Pages

Subscribe:

15 Disember, 2009

[hang nadim]Assabiah melulu membawa kezaliman

MEGA: Apakah yang dimaksudkan dengan assabiah yang merupakan satu perkara yang dilarang oleh Islam? Adakah ia sebagaimana yang difaham daripada pemakaian biasa atau berlainan?

AHMAD HUSNI: Assabiah satu istilah Arab yang diambil dari kata akarnya asaba. Secara literaturnya, ia membawa maksud saudara atau keturunan keluarga dari sebelah bapa. Dinamakan sebegini kerana masing-masing memperkukuhkan kedudukan antara satu sama lain dalam keluarga. Jika dilihat daripada kerangka istilah assabiah bermaksud sokongan sesuatu pihak terhadap puak atau kumpulannya atau keluarganya tidak kira sama ada benar atau salah, ditindas atau menindas.

Penentuan terhadap kumpulan ini boleh berlaku dalam pelbagai ragam sama ada warna kulit, kecenderungan, pola pemikiran, tempat lahir, etnik, kewarganegaraan, mazhab mahupun minat.

Assabiah terhasil dari perasaan 'lebih daripada orang lain' atau takbur sehingga melihat orang yang tidak bersama kita sebagai lebih rendah martabat dan kedudukannya.

Wajah asalnya boleh dilihat menerusi perbualan iblis membantah arahan Allah tatkala diarah sujud (hormat) kepada Nabi Adam a.s dengan katanya: "Apakah aku perlu sujud kepadanya? Engkau jadikan aku daripada api sedangkan dia dijadikan daripada tanah."

Atas dasar inilah Islam memandang serius persoalan Assabiah yang membarahi umat sehingga mampu melumpuhkan kesatuan ummah dan mencacatkan perpaduan sehingga mengubah ukhuwah kepada permusuhan, kasih sayang kepada benci, hormat kepada khianat dan pelbagai bentuk keburukan yang mungkin terhasil.

Hasil daripada pemerhatian, boleh dikatakan pemahaman dan pemakaian terhadap istilah assabiah punya perbezaan, namun konteksnya hampir sama, menghampiri atau mungkin mempunyai ciri-ciri assabiah yang ditegah oleh Islam.

Apakah sifat-sifat assabiah?

AHMAD HUSNI: Sifat-sifat assabiah ini boleh kita fahami dalam memerhatikan kategorinya. Kategori pertama ialah assabiah berpuak / kabilah atau etnik juga dikenali sebagai kebangsaan. Ini adalah bentuk tertua dan terkuat dalam assabiah. Semakin rapat hubungan semakin kuat assabiah. Semakin jauh hubungan maka, makin lemah jiwa assabiah itu. Suku kaum, puak, etnik dan nasionalisme termasuk dalam kategori assabiah ini. Daripada inilah timbulnya slogan jahiliah yang menyebutkan 'bantulah saudaramu yang menindas atau ditindas'.

Kategori kedua pula ialah assabiah prinsip, mazhab atau pemahaman. Kumpulan ini adalah golongan yang sangat kuat berpegang kepada mazhab atau pandangan kumpulan masing-masing sehingga membawa kepada bentuk ketaksuban yang membahayakan. Pengikut dalam kumpulan ini sanggup mempertahankan prinsip dan pandangan sehingga mampu menolak pandangan lain yang juga punya kebenarannya.

Kategori ketiga pula ialah assabiah dari aspek benua. Fahaman ini terbentuk daripada kalangan individu yang tinggal dalam sesebuah benua. Kumpulan ini memikirkan bahawasanya mereka yang tinggal dalam benua yang sama adalah lebih eksklusif daripada yang tinggal di benua yang lain.

Penyakit ini merebak dalam kelompok umat Islam pasca kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Pemikiran ini sebenarnya merupakan perancangan musuh-musuh Islam dan mereka berjaya menyuburkannya dalam jiwa umat Islam dengan cara yang begitu licik sehingga umat terjerat sendiri dalam perangkap yang dibina hasil sifat assabiah ini. Inilah juga yang mengakibatkan kejatuhan Andalusia suatu ketika dahulu.

