Pages

Subscribe:

11 Januari, 2010

Malaysia-China meterai usahasama




Najib Tun Razak bersalaman dengan Presiden SGCC, Liu Zhenya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman diantara SGCC yang diwakili Du Zhigang (kiri) dengan 1MDB yang diwakili Sharol Halmi (dua dari kanan) di Menara IMC, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama (dari kiri) Nor Mohamed Yakcop, Abdul Taib Mahmud dan Che Lodin Wok Kamaruddin.

--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Sebuah syarikat tempatan akan bekerjasama dengan syarikat pengagihan elektrik dari China bagi mengenal pasti dan melaksanakan beberapa projek dianggar bernilai RM36.74 bilion di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan State Grid Corporation of China (SGCC) itu akan tertumpu dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerjasama antara kedua syarikat itu terjalin berikutan lawatan rasminya ke China pertengahan tahun lalu.

Beliau berkata, minat syarikat dari negara itu untuk melabur di negara ini semakin jelas sewaktu Presiden China, Hu Jintao melawat Malaysia pada November lalu.

"Sekarang, dalam masa yang singkat sahaja, 1MDB dan SGCC akan bekerjasama untuk mengenal pasti, merancang dan melaksanakan beberapa projek kerjasama bernilai puluhan bilion ringgit dalam SCORE.

"Saya difahamkan projek berkenaan mempunyai potensi bernilai RM36.74 bilion," katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat 1MDB, di sini hari ini.

Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama antara 1MDB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrol Halmi dan SGCC yang diwakili Ketua Ekonominya, Du Zhigang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin dan Presiden SGCC, Liu Zhenya.

Perdana Menteri berkata, kerjasama menang-menang itu adalah permulaan pembangunan projek pemangkin dalam SCORE yang akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Katanya, penglibatan SGCC dan pelaburan besarnya dalam SCORE juga akan menggalak dan meningkatkan hubungan ekonomi China-Malaysia, selain merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Sarawak dan negara ini.

"Ini akan membuka jalan kepada lebih banyak pelaburan besar dari China dan negara lain ke Malaysia.

"Saya percaya keyakinan SGCC di Sarawak akan mendorong keyakinan kepada Malaysia selaku destinasi pilihan pelabur antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan penggerak 1MDB supaya mendapatkan kepercayaan pelabur kerana ia lebih berkesan untuk menarik minat mereka berbanding menawarkan insentif fizikal.

Beliau berkata, ini kerana perlumbaan di antara negara untuk mengenepikan antara satu sama lain melalui potongan cukai, penyediaan lokasi strategik, bantuan logistik, tenaga kerja yang sesuai dan kestabilan politik adalah tidak berkesudahan.

"Pada hari ini, kepercayaan adalah yang paling utama dan ia hanya diperoleh apabila beberapa individu bekerjasama dan memahami tugas masing-masing serta memenuhi apa yang diamanahkan tanpa agenda tersembunyi.

"Saya percaya 1MDB telah membina kepercayaan yang mencukupi di kalangan rangkaian globalnya untuk mengukuhkan usaha sama bagi membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara," katanya.

Najib dalam ucapannya turut mengumumkan penubