Pages

Subscribe:

01 November, 2009

Bicarakan ketua negara AS, UK




KUALA LUMPUR 31 Okt. – Ketua kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Britain mesti dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah perang kerana mereka merupakan perancang utama perang ke atas Afghanistan dan Iraq.

Profesor Michel Chossudovsky berkata, perang ke atas Afghanistan dan Iraq dilancarkan oleh AS dan Britain atas faktor ekonomi dan bukannya untuk mewujudkan keamanan.

Beliau yang berhujah di hadapan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) di sini memberitahu, negara kuasa besar itu mempunyai agenda bagi menguasai ekonomi terutama dalam pasaran minyak global, ketika melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq.

“AS dan Britain melancarkan perang ke atas Afghanistan dan Iraq kerana cara itu sahaja mereka dapat menguasai pasaran minyak dunia.

“Kawalan ke atas komoditi itu akan memberi mereka kuasa untuk mengawal negara-negara lain terutama yang sedang bangkit menjadi kuasa ekonomi dunia iaitu Rusia dan China,” katanya.

KLWCT bersidang bagi mendengar persoalan sama ada ia mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan Presiden, Perdana Menteri atau ketua kerajaan sesebuah negara kerana melakukan jenayah perang di sini hari ini.

Persoalan itu dibangkitkan oleh Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC).

Chossudovsky memberitahu, perang yang dilancarkan oleh AS dan Britain ke atas Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada 2003 dibuat atas desakan pelbagai pihak yang berkepentingan.

Ia antara lain melibatkan syarikat minyak, firma kewangan di Wall Street serta kontraktor utama AS yang terbabit dalam industri minyak di seluruh dunia.

Sementara itu seorang lagi anggota suruhanjaya, Profesor Hans Von Sponeck menegaskan, AS dan Britain telah melanggar Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Peruntukan tersebut, katanya, dengan jelas menyebut bahawa sesebuah negara boleh mempertahankan diri apabila diserang tetapi menegaskan ia tidak boleh melancarkan perang ke atas sesebuah negara lain.

Katanya, AS dan Britain telah melanggar piagam itu dan seharusnya dibicarakan kerana melakukan jenayah perang ke atas Afghanistan dan Iraq.

“Saya juga ingin menarik perhatian pihak tribunal bahawa dalang sebenar yang memaksa Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan selama 13 tahun ke atas Iraq ialah AS dan Britain,” katanya.

“Saya merupakan pegawai di PBB iaitu Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Iraq dan telah menyaksikan sendiri bagaimana kezaliman sekatan itu menyebabkan penderitaan ke atas penduduk Iraq.

“Semua itu didalangi AS dan Britain, maka kedua-dua negara itu sepatutnya dibicarakan atas tuduhan jenayah perang,” katanya.