Kategori terakhir ialah assabiah ialah perkauman (racism). Kumpulan ini terbentuk hasil persamaan warna kulit dan mereka yang berbeza warna kulit sudah tentu dipandang rendah dan hina. Alhamdulillah, senario assabiah ini tidak wujud dalam dunia Islam dan hanya berakar umbi di kalangan penduduk Barat. Orang berkulit hitam rasa ditindas dan dihina oleh orang yang berkulit putih. Banyak penumpahan darah dan kezaliman berlaku dan akhirnya mengakibatkan keruntuhan hidup bermasyarakat yang serius.

Adakah membantu kaum seperti memberi kelebihan kepada orang Melayu dalam DEB dan kini Dasar Pembangunan Nasional tergolong dalam assabiah?

AHMAD HUSNI: Isu ini adalah melibatkan hak Bumiputera dan golongan asal penduduk sesuatu negara. DEB merupakan perancangan pihak pemerintah untuk membantu meningkatkan ekonomi masyarakat. Walaupun ia memihak kepada suatu kaum sahaja, dalam masa yang sama nasib kaum lain juga tidak dilupakan menerusi perancangan ekonomi yang berbeza. Bagi saya ini tidak termasuk dalam kategori assabiah, wallahu a'alam.

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa': "Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-assabiah? Sabda Baginda: Tidak, sebaliknya assabiah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman." (riwayat Abu Daud). Apakah huraian lanjut hadis ini?

AHMAD HUSNI: Hadis ini merupakan hadis yang jelas tentang sifat utama yang dibawa oleh assabiah itu sendiri. Ia sangat berkait rapat dengan kezaliman. Jiwa assabiah akan membutakan penilaian yang adil dan menjejaskan tindakan yang terhasil daripada pengamatan yang telah dikaburi oleh kabus assabiah. Akibatnya sesuatu kezaliman yang perlu ditegah dan dicegah sudah tidak lagi diperlakukan sedemikian.

Alasannya ialah tidak mengapa kerana ia dilakukan oleh kaum sendiri atau kumpulan yang tertentu. Yang hak perlu ditegakkan yang zalim perlu ditundukkan. Itulah Islam. Namun hadis ini juga menganjurkan kecintaan kepada kaum yang diasaskan kepada kebenaran dan bukan kecintaan membuta tuli sehingga membawa kepada bahaya assabiah.

Apakah jaminan bahawa keadilan dalam Islam itu tertegak walaupun dalam kes melibatkan suku kaum? (dengan merujuk surah al-Maidah ayat 8).

AHMAD HUSNI: Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 8: Wahai orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah. Janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah sesungguhnya itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui setiap perkara yang kamu lakukan.

Ayat ini jelas menyatakan pendirian Islam terhadap berlaku adil dan jaminan bahawasanya keadilan pasti akan tertegak dengan mendahului yang hak mahupun kepada musuh sendiri. Prinsip ini jelas dapat dilihat menerusi perlakuan Rasulullah SAW dan tindakan Baginda SAW menegakkan keadilan walaupun tatkala melibatkan musuh terutama dalam medan peperangan.

Ibnu Kathir menjelaskan ayat ini dalam tafsirnya meriwayatkan satu hadis daripada Nu'man bin Basyir mengenai hadiah pemberian bapanya sehingga ibunya 'Amrah binti Rawahah mencadangkan agar dipersaksikan pemberian itu di hadapan Rasulullah SAW dan setelah itu Baginda bersabda kepada ayahanda Nu'man: "Apakah setiap anakmu diberikan hadiah sedemikian? Jawabnya : "Tidak" Maka Nabi lantas bersabda : "Bertakwalah kamu kepada Allah dan berbuat adil terhadap anak-anakmu. Sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi kepada ketidakadilan."

Mengenai berlaku adil walaupun dalam hal melibatkan keluarga sendiri pula, jelas pendirian Nabi SAW ketika menghakimi pertanyaan tentang Fatimah al-Makhzumiyyah yang mencuri apakah harus dipotong tangannya. Maka jawab Baginda SAW: Demi Allah! Jikalau yang mencuri itu Fatimah binti Muhammad sekalipun, nescaya akan ku potong tangannya! (riwayat Bukhari dan Muslim).
utusan online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.