14 Oktober, 2009
[KOSMO] Suara novelis muda
HITOMI KANEHARA
Suara novelis muda
Oleh HAFIZ HAMZAH
jelirda@gmail.com (wwww.jelir.wordpress.com)
Ia hadir bersama renjatan, kejutan dan kontroversi yang menggoncang khalayak sastera Jepun. Sebilangan besarnya masih lagi daripada kelompok konservatif dalam maksud hasil kerja sastera dan penulisan
--------------------------------------------------------------------------------
HITOMI KANEHARA berhenti daripada mengikuti sistem pendidikan rasmi Jepun pada usia 11 tahun. Tidak tahu apa yang membuatkannya mengambil keputusan sebegitu. Apa yang pasti, itu adalah langkah paling berani yang pernah diambil oleh gadis muda itu dan ia tidak berakhir di situ.
Dia kemudiannya lari dari rumah. Mungkin hidup bergelandangan di lorong-lorong tengah Tokyo atau mungkin juga menumpang di mana-mana. Dari situ, lahir latar yang mengejutkan seperti yang dipaparkan melalui novel tunggalnya ini, Hebi ni piasu. Kemudiannya diterjemah oleh David James Karashima ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Snakes & Earrings.
Kanehara, dalam diam-diam ketika dalam pelarian dari rumahnya itu tidak lepas daripada mencatatkan perkara-perkara yang diingini. Dia juga diam-diam mengirim e-mel kerja-kerja tulisannya itu kepada bapanya, seorang profesor dan penterjemah buku kanak-kanak.
Kontroversi
Menerusi perhubungan itu, bapanya mengumpul dan menyunting tulisan-tulisan Kanehara yang dihantar. Hasilnya, pada 2004, lahirlah novel pertama itu di dalam bahasa Jepun.
Terbitnya novel itu bukan sebagai sebuah novel Jepun yang sekadar menyemakkan rak di toko-toko buku. Ia hadir bersama renjatan, kejutan dan kontroversi yang menggoncang khalayak sastera Jepun. Sebilangan besarnya masih lagi daripada kelompok konservatif dalam maksud hasil kerja sastera dan penulisan.
Ia secara sedar terus diangkat sebagai satu suara generasi baru. Walau bagaimana sukar pun untuk dipersetujui semua, novel itu merupakan sebuah karya yang wajar disertakan ke dalam khazanah sastera Jepun dan Asia. Kemuncak kucar-kacir itu ialah novel terbabit diangkat sebagai pemenang hadiah sastera tertinggi Jepun, Hadiah Akutagawa pada tahun yang sama.
Menyelami
Daripada pengalaman dan pemerhatiannya, hidup di luar tatacara dan kawalan isi rumah pada usia semuda itu, Kanehara menyelami satu subbudaya yang terbit di tengah-tengah segala macam kepesatan budaya yang berlaku Tokyo waktu itu.
Matanya tajam memerhati kelompok tersebut, tangannya menulis dengan tanpa ragu-ragu apa yang dirasakan perlu dan imaginasinya melayar liar melangkau norma dan pantang larang yang diwujudkan oleh bayang-bayang yang dimomok sebagai menakutkan oleh masyarakat kebanyakan. Inilah antara ciri penulis yang ingin berkembang menjadi seorang penulis yang baik.
Lui, watak sentral dalam Snakes & Earrings mendepani kehidupan seharian sebagai remaja yang berada dalam lingkung waktu dan kejadian yang radikal. Ayat pembuka novel itu berbunyi: "Tahu apa itu lidah bercabang?" Daripada ayat tersebut, Kanehara tidak membayangkan kiasan atau simbolik.
Dia sebenarnya memang merujuk kepada sejelir lidah orang yang dibelah dengan tindik dan gelung yang semakin lama semakin besar dan akhirnya menceraikan hujung lidah dan menjadi dua. "Ya, seperti yang dimiliki ular atau cicak," sambung dialog itu.
SNAKES & EARRINGS menjentik elemen baru dalam dunia kesusasteraan Jepun.
--------------------------------------------------------------------------------
Realiti
Kanehara selepas itu menyelami subbudaya tersebut. Sama seperti yang dapat disaksikan kini daripada realiti dan cara hidup muda-mudi Tokyo yang mengemari sisi ekstrem gaya dan penampilan, sekali gus membawa kepada perubahan cara hidup dan budaya dalam kalangan mereka.
Lui menjerumuskan diri dengan minat terhadap tatu, membayar dengan hubungan seks, bercinta, pil dan sebagainya. Dengan novel itu, Kanehara memang ingin mempotretkan komuniti muda-mudi di sana tanpa segan silu.
Walaupun plot dan naratifnya tidak seberapa mengejutkan, apa yang menjadikan Snakes & Earrings penting untuk diselidiki ialah keberaniannya membawakan kesedaran tentang hakikat semasa kelompok budaya itu dalam gaya bahasa yang juga baru.
Dengan diimaginasikan semula oleh Kanehara sehingga ia berakhir sebagai sebuah pencapaian karya yang mempunyai gaya dan perhatian yang lain.
Sebagai orang muda, Kanehara berusia 21 tahun ketika menerbitkan novel itu. Ia menjadi satu contoh yang perlu dilihat dalam membincangkan kerja-kerja penulis baru, termasuk dalam kalangan penulis baru Malaysia.
Karya tulisan itu ialah satu contoh catatan yang memaparkan perkara yang terkandung dalam lingkung masa dan ruang penulisnya secara kreatif.
-------------------------------------------------------------------------------
Berbeza
Kanehara tidak sekadar mengulang-ulang semangat sama seperti sudah pernah dilakukan oleh penulis-penulis sebelumnya, yang mungkin berada dalam lingkung sosial yang berbeza daripadanya.
Ini adalah perkara yang dominan terselit dalam novel berkenaan. Walaupun akan ada yang menyelar nilai-nilai hidup yang dibawakan oleh watak-watak dalam novel itu sebagai keterlaluan dan tidak bermoral, tetapi sebagai sebuah hasil kerja sastera moden oleh penulis baru era milenium, ia tidak boleh dipinggirkan. Suka atau tidak, inilah suara yang tanpa sedar sedang mendengung di telinga.
Kanehara menunjukkan kepada kita bahawa untuk menjadi novelis era ini, lagu dengan rentak dan bahasa baru perlu dinyanyikan. Walaupun tiada apa-apa idea yang cuba disampaikan, Snakes & Earrings tetap mahu menjerit nyaring meminta perhatian terhadap kelainan yang terkandung.
Dalam konteks Malaysia, novelis baru sebenarnya harus bekerja dua tiga kali ganda lebih tekun daripada novelis di tempat lain untuk menghayati semangat ini, sebelum mengambil keputusan untuk menulis novel semula.
| Mangga Online | Saji Online | ezTrade Beta | Kareer | Tutor | Mangga TV | MyBooks
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.