14 Oktober, 2009
Lagi pekerja Indonesia bantah Bendera
sebahagian pekerja rakyat Indonesia yang bekerja di Ladang Yayasan Pahang, Endau, Rompin, mengadakan demonstrasi secara aman membantah provokasi kumpulan Bendera, kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------
ROMPIN 14 Okt. - Seramai 200 pekerja Indonesia dari Ladang YP Plantation Holdings Sdn. Bhd., Endau, di sini berhimpun secara aman semalam bagi membantah tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang ingin menyerang Malaysia baru-baru ini.
Perhimpunan selama sejam pada pukul 4 petang di kawasan rumah kongsi di ladang berkenaan diadakan sebagai tanda sokongan rakyat Indonesia di sini kepada Malaysia.
Mereka turut membawa poster yang bertulis Indonesia dan Malaysia adik beradik selain menggunakan bahasa Indonesia berbunyi Ojo ganggu aku, aku aman neng kene.
Selain itu Kumpulan Bendera jangan cemari kami, kami mencari rezeki halal di Malaysia, Kumpulan Bendera jangan buat kami keresahan di sini, Malaysia dan Indonesia serumpun dan terima kasih Pahang.
Peserta perhimpunan, Talib Halim Abdullah, 38, menegaskan, rakyat Indonesia di negara ini tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kekerasan, peperangan dan keganasan ke atas penduduk Malaysia.
"Apa yang berlaku itu boleh diselesaikan secara mesyuarat dan bukannya melalui kekerasan. Saya harap rakyat Indonesia di Malaysia bertenang dan tidak terpengaruh dengan kumpulan Bendera," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Talib, dia tidak mahu akibat tindakan kumpulan tersebut hubungannya dengan kawan-kawan di sini terganggu.
Sementara itu, Tupan Pramana Putra, 38, berkata, dia dan rakan-rakannya bekerja dengan aman di negara ini.
"Kami tidak menyokong kekecohan dan keganasan seperti yang dilakukan sebilangan rakyat di negara kami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.