Pages

Subscribe:

09 Januari, 2010

[hang nadim]Malaysian Maverick buku yang bagus - Tun Mahathir


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, beliau telah membaca naskhah pruf buku Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times dan berpendapat ia adalah satu bacaan yang bagus untuk rakyat Malaysia.

Malah, beliau turut mengesyorkannya buku tulisan Barry Wain yang merupakan bekas editor Asian Wall Street Journal itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Katanya, dengan cara itu semua orang boleh mengetahui apakah pandangan Wain mengenai Malaysia, orang Melayu, UMNO dan diktator ulung contohnya Dr. Mahathir.

"Tiada negara yang lebih reput, tiada bangsa yang lebih perkauman dan tiada parti yang lebih rasuah daripada Malaysia, orang Melayu dan UMNO.

"Dan sudah pasti tiada Perdana Menteri yang paling menyalahgunakan kuasanya berbanding Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Betul-betul Malaysia perlu kembali menjadi koloni British," katanya sinis.

Dr. Mahathir berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk 'Suruhanjaya Diraja' yang disiarkan dalam blognya http://chedet.co.cc.

Dalam buku yang belum mendapat kebenaran untuk edaran di negara ini, Wain antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang kemudian mahu kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut dan ia dipersetujui Dr. Mahathir dengan syarat ia turut menyiasat pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan bagaimanapun sudah mengumumkan tidak akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kehilangan wang kerajaan sebanyak RM100 bilion dan apa yang dilakukan terhadap RM270 bilion yang diterima kerajaan sebelum ini daripada Petronas.

"Sekarang saya tidak dapat membersihkan nama saya, begitu juga Abdullah. Sudah pasti Wain amat gembira, dia boleh meneruskan fitnah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki dan tiada apa yang berlaku kepadanya.

"Dulu bila saya mengulangi kenyataan kepada akhbar mengenai penghakiman yang dibuat mahkamah berhubung kes Anwar, saya telah disaman RM100 juta, sekarang sudah lebih tiga tahun dan kes itu belum selesai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.