Pages

Subscribe:

02 November, 2009

D8 bangunkan perlembagaan sendiri


Anifah Aman (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Ke-12 Peringkat Menteri D-8 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Mohd. Naim Aziz

Oleh ARSHAD KHAN dan ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang sudah lebih 10 tahun ditubuhkan dan beberapa kali bertemu membincangkan faedah bersama negara-negara ahli, sebenarnya masih belum memiliki perlembagaan sendiri.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia akan berperanan aktif mengerakkan usaha memastikan D-8 memiliki perlembagaan sendiri pada masa depan.

''Malaysia menyokong idea bahawa D-8 perlukan perlembagaan dan Malaysia menyatakan sokongan itu melalui pandangan yang disampaikan pada Mesyuarat Suruhanjaya (D-8) ke-27 yang baru berakhir.

''Harus diberikan perhatian juga bahawa ini kali pertama draf seumpama itu (perlembagaan) dikaji para delegasi kita,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena mesyuarat sehari D-8 yang berakhir hari ini. Selain Malaysia, negara D-8 ialah Iran, Indonesia, Nigeria, Turki, Pakistan, Bangladesh dan Mesir.

Tambah Anifah, kegagalan mempunyai perlembagaan sendiri mencerminkan usaha yang dilakukan negara-negara ahli D8 ke arah itu masih belum mencukupi dan harus ditambah.

Beliau berkata, pada peringkat ini, D-8 memerlukan perlembagaan sendiri bagi mengatur hala tuju perhubungan yang lebih dan menguntungkan para negara ahli.

Katanya, pertemuan kali ini mencapai kata putus agar satu mesyuarat khusus bagi membincangkan mengenai perlembagaan D8 diadakan di Istanbul, Turki pada Januari tahun depan.

Tambah beliau, Suruhanjaya D-8 kini berusaha mendapatkan persetujuan Majlis Menteri-Menteri D-8 untuk membolehkan mereka berusaha menwujudkan perlembagaan berkenaan.

''Malaysia mengalu-alukan usaha suruhanjaya itu,'' katanya.

===========================================================

Nigeria ambil alih peranan pengerusi baru D-8 2010

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Nigeria akan mengambil alih peranan Malaysia sebagai Pengerusi Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) tahun depan.

Setiausaha Agung D-8, Dr. Dipo Alam berkata, upacara rasmi pengambilalihan itu dijangka diadakan dalam satu mesyuarat di Abuja, Nigeria pada pertengahan tahun depan.

''Dalam mesyuarat berkenaan, kerjasama baru dalam negara anggota D-8 yang akan diberi perhatian ialah dalam bidang minyak dan tenaga.

''Iran pembekal gas asli kedua terbesar di dunia selepas Rusia, Nigeria di tempat ketujuh, Indonesia di tempat ke-10 sementara Malaysia di tempat ke-12,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar bersama selepas mesyuarat ke-12 peringkat menteri D-8 yang dipengerusikan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Dipo, industri gas berpotensi menjadi kerjasama perdagangan yang baru di antara negara anggota D-8.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Sekretariat D-8 perlu menjadi lebih kreatif dan mencontohi model kejayaan organisasi lain yang lebih membangun.

''Sekretariat juga boleh memaksimumkan penggunaan teknologi terkini seperti persidangan secara elektronik demi menjimatkan masa dan kos perjalanan.

''Sekretariat perlu menggunakan tindakan sedemikian supaya menjadi sekretariat yang efektif dan efisien,'' jelasnya.

Anifah berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sebelum mesyuarat ke-12 peringkat menteri D8 bermula.

D8 dianggotai Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki yang merangkumi 900 juta penduduk.

Ia ditubuhkan pada tahun 1997 dengan objektif mewujudkan jaringan kerjasama ekonomi yang efektif antara negara anggotanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.