Pages

Subscribe:

08 Disember, 2009

Rundingan Malaysia-Thailand berjaya




Oleh Ismail Daud



Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor bergambar bersama Abhisit Vejjajiva dan isteri, Prof. Dr. Pimpen Vejjajiva ketika kunjungan hormat di Rumah Kerajaan di Bangkok, semalam.
________________________________________

BANGKOK 8 Dis. – Rundingan Tahunan ke-4 Malaysia Thailand yang diadakan di sini disifatkan sebagai sangat berjaya apabila kedua-dua negara mencapai kata sepakat dalam pelbagai aspek kerjasama.
Ia termasuk dalam isu ekonomi, pembangunan, perhubungan, isu penyeludupan, keselamatan sehingga ke konflik di selatan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva berpuas hati dengan tahap hubungan setakat ini.
Kedua-dua pemimpin itu juga yakin ia boleh diperkukuhkan lagi terutama dalam bidang perdagangan, keselamatan, pembangunan dan inisiatif baru sehingga menjadi model hubungan antara dua negara jiran.
Pada sidang akhbar bersama selepas rundingan tersebut, Najib berkata, selain isu dua hala, Malaysia turut mengulangi pendiriannya bahawa isu di selatan Thailand adalah masalah dalaman negara itu tetapi sedia membantu jika diminta oleh Thailand.
Katanya, Malaysia memahami bahawa isu itu adalah satu cabaran kepada Thailand dan hanya boleh diselesaikan jika rakyat di wilayah itu menolak keganasan, bekerjasama serta setia kepada kerajaan dan raja mereka.
Abhisit pula berkata, Thailand sudah mengambil pelbagai langkah untuk menamatkan konflik di wilayah itu termasuk pembinaan keupayaan menerusi pendidikan dan peluang pekerjaan, pilihan raya kerajaan tempatan dan banyak lagi dengan kerjasama dan perkongsian maklumat dengan Malaysia.
Katanya, pendekatan yang diambil itu yang kebanyakannya dalam bidang ekonomi dan pendidikan diyakini tepat untuk menangani masalah di wilayah itu walaupun ada pihak menyatakan pendekatan politik lebih diperlukan bagi menyelesaikan konflik tersebut.
“Tidak tepat menyatakan pendekatan ekonomi tidak membantu mewujudkan perdamaian di wilayah tersebut walaupun kita mengakui pendekatan politik juga diperlukan supaya rundingan damai boleh diadakan.
“Namun, setakat ini, tiada pihak yang mahu mengaku bertanggungjawab dan berikutan itu, kita perlu bercakap terus dengan rakyat di sana,” katanya.
Kata Abhisit, kerajaan pimpinannya perlu menangani masalah itu dengan segera tetapi dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan hubungan antara komuniti di selatan Thailand.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Rundingan Tahunan itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen dalam banyak perkara termasuk meningkatkan usaha memerangi penyeludupan manusia, dadah dan senjata di sempadan dan juga di perairan.
Malaysia dan Thailand juga mengukuhkan komitmen untuk meningkat perhubungan antara rakyat dan juga perhubungan fizikal, belia dan sukan, pendidikan tinggi dan juga melihat potensi produk dan pasaran barangan halal.
Pelbagai badan dan jawatankuasa yang diwujudkan antara kedua-dua negara juga dilihat sebagai sangat berkesan untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.