Pages

Subscribe:

31 Disember, 2009

[hang nadim]Keunikan Jonker Street





Oleh norizan abdul muhid
utusanmelaka@utusan.com.my

KUIL Sri Poyyatha Vinayaga Moorthy yang terletak di Jalan Tukang Emas sebaris dengan Masjid Keling.
--------------------------------------------------------------------------------
MELAKA 30 Dis. - Ingin melihat bukti wujudnya kebenaran konsep 1Malaysia? Jika masih ragu-ragu tentang kewujudan 1Malaysia sejak sekian lama, nilailah sendiri kebenarannya dengan berkunjung ke Jonker Street di sini.

Sepanjang Jalan Tukang Emas dan Jalan Tokong di kawasan tersebut, terdapat beberapa rumah ibadat yang mewakili tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

Malah rumah-rumah ibadat tersebut dibina berdekatan antara satu sama lain dan terpisah beberapa meter sahaja.

Rumah-rumah ibadat yang dimaksudkan adalah kuil Sri Poyyatha Vinayaga Moorhty, Masjid Keling yang terletak di Jalan Tukang Emas dan Kuil Chang Hoon di Jalan Tokong.

Walaupun berbeza kepercayaan dan agama, mereka menghormati anutan agama masing-masing.

Apa yang jelas, tiada langsung perbezaan dilihat pada riak wajah rakyat Malaysia itu.

Perkara ini diakui sendiri oleh seorang pelancong asing dari Amerika Syarikat (AS), James Ignes Mark, 40, yang sudah seminggu menghabiskan masa cutinya bersama keluarga di Jonker Street.

Meurut James, pada mula-mula dia menjejakkan kaki di kawasan itu, dia agak kehairanan namun pada masa yang sama terpegun dengan senario tersebut.

''Kita biasa melihat kebanyakan rumah-rumah ibadat dibina agak jauh antara satu sama lain bagi menjaga hati kaum yang berlainan budaya dan kefahaman mereka.

''Tetapi keadaannya berbeza di Jonker Street yang saya belum lihat di tempat lain. Saya dapati keadaannya amat berlainan sekali, kaum yang berbeza kepercayaan agama boleh jalan bersama menuju ke rumah ibadat mereka tanpa ada rasa pelik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dia yang bekerja sebagai perunding perniagaan di bandar San Francisco itu mengakui kagum dengan keunikan tersebut dan walaupun bukan rakyat negara ini, dia percaya dengan konsep perpaduan dan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Selain James, beberapa penduduk tempatan yang ditemui ketika ditanya tentang senario yang berlaku menyatakan, kewujudan rumah ibadat tersebut sejak lebih 60 tahun lalu tidak mendatangkan sebarang rasa tidak puas hati di kalangan penduduk pelbagai kaum di situ.

Kata S. Krishan, 45, walaupun kadang-kala gema dari rumah-rumah ibadat terbabit berbunyi serentak, ia sudah menjadi 'ala bisa tegal biasa' kepada penduduk di situ.

''Sebab itu saya pelik kerana ada sesetengah tempat dalam negara ini yang mempunyai masalah tentang kewujudan rumah ibadat di tempat mereka yang dikatakan menimbulkan bunyi bising.

''Tetapi kita di sini, masalah seperti itu tidak pernah sekali terdetik dalam hati kerana pada saya, kita hidup di bawah satu negara yang sama biarpun berbeza agama," katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairul Kamal Azman, 17, berkata, dia sering terserempak dengan kumpulan kaum India yang ingin ke kuil bersebelahan Masjid Keling ketika dia hendak menunaikan solat di masjid berkenaan.

''Entahlah, saya tidak nampak apa yang luar biasa atau peliknya dalam keadaan tersebut sebab mereka saya lihat, senyum dan turut menyapa saya seperti biasa.

''Kami jalan beriringan dengan saya yang memakai songkok dan mereka memakai pakaian khas tetapi hanya untuk satu tujuan iaitu menunaikan tanggungjawab kepada agama yang dianuti," katanya.

Bagi Syukor Abdullah, 35, dia berasa bangga dan bertuah kerana dilahirkan sebagai warganegara Malaysia dan berpeluang menjadi sebahagian daripada keunikan pelbagai bangsa yang terdapat di dalam negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.