kaki ke spa ini membuatkan perasaan terbuai seketika kerana leka dengan dekorasi zen yang melatari hiasan dalamannya. Setiap bilik terapi diberikan sentuhan berbeza mengikut musim dilengkapi dengan hamparan tikar tatami dan persalinan kimono dalam rona lembut.

Bagaimanapun, untuk mereka yang benar-benar merasai pengalaman bermalam di rumah Jepun, anda boleh singgah di Tatami Suite. Penginapan eksklusif ini berdepan dengan pemandangan hutan hijau yang masih terpelihara dan amat mementingkan privasi tetamu, maka tiada pelawat dibenarkan.

Pei Ling berkata, sejak dibuka, suite itu sudah mendapat tempahan daripada pasangan yang mahu meraikan percutian bulan madu dalam suasana penuh eksklusif selain tetamu kenamaan tempatan dan asing yang terpikat dengan konsepnya yang unik.

Pengalaman ke desa Jepun di Berjaya Hills ini tidak akan lengkap sekiranya tidak mencuba hidangan masyarakat negara matahari terbit itu. Justeru, pengunjung boleh singgah di Restoran Makanan Jepun, Ryo Zan Tai untuk menikmati menu enak seperti udon dan bento.

INFO

Taman ini turut memiliki Spa Tatami yang menawarkan empat bilik rawatan dengan terapi berdasarkan empat jenis musim di negara Jepun. Selain itu, perawatan menyeluruh seperti Amayakashi turut merangkumi mandian kolam air panas di luar rumah iaitu onsen.

Taman ini terletak bersebelahan Taman Botani yang menawarkan perjalanan menyusuri denai sepanjang satu kilometer (km). Anda akan didedahkan pelbagai tumbuhan herba, paku pakis dan sudut eksperimen dengan epal dan tujuh jenis strawberi.

Untuk menjamu selera, anda boleh singgah di Restoran Jepun, Ryo Zan Tai, untuk menikmati hidangan masyarakat negara itu. Maklumat lanjut mengenai Rumah Teh di Taman Teh Jepun ini, layari www.berjayahills.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.