Pages

Subscribe:

13 Oktober, 2009

Kepincangan Perubatan Alopati (PERUBATAN BARAT)

Tuesday, October 13, 2009 2:57 PM
From: "zulkiflee.sulaiman" Add sender to ContactsTo: pakbelang@yahoogroups.com

Perubatan: Barat Lawan Alami

Oleh Prof. Dr. Ananthan Krishnan
Perunding Farmasi dan Pakar Naturopati
Institut Penyelidikan Perubatan Alternatif (Asia)
Kuala Lumpur.

Untuk memperkatakan tentang sistem penjagaan kesihatan dan perubatan biomedikal kini sedang berantakan adalah isu lama.

Dunia sedang menyaksikan pertambahan kos penjagaan kesihatan yang begitu tinggi di dalam beberapa dekad kebelakangan ini walaupun kononnya banyak pembangunan teknologi dan kepandaian sains telah dimeterai oleh golongan profesional alopati (perubatan Barat).

Namun hakikatnya, pembangunan kesihatan manusia masih tidak bangkit dari darjatnya yang rendah, tidak setanding dengan perakuan-perakuan kejayaan yang telah dicapai oleh mereka.

Di manakah silapnya? Ini adalah soalan yang sedang mencabar para pemimpin dalam penjagaan kesihatan dan menyeksa masyarakat yang dibebani kos penyenggaraan kesihatan yang tinggi, yang dikenakan oleh pusat-pusat perubatan.

Kepentingan keuntungan telah mendahului kepentingan merawat, kesediaan dan kerelaan menolong yang sakit dan cedera telah merosot dan hilang ditelan masa.

Itulah senario menjijikkan dunia perubatan masa kini. Sebenarnya, masalah yang melanda merupakan satu krisis persepsi, yang mana telah mengelirukan masyarakat.

Jika kita toleh ke belakang, kita dapat mengesan di mana permasalahan bermula daripada falsafah kolot Cartesian-Newtonian mengenai rupa dan bentuk dunia yang telah dijadikan asas sains.

Falsafah model dunia ini yang mengatakan bahawa hanya fizikal sebagaimana yang diperjuangkan oleh dua nama besar sains – iaitu Descartes dan Isaac Newton – kononnya adalah kebenaran terunggul dan tidak tercabar oleh mana-mana pihak. Pemandangan sejagat Cartesian-Newtonian telah mendominasi kesemua ajaran sains, tidak ketinggalan bidang perubatan dan pembedahan.

Kesemua ajaran sains pada masa itu menerima pandangan mekanistik ilmu fizik klasik ini sebagai satu deskripsi realiti yang unggul. Namun, ia membangkitkan paradigma ilmu sains yang pincang dari kebenaran.

Atas dasar ilmu yang terpesong jauh daripada realiti ini, Albert Enstein dan rakan-rakannya pada awal abad ke-20 telah menyingkap pula teori mengenai alam semesta berasaskan prinsip bahawa ukuran ruang dan masa (ilmu fizik kuantum dan teori relativiti) adalah berkaitan.

Teori ini terbukti benar, telah membuka dan memperjelaskan bahawa pandangan mekanistik Cartesian-Newtonian adalah amat terhad, antik dan kesahihannya boleh dipertikaikan.

Teori Albert Einstein ini juga telah memberi laluan kepada konsep kewujudan organik dan kosmik dalam dunia sains perubatan.

Fritjof Capra di dalam buku Space, Time & Medicine oleh Larry Dossey secara terang-terangan turut memperkatakan tentang krisis persepsi ini.

Dengan itu, sistem biomedikal alopati sekarang memang telah tersasar dari mula lagi, sama seperti falsafah teori perkumuhan yang dikatakan sebagai penyebab penyakit sebagaimana yang dihuraikan oleh Hippocrates dan Galen suatu ketika dulu.

Jika dilihat dan dikaji dengan keterbukaan minda, pengamalan sistem alopati ini menghasilkan banyak penyakit yang berpunca daripada cara pengubatan pengamal itu sendiri.

Ia berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan berasaskan dadah, kimia dan racun secara berpanjangan atau disebut juga sebagai iatrogenisis.

Misalnya, pesakit arthritis yang diberikan rawatan bagi mengubati penyakit keradangan sendi itu akhirnya menderita pula penyakit gastritis.

