14 Oktober, 2009
[ hang nadim]Puas makan buah
LAMBAKAN buah-buahan tempatan terutama durian, manggis dan rambutan boleh dinikmati sepanjang musim buah di resort ini.
VARIA
CALET reka bentuk ini boleh menempatkan empat tetamu dalam satu unit.
Puas makan buah
Oleh ROHANA MAN
rohana.man@kosmo.com.my
Pakej percutian makan buah di Felda Residence Tekam Resort, Jerantut, Pahang memberi peluang kepada pengunjung makan sepuas-puasnya buah-buahan tempatan terutama ‘Raja Buah’ tanpa had.
--------------------------------------------------------------------------------
RAJA segala buah benar-benar menguasai ladang-ladang buah yang mengelilingi persekitaran Felda Residence Tekam di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jerantut, Pahang pada musim buah durian baru-baru ini. Sepanjang musim itu yang bermula pada akhir bulan Jun sehingga akhir Ogos lalu, ladang-ladang durian di resort itu menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara.
Kedatangan para pelancong ke ladang tersebut hanya bersandarkan kepada satu matlamat iaitu menikmati sepuas-puasnya keenakan isi buah durian yang disajikan di situ. Menurut pembantu penyelia Unit Buah-Buah Felda Tekam, Mazlan Mamat, 45, musim buah durian pada tahun ini agak menjadi dan dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 buah durian gugur di semua ladang yang terletak di keluasan 34 hektar di sekitar resort berkenaan. Kawasan ladang tersebut turut menghasilkan buah-buahan lain seperti rambutan, dokong, nangka, langsat dan manggis.
Katanya, terdapat 47 jenis buah durian terdapat di ladang-ladang tersebut, antaranya D24, 101 Mas Muar, 96, MDUR 7879, D7 dan D2. Kesemua jenis buah durian itu mendapat sambutan baik daripada para pengunjung.
"Buah pertama muncul pada akhir bulan Jun dan pokok-pokok durian terus berbuah sehingga akhir bulan Ogos," katanya yang bertanggungjawab menyelia kedatangan pengunjung yang memilih pakej percutian makan buah durian dan menginap di resort berkenaan.
Menurutnya, kesemua unit calet dan bilik habis ditempah oleh para pengunjung sepanjang musim durian berbuah dan keadaan itu menyebabkan ada pengunjung terpaksa menyewa calet atau hotel di sekitar bandar Jerantut atau Bandar Baru Jengka.
Felda Residence Tekam Resort mempunyai sebanyak 60 buah chalet dan 30 bilik. Antara kemudahan yang terdapat di resort itu adalah kolam renang, gelanggang tenis, gimnasium, padang golf dan kafe. Tempahan chalet dan bilik penginapan paling banyak diterima pada musim durian. Biasanya, pelancong yang datang adalah secara berkumpulan dengan menaiki bas yang disewa khas atau kenderaan masing-masing.
Misalnya, sekumpulan 25 pengunjung dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur yang bercuti untuk menikmati buah durian di resort tersebut.
Memandangkan tempahan bilik lewat dibuat, kesemua mereka terpaksa menginap di Bandar Baru Jengka. Ini kerana kesemua calet dan bilik di Felda Residence Tekam Resort telah penuh.
"Tujuan kami datang ke sini bukan hanya untuk menikmati buah durian. Selain makan durian, kami mahu beri peluang kepada anak-anak kecil merasai sendiri pengalaman makan durian di dalam kebun seperti yang ditawarkan di dalam pakej ini.
"Kami yang sudah dewasa pun belum pernah mengalami sendiri pengalaman makan durian di dalam kebun. Jadi, peluang yang ada pada musim durian tahun ini digunakan sepenuhnya oleh kelab kami untuk tujuan tersebut,'" kata Pengerusi Kelab Rekreasi Badan Keluarga DBP, Haliza Jamaluddin, 42, kepada Kosmo! di Felda Residence Tekam Resort, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
Resort itu lebih popular dengan panggilan 'research' dalam kalangan penduduk sekitarnya iaitu di Jengka, Bandar Baru Jengka dan Jerantut.
Menurutnya, program yang diadakan ini memang terdapat dalam kalendar aktiviti kelab dan antara lain, pihak kelab turut mengadakan aktiviti memancing, mengembara, perkhemahan dan lain-lain kepada ahli kelab.
Mengulas lanjut tentang percutian makan durian itu katanya, program seperti itu lebih sesuai untuk seisi keluarga yang datang bersama anak-anak.
"Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim sesama ahli, malah memberi peluang kepada anak-anak kecil yang ada di antara mereka tidak pernah melihat pokok durian dan pokok kelapa sawit yang terdapat di sekitarnya. Justeru, melalui percutian ini, dapatlah mereka melihat sendiri pokok-pokok tersebut,'" ujarnya.
Seorang peserta, Suhazlina Mohamed Shamsudin, 27, pula berkata, ini kali kedua beliau mengikuti pakej percutian makan durian di Felda Residence Tekam Resort.
"Kali pertama saya datang ke sini untuk makan durian pada tahun 2007. Tahun lalu, tiada aktiviti seumpama ini diadakan kerana buah kurang menjadi.
"Tahun ini, kami dimaklumkan bahawa buah agak menjadi dan sebab itulah, kelab mengadakan semula program yang sama," ujarnya yang bertugas di Jabatan Pentadbiran DBP.
Menurutnya, penganjuran program seperti itu boleh menggalakkan orang ramai makan buah-buahan tempatan kerana bukan sahaja buah durian yang dihidangkan kepada pengunjung, malah buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, manggis, langsat dan dukong turut ditawarkan kepada pengunjung.
http://www.kosmo.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.