Reda kes amuk: 2 polis cedera
Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 5 Dis. - Seorang anggota polis, Lans Koperal Mohd. Nazeri Mohd. Nor terpaksa menjalani pembedahan setelah tulang pinggulnya patah ketika cuba menenangkan seorang lelaki mengamuk di depan deretan kedai di Parit 5, Sekinchan malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, rakan sekerja mangsa, Lans Koperal V. Selvathurai, 46, turut patah pergelangan tangan kanan dan diberi rawatan pesakit luar di Hospital Tanjung Karang.
Mohd. Nazeri, 50, yang dikejarkan dari Hospital Tanjung Kajang pada malam tadi, selamat menjalani pembedahan dengan memasukkan besi pada tulang pinggulnya di Hospital Pusat Perubatan KPJ Selangor di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat anggota polis itu dan keadaannya stabil.
Berada di sisi mangsa ialah isterinya, Aisah Mahidin, 46, dan salah salah seorang anak lelaki mereka, Nor Azhar, 20 tahun.
Khalid pada sidang akhbar sebelum itu memberitahu, kedua-dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam sedang membuat rondaan dan bergegas ke tempat kejadian setelah menerima maklumat bahawa terdapat seorang lelaki berusia 35 tahun sedang mengamuk di situ.
"Sebaik sahaja tiba, mereka nampak seorang lelaki sedang bersilat dan keadaan itu menakutkan orang ramai kerana suspek turut dilihat mengangkat kerusi serta meja di situ.
"Kedua-dua anggota polis terbabit cuba menenangkan suspek walaupun mereka sudah tercedera akibat terkena serangan lelaki berkenaan yang dipercayai bekas anggota tentera.
"Suspek hanya dapat ditenangkan dengan bantuan lebih 20 orang awam di kawasan tersebut dan dua anggota polis yang cedera dikejarkan ke hospital," jelas beliau.
Menurut Khalid, suspek turut membawa sebilah parang tetapi tidak menggunakannya ketika pergelutan berlaku dan rekod menunjukkan dia memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan peras ugut selain mengalami tekanan mental.
Berikutan kejadian itu, beliau berharap, suspek yang mengalami kecederaan ringan ditahan di wad psikiatri kerana tindakannya boleh mengancam keselamatan orang ramai.
Sementara itu Aisah, isteri kepada Mohd. Nazeri ketika ditemui di hospital berkata, suaminya memberitahu pernah terdengar cerita bekas anggota tentera di kawasan itu yang sering mengamuk tetapi tidak pernah terserempak.
YA ALLAH SELAMATKANLAH ANGGOTA POLIS MALAYSIA DARI FITNAH DAN CEDERA JADIKANLAH MEREKA ORANG YANG DIHORMATI OLEH SEGENAP LAPISAN RAKYAT DAN JAUHILAH DARI SEGALA ANCAMAN MUSUH AMIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.