Penyakit-penyakit iatrogenik ini telah timbul sejak lama dahulu, berasal daripada ilmu sains, protoksol, instrumentasi, metodologi penyelidikan, diagnosis dan rawatan sistem biomedikal itu sendiri.

Protokol penyelidikan perubatan moden yang dikenali sebagai single blind studies, double blind studies, randomized studies kononnya untuk menjunjung kebenaran demi kemajuan sains, namun telah terbukti mempunyai keterbatasannya dengan kewujudan penyakit-penyakit iatrogenic daripada sistem itu.

Adalah perlu untuk alat yang kononnya berpiawaian sains ini dirombak dan diperiksa semula dengan menggunakan sifat ilmu sains yang lebih luas dan tepat, mangambil kira pemandangan sejagat mengenai ekologi dan alamiah asas kejadian serta kosmik yang berkaitan dengan kejadian, kehidupan dan keihatan manusia.

Inilah dimensi penjagaan kesihatan manusia dan perubatan yang telah lama diketepikan atas dasar kemajuan dan keuntungan.

Di dalam banyak perkara, limpahan penyakit iatrogenics yang diwujudkan oleh dunia sains biomedikal serta pengamalnya, pada takat yang tertentu, telah disorokkan daripada masyarakat ramai dengan menguarkan kejayaan, keberkesanan dan kekuasaan industri perubatan alopati ini.

Ini disokong pula oleh syarikat-syarikat pembuat ubat-ubatan gergasi, telah menjadikan pengamalnya berfikiran sempit, sengaja menutup kelemahan sistem daripada pandangan masyarakat dunia dengan menggunakan bahasa dan terminologi Greco-latin yang langsung tidak difahami oleh awam untuk pengamalan dan dokumentasi.

Melihatkan senario kewujudan penyakit iatrogenics yang semakin meningkat kini, sistem perubatan biomedikal akan mengalami kemerosotan, melainkan ia menjalani satu reformasi dan pembaharuan sikap pengamal dan sifat perubatannya.

Kos rawatan yang semakin meningkat seakan menarik orang ramai untuk mencari sistem rawatan yang lebih selamat dan murah; maka sistem biomedikal akan semakin ketinggalan dan hanya menjadi satu sistem yang kolot.

Masyarakat dunia mesti dipaparkan dengan penyakit-penyakit iatrogenic ini.

Kajian sistematik mengenai penyakit iatrogenics yang pertama telah dilakukan oleh Dr. Lucian L. Leape, salah seorang pengasas National Patient Safety-Foundation di Amerika Syarikat (AS).

Hasil kajian beliau telah diterbitkan di dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) pada tahun 1994.

Pada tahun 1995, sebuah laporan di dalam JAMA mengatakan lebih satu juta pesakit dimasukkan ke hospital AS setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut, 280,000 orang mati setiap tahun disebabkan oleh penyakit iatrogenics, dan angka ini telah mengecilkan bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Angka ini sungguh memeranjatkan. Ia memberi gambaran sebenar mengenai perubatan moden bahawa, walaupun kejayaan demi kejayaan yang digembar-gemburkan menyinari dunia perubatan moden, namun kepincangannya jelas.

Jika mereka terus-menerus menentang kehadiran dunia alami, ditakuti mereka akan ditelan zaman apabila masyarakat mampu melihat kepincangan itu sebagai sesuatu yang tidak diperlukan lagi.

Adalah menjadi harapan orang ramai untuk melihat satu reformasi yang lebih telus di dalam sistem penjagaan kesihatan yakni, satu sistem yang tidak dilindungi dari dalam.

Ia juga merupakan sistem yang terbuka kepada ilmu dan pengetahuan yang menjurus kepada peningkatan minda, yang dapat melindungi tubuh badan kurniaan tuhan dari dicemari oleh bahan kimia, racun mahupun dadah.

Sesungguhnya, sistem yang diperlukan oleh manusia adalah sistem penjagaan perubatan dan rawatan alamiah, secara semula jadi, juga sistem lain yang berpotensi berkesan dan selamat digunakan.

Disalin taip daripada suratkhabar Mingguan Malaysia : Kesihatan Ahad, 19 November, m.s. 28.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.