Pages

Subscribe:

07 Oktober, 2009

[Hang Nadim]Masih Mencari Cinta







Ramai yang ingin bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka, apabila bertemu seseorang yang dapat menyentuh hati dan perasaan seperti di dalam filem-filem telenovela Korea , atau filem-filem Hindi barulah mereka akan bersedia mendirikan rumahtangga.

Selagi belum ada yang boleh mengusik hati dan perasaan, mereka akan menganggap semua itu bukanlah satu cinta sejati. Lalu mereka akan menjalani hidup mereka dengan berkhayal untuk menjumpai “Mr Right” atau “Ms Right” mereka.

Mereka akan berasa gembira dan ingin mendirikan rumahtangga apabila individu-individu ini tiba-tiba muncul dalam hidup. Itupun setelah mereka “betul-betul mengenali” individu ini, berselisih faham, bertekak dan berbaik semula, BARULAH mereka mendakwa diri mereka sedang dilamun cinta.

Apabila mendirikan rumahtangga, perasaan cinta itu dibawa bersama dengan harapan ia akan terus kekal begitu. Ramai yang terlupa atau tidak sedar bahawa tanggungjawab suami atau isteri adalah berbeza sekali dengan tanggungjawab sepasang kekasih, ia tidak terhad kepada menghantar dan menjemput dari tempat kerja sahaja. Ia lebih daripada itu.

Ada pula yang terlampau “bahagia” sehingga melupakan kedua orang tua. Ada juga yang berasa tertekan dengan kehadiran anak-anak yang dikurniakan oleh Allah.

Akhirnya alam perkhawinan mereka tidak menjadi seperti yang diinginkan, tidak seindah filem-filem telenovela Korea atau filem-filem cinta Hindi kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai masalah.

ALAM PERCINTAAN SEBELUM BERKAHWIN

Bercinta sebelum berkahwin adalah sebahagian daripada budaya Hedonisme yang mengajar manusia fahaman “kebahagiaan hanya dicapai apabila ada keseronokkan di hati”. Akibatnya kebahagian itu hanya seketika kerana keseronokkan yang dilakukan kadang-kala mendatangkan masalah sosial dan masalah peribadi yang lain. Sedangkan Islam mengajar sesuatu yang lebih baik.

Budaya ini telah lama menyerap ke dalam masyarakat Melayu semenjak Hikayat 1001 malam dibukukan. Seseorang yang sedang khayal dan seronok bercinta dengan pasangannya akan menganggap diri mereka sedang menikmati kebahagiaan. Lalu kerana rasa bahagia inilah mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga. .

Persoalannya adalah mudah, mampukah kebahagian tersebut kekal 10 atau 20 tahun akan datang? Boleh atau tidak mereka berasa bahagia apabila hadir di antara mereka anak-anak dengan pelbagai kerenah.

WANITA MENGADU TENTANG CINTA KEPADA UMAR

Pada zaman Uma r Al-Khattab r.a. sebagai khalifah, ada seorang wanita yang datang mengadu dan mengaku kepada beliau r.a. bahawa dirinya tidak lagi mencintai suaminya. Dia lalu meminta nasihat daripada Uma r r.a. apakah cara terbaik dalam mengatasi masalah ini. Katanya hidup yang tidak dihiasi dengan cinta amat membosankan.

Lalu Uma r berkata “Jika ada di antara kamu, wahai perempuan, yang tidak cinta kepada seorang di antara kami para lelaki, tidak usahlah hal itu dikhabarkan kepadanya (suami itu). Kerana hanya sedikit rumahtangga yang dibina berdasarkan cinta. Kebanggaan hanyalah (rumahtangga) yang didirikan atas dasar hasab.”

Hasab di sini bermaksud kemulian budi, sifat dermawan, sopan santun, akhlak yang baik dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu disegani. Dalam erti kata moden, imej yang baik.

Kata-kata ini membawa maksud bahawa, amat jarang sekali sesuatu perkahwinan yang membanggakan dibina berdasarkan cinta. Perkahwinan yang menjadi kebanggaan biasanya dibina atas dasar hasab yang baik.

Ini adalah satu kata-kata emas yang jika direnung, ia membawa maksud yang amat mendalam.. Sebenarnya terdapat pelbagai elemen lain yang dapat mempengaruhi kebahagiaan dan kebanggaan sesuatu rumahtangga selain cinta dan seks.

