Pages

Subscribe:

07 Januari, 2010

[hang nadim]Muslim, mukmin, dan munafik

http://ummatanwasatan.net/?p=4208
Oleh MOHD YUSUF ABAS

(1) Muslim terbaik

Daripada Abdullah ibnu ‘Amrin, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Orang Muslim sebenar itu ialah mereka yang menyelamatkan orang Islam lain daripada bahaya lidah dan tangannya, dan orang Muhajir (yang berpindah) itu ialah mereka yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah.” (Riwayat Syaikhan)

Huraian

Hadis ini telah dicatat oleh Imam Muslim r.a dalam bab Islam seseorang, bilangan 50-51 dalam kitabnya yang terkenal itu. Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa orang Islam sejati itu ialah mereka yang menyelamatkan orang Islam lain daripada bahaya lidah dan tangannya. Kedua-dua anggotanya yang berbahaya itu dapat dikawalnya daripada menyakiti orang Islam lain.

Pengajaran

1. Orang Islam itu cantik dan selamat sama seperti namanya.

2. Dia akan mengawal lidah dan tangannya daripada mengganggu ketenteraman orang lain.

3. Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang menjauhi larangan Allah s.w.t.

4. Tujuannya semata-mata untuk mencapai keredaan Allah s.w.t.

5. Semua orang akan merasai senang dengannya.

Kesimpulan

Setiap Muslim itu bertanggungjawab mengawal lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain, dan sentiasa menjauhkan dirinya daripada segala larangan Allah s.w.t.

(1) Siapa mukmin?

Daripada Fadalah bin ‘Ubaid r.a, katanya, Rasululah s.a.w bersabda (bermaksud): “Apakah tidak pernah aku ceritakan kepada kamu mengenai mukmin yang sebenar? Orang mukmin itu ialah mereka yang dipercayai orang ramai (manusia seluruhnya) terhadap harta benda dan diri mereka.” (Riwayat Ahmad)

Huraian

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a dalam masnadnya dan dikira sahih - jangan mudah dituduh kepalsuannya kerana dikuatkan oleh hadis-hadis sahih melalui riwayat yang lain.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa orang mukmin yang sebenar itu ialah mereka yang boleh dipercayai dan beramanah terhadap harta benda dan jiwa raga orang lain.

Pengajaran

1. Sifat amanah adalah wajib diamalkan.

2. Setiap mukmin itu boleh diharap dan beramanah terhadap harta dan jiwa seluruh manusia.

3. Bukan (sebenar) mukmin, kiranya tidak bersifat amanah.

4. Mukmin sebenar dan sempurna imannya, tidak mengkhianati amanah yang dipertanggungjawab kepadanya.

5. Tidak sempurna iman mereka yang tidak beramanah.

Kesimpulan

Orang yang boleh diberi kepercayaan kepadanya, untuk menjaga harta benda dan diri serta jiwa raga seluruh manusia adalah orang benar-benar mukmin sahaja.

(3) Kenali orang ini

Daripada Abu Hurairah r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Untuk mengenali orang munafik itu ada tiga, iaitu apabila dia bercakap dia berbohong, dan apabila dia berjanji dia mungkiri, dan apabila dia diberi kepercayaan dia khianat dan tidak beramanah.” (Riwayat Bukhari)

Huraian

Hadis ini tercatat dalam kitab sahih Bukhari, bab 24, mengenai tanda-tanda orang munafik, bilangan hadis 25 dan kitab sahih Muslim pada bab iman, hadis bilangan 48.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menerangkan bahawa orang munafik itu dapat dikenali dengn beberapa tanda dan alamat, antaranya apabila bercakap tidak pernah benar dan apabila berjanji selalu mungkir, dan apabila diberi tugas dan tanggungjawab, dikhianatinya amanah tersebut. Demkianlah antara tanda-tanda sifat munafik dan bermuka-muka.

Pengajaran

1. Sifat munafik itu boleh dikenali.

2. Tiga tandanya yang besar.

3. Berdusta apabila bercakap.

4. Mungkir apabila berjanji.

5. Mengkhianati amanah apabila diserahkan sesuatu (tugas dan amanah) kepadanya.

6. Tiga sifat keji tersebut amat bertentangan dengan keimanan dan keikhlasan hati mukmin.

7. Apabila sifat keji tersebut lahir pada diri seseorang, maka keimanan akan keluar dari hatinya.

8. Keimanan dan nifak itu tidak akan bertemu pada satu masa dan tempat.

Kesimpulan

Sekiranya sifat keji tersebut didapati pada seseorang, maka dia dianggap tidak benar-benar beriman (munafik) sekalipun dia kelihatan bersembahyang atau berpuasa seperti orang Islam lainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.