Pages

Subscribe:

19 Januari, 2010

[hang nadim]Larangan Merokok.............Penguatkuasaan lemah





SEKURANG-KURANGNYA 20 kawasan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok di negara ini tetapi para perokok seolah-olah mendapat ‘kebebasan’ melanggar peraturan itu.
Tinjauan sehari Unit Khas Utusan Malaysia mendapati, di beberapa kawasan hospital dan pusat perubatan masih kelihatan petugas dan orang awam menghisap rokok.
Kegagalan pelbagai kempen kerajaan termasuk Klinik Berhenti Merokok dikaitkan dengan ‘kedegilan’ atau kurangnya kesedaran para perokok terhadap bahaya menghisap rokok.
Lebih baik jika perokok ini berhenti dan menabung wang itu untuk menunaikan fardu haji kerana ia merupakan satu kewajipan bagi umat Islam
-Datuk Nooh Gadut
Penasihat Majlis Agama Islam Johor
UTUSAN ONLINE

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

SATU lagi langkah kerajaan untuk membasmi tabiat merokok dalam kalangan masyarakat ialah dengan menguatkuasakan undang-undang berhubung lokasi larangan merokok. Berkuat kuasa akhir Oktober, semua kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Langkah kerajaan ini mengundang pelbagai reaksi bercampur antara warga masyarakat yang menginginkan suasana bebas asap rokok dengan perokok itu sendiri yang merasakan kawasan untuk mereka semakin terancam.
Baca seterusnya >
read more
Bagi golongan yang merokok, mereka mungkin terus berpegang kepada hukum merokok adalah makruh. Sebagai agama yang sentiasa sesuai dengan perkembangan ilmu dan kepesatan pembangunan teknologi, Islam mengiktiraf fatwa perubatan yang berasaskan bukti saintifik. Kajian demi kajian, baik dari segi klinikal sehinggalah ke peringkat molekular telah menyokong antara satu sama lain bahawa rokok adalah pemusnah kehidupan.

Dalam bidang perubatan otorinolaringlongi sahaja, pelbagai jenis kanser dan keadaan pra kanser telah dibuktikan kaitannya dengan aktiviti merokok. Bilangan dan tempoh yang dihisap pula berkadar langsung dengan risiko yang dihadapi. Ia bukannya sekali atau dua kali ganda, bahkan berlipat-lipat kali ganda.

Tambahan pula, risiko ini masih berterusan buat beberapa tahun selepas seseorang itu berhenti merokok. Kanser yang sering dikaitkan termasuklah kanser bibir, lidah, rongga mulut, gusi, pipi, tekak, peti suara, sinus dan banyak lagi.

Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke-37 telah pun memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujah yang hampir sama dengan fatwa-fatwa seluruh dunia yang lain. Malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpangkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai bahaya rokok.

Namun, apa yang malang sekali ialah publisiti atau hebahan yang diberikan kepada keputusan majlis fatwa ini tidaklah seperti isu-isu panas yang lain seperti isu pengkid, sumpah laknat, yoga dan sebagainya.

Atas apa jua kapasiti yang ada, kita sebagai warga Malaysia dan lebih-lebih lagi Muslim yang bertanggungjawab haruslah sedar akan peri pentingnya impak fatwa ini jika tidak disebarkan.

Ini kerana dalam kalangan pemimpin, ustaz-ustaz bahkan imam juga masih tidak dapat berenggang dengan rokok. Amat malang sekiranya kita termasuk dalam golongan mereka yang tidak mendapat pengetahuan tentang fatwa ini.

Berhentilah merokok bukan kerana takutkan penyakit, atau takut dikompaun, atau takut habisnya duit tetapi berhentilah merokok sebagai lambang kasih cinta sejati dan sifat syukur kita kepada Tuhan
http://hidupkeranaallah.blogspot.com/2009/11/oleh-dr.html
http://www.youtube.com/watch?v=K5fp9egJQ54
Harga rokok mungkin RM50
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Kementerian Kesihatan sedia mengkaji cadangan untuk menetapkan harga rokok pada kadar yang lebih tinggi sehingga RM50 bagi pek 20 batang rokok.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pada prinsipnya, harga yang mahal memang diharapkan dapat mengurangkan keupayaan orang ramai untuk membeli dan seterusnya merokok.

''Sebelum ini Kementerian Kesihatan telah berusaha melakukan pelbagai cara supaya perokok tegar dapat meninggalkan tabiat buruk itu selain mengajak kanak-kanak dan remaja supaya benci kepada tabiat itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekotak rokok yang mengandungi 20 batang dijual pada harga RM30 hingga RM50 supaya tidak mampu dibeli terutama golongan remaja.

Rosnah berkata, pihaknya juga bersedia mengkaji cadangan supaya kotak rokok dilitupi sepenuhnya dengan paparan amaran kesihatan manakala jenama rokok hanya dicetak pada saiz yang kecil pada sisi kotak.

Bagaimanapun, jelas Rosnah, sebelum itu kementerian terlebih dahulu terpaksa mengambil kira peraturan yang ditetapkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, sebab itu apa yang lebih penting ialah penyertaan masyarakat dalam usaha mengurangkan tabiat merokok kerana penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup untuk atasi tabiat ini.

''Peranan yang dimainkan oleh media seperti Utusan Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu merokok sangat kami hargai,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, adalah kurang tepat untuk menyimpulkan yang kementerian gagal dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Katanya, lebih-lebih lagi jika pandangan itu dibuat selepas hanya beberapa pemerhatian mudah dan bukannya melalui penyelidikan saintifik yang berwibawa.

''Hasil dua tinjauan besar yang dijalankan oleh pada tahun 1996 dan 2006, iaitu Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan 2 & 3, kadar merokok sebenarnya telah menurun sebanyak lebih dua peratus.

''Justeru kementerian juga tidak bercadang untuk menutup atau memansuhkan kesemua 270 Klinik Berhenti Merokok di seluruh negara yang dikatakan gagal mencapai matlamatnya.

''Malah dalam perancangan kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), klinik itu akan diintegrasikan ke dalam perkhidmatan lain yang disediakan oleh klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.