DISEBALIK PERKAHWINAN

Sepasang manusia yang diijab-kabulkan akan melalui pelbagai ujian daripada Allah swt. Masing-masing akan melihat kelemahan dan kelebihan diri yang lain. Justeru akan muncul pula perasaan benci, marah dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keadaan akan menjadi buruk apabila kesilapan-kesilapan yang dilakukan menghakis sedikit demi sedikit perasaan cinta yang menjadi asas perkahwinan tersebut.

Dititik inilah biasanya muncul masalah “suami curang” atau “isteri curang”. Masing-masing cuba mencari cinta baru dari luar rumah. Perilaku-perilaku ini seterusnya akan mewujudkan situasi yang amat buruk apabila perasaan cinta itu didorongi pula oleh nafsu seks.

Apabila cinta itu terhakis, apa lagi yang tinggal dalam perkahwinan? Adakah ia mampu bertahan sehingga ke akhir hayat atau sebaliknya. Kita melihat banyak kes-kes penceraian di dada akhbar setiap hari. Kebanyakkannya berkahwin kerana cinta semasa mereka dan bukannya kerana menganggap bahawa perkahwinan adalah suruhan agama.

APABILA CINTA TIDAK MENJADI ASAS

Berbeza keadaan dengan rumahtangga yang tidak dibina atas asas cinta. Percintaan hanya wujud selepas perkahwinan. Banyak rumahtangga yang berjaya dibina berpuluh-puluh tahun lamanya dan dapat bertahan sehingga dipisahkan oleh liang lahat. Semakin hari semakin mesra, semakin sayang, semakin bahagia.

Setiap hari kedua-dua pasangan sama-sama belajar mengenali satu sama lain. Berbeza dengan mereka yang mendirikan rumahtangga yang berasaskan cinta dan seks. Mereka yang mendirikan rumahtangga atas sebab hasab akan menjumpai lebih banyak nikmat lain, mereka akan menjumpai kebahagian di dunia.

Atas dasar itulah kita sering lihat masalah penceraian adalah perkara biasa pada zaman sekarang. Padahal ia adalah sesuatu yang jarang didengari dalam masyarakat Melayu lama. Masyarakat Melayu lama berkahwin bukan kerana soal seks atau cinta, tetapi pernikahan mereka adalah berdasarkan hasab.

Siti Khadijah r.a. tidak pernah bercinta dengan Rasulullah s.a.w. . Beliau terpikat dengan Rasulullah s.a.w. disebabkan budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. yang mulia. Perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga akhir hayat beliau. Faktor usia, harta dan keturunan bangsawan Rasulullah s.a.w. bukanlah faktor utama.

Terdapat beberapa riwayat hadith yang menceritakan bagaimana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada Khatijah r.a. melebihi isteri-isterinya yang lain. Di antaranya :

Aisyah r.a. berkata, Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun dari isteri Nabi s.a.w seperti cemburuku kepada Khadijah karena Rasulullah banyak menyebutnya dan menyanjungnya dan setiap kali menyembelih kurban Nabi s.a.w. akan menyisihkannya sebahagian untuk dikirimkan kepada perempuan-perempuan sahabat Khadtijah. Kadang-kala aku berkata, “Seperti bumi ini tidak ada perempuan lain selain Khadtijah” Nabi s.a..w bersabda, “Demikian banyak kelebihan Khadtijah, dan darinya aku memperoleh anak. {Riwayat Bukhari}

Sejarah tidak melakarkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui zaman percintaan bersama dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berumahtanggga. Malah Muhammad Hussein Haekal menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bimbang akan kedudukkan kewangannya apabila dicadangkan oleh Nurfaisah untuk berkahwin dengan Khadtijah r.a. {Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera AntarNusa, Mac 2006, m/s 67}

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada apa-apa hubungan dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berkahwin. Perkahwinan beliau r.a. dengan Khadtijah r.a. merupakan satu perkahwinan yang terhormat dan berasaskan hasab.

Ini adalah selaras dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita agar memilih calon-calon pasangan hidup yang beragama dan bukannya berasaskan percintaan.. Hanya mereka yang menjiwai agama adalah mereka yang mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik.

Kesimpulan

Amat bijak sekali sekiranya kita mengambil keputusan untuk tidak menunggu lagi kemunculan “cinta sejati” Sebaliknya kita mula mencari mereka yang mempunyai agama yang baik, kahwinilah dan belajar mencintai mereka selepas berkahwin, kerana kebahagiannya telah pun dijamin oleh Rasulullah s.a.w., malah Allah telah menjanjikan rahmatNya.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.