Pages

Subscribe:

14 Januari, 2010

[hang nadim]Lawatan PM & TPM









Najib Tun Razak berbincang dengan Gabenor Jeddah, Putera Mishaal Majed ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, Arab Saudi, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------
Najib lawat universiti terkemuka Arab Saudi
JEDDAH 14 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memulakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi dengan mengunjungi Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah (KAUST) di sini.

Dalam lawatan itu, Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diberi taklimat mengenai KAUST yang kini dianggap salah sebuah universiti baru berprestij di negara ini oleh presiden universiti berkenaan, Prof. Choo Fong Shih.

Selain mendengar taklimat mengenai KAUST yang mampu menampung 20,000 pelajar dari seluruh dunia pada satu-satu masa, Najib dan rombongan meluangkan masa lebih sejam meninjau kawasan sekitar universiti tersebut.

Beliau dan isteri turut beramah mesra dengan beberapa pelajar Malaysia di universiti itu serta keluarga mereka.

KAUST yang mula beroperasi empat bulan lalu adalah universiti penyelidikan dan kajian bertaraf antarabangsa yang turut mengambil enam pelajar dari Malaysia.

Ia menawarkan ijazah dalam 11 bidang dan diiktiraf sebagai antara 10 universiti penyelidikan terulung dunia seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford.

Turut menyertai rombongan berkenaan ialah Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Selepas lawatan berkenaan, Najib dan rombongan berlepas ke Mekah bagi menunaikan umrah.

Esok, beliau kembali ke Jeddah bagi menghadiri majlis makan malam bersama Majlis Perniagaan Malaysia.

Perdana Menteri dan isteri serta rombongan kemudian akan bertolak ke Riyadh bagi menghadiri atur cara seterusnya termasuk pertemuan dengan Penjaga Dua Masjid Suci yang juga Raja Arab Saudi, Raja Abdullah AbdulAziz Al Saud.


Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang diiringi Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies, Dr. Farhan Nizami (kanan) tertarik melihat gambar tapak projek baru yang bakal menempatkan pusat pengajian Islam itu di London, semalam. – Bernama

--------------------------------------------------------------------------------
LONDON 14 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.

“Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama” di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.

“Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting adalah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telah pun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan ada penganut Kristian berpendapat banyak perkara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya “jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah.”

Beberapa pemimpin hebat dunia seperti Nelson Mandela, Dr. Mahathir, Kofi Annan, Sonia Gandhi dan Putera Charles pernah menyampaikan syarahan mereka di pusat ini.

Sebelum itu, semasa menyampaikan syarahannya, Muhyiddin berkata, beliau mesti mengakui bahawa sebagai sebuah negara berbilang agama, Malaysia akan terus berdepan cabaran dalam menggalakkan toleransi beragama dan mengekalkan keharmonian beragama.

“Ini cabaran yang kekal dan berterusan. Ada keributan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan sebuah penerbitan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam buletinnya.

“Walau apa pun pandangan peribadi kita berhubung isu ini, sama ada kita fikir bahawa ia adalah hak orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan Kristian atau ia adalah hak eksklusif orang Islam bagi menuntut pemilikan kalimah itu, kita perlu mengakui bahawa insiden itu menyebabkan perbalahan dalam sebuah negara yang berbilang agama,” katanya.

Muhyiddin berkata, ia hanya satu daripada beberapa contoh perbalahan yang timbul daripada pertikaian berhubung hak masyarakat beragama. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.