Pages

Subscribe:

15 Disember, 2009

[hangnadim]MBI bantu kanak-kanak sumbing dari Medan




N. Puja Wathi bersama ibu bapanya sewaktu baru tiba dari Medan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 15 Dis. - Sifat berperikemanusiaan tidak mengenal bangsa, agama mahupun warna kulit.

Atas dasar itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadikan seorang kanak-kanak dari Medan, Indonesia yang mempunyai masalah bibir sumbing sebagai anak angkat sekali gus membantunya menjalani pembedahan di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pihaknya dengan bantuan Hospital Pantai Ipoh (HPI) telah memilih N. Puja Wathi, 7, untuk menjalani pembedahan di sini menerusi program Pelancongan Kesihatan Ipoh-Medan yang diperkenalkan.

''Walaupun dari Medan, Indonesia, dia juga manusia biasa yang memerlukan bantuan. Kita membantu kerana rasa prihatin.

''Ini adalah sumbangan yang bermakna sekali bukan sahaja untuk Puja malah akan menaikkan nama bandar raya Ipoh dan pihak yang terlibat,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Puja tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada pukul 12.15 tengah hari ini dengan ditemani bapanya, S. Nyana, 39, dan ibunya N. Margeswary, 39.

Roshidi menjelaskan, idea projek kemasyarakatan itu timbul hasil lawatan pihaknya ke Medan baru-baru ini bagi menjalinkan kerjasama antara dua bandar raya itu.

Dalam hubungan ini katanya, HPI akan menjalankan pembedahan plastik untuk memperbaiki bibir sumbing dan kecacatan lelangit Puja secara percuma walaupun kos pembedahan dianggarkan RM30,000.

''MBI akan menanggung kos-kos lain sepanjang kanak-kanak tersebut berada di sini,'' katanya.

Sementara itu, pakar bedah plastik HPI, Dr. Leow Aik Ming berkata, kanak-kanak itu akan menjalani dua peringkat pembedahan dan peringkat pertama akan dilakukan Khamis ini.

Selepas pembedahan katanya, jahitan akan dibuka pada 22 Disember manakala rawatan susulan akan dilakukan di Medan pada 29 Disember ini.

''Dia pernah menjalani pembedahan membentuk semula mulutnya yang sumbing sebelum ini tetapi lelangitnya masih bermasalah dan berlubang.

''Ini menyebabkan dia sukar untuk makan dan minum kerana makanan akan masuk ke hidung,'' katanya.

Beliau berkata, untuk rawatan kali ini, lelangit kanak-kanak itu akan ditampal manakala hidung akan dibentuk semula.

''Dia juga akan dirujuk kepada pakar telinga dan kanak-kanak dalam tempoh rawatan,'' katanya.

Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu menjalani pembedahan kali pertama ketika berusia 19 bulan dan pembedahan kali kedua pada Februari lalu.

Bapanya, Nyana yang merupakan seorang sami berkata, pendapatan keluarganya yang rendah menyebabkan dia tidak mampu untuk menanggung kos untuk memulihkan bibir anaknya itu.

Menurutnya, dua pembedahan sebelum ini berjaya dilaksanakan menerusi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Memang saya kasihan melihat dia sering menangis kerana diejek rakan-rakan di sekolah tetapi saya tidak mampu membantu. Saya berharap pembedahan kali ini akan membantu Puja.

''Saya amat berterima kasih dengan keprihatinan masyarakat di negara ini khususnya MBI kerana sanggup membantu anak saya,'' katanya.

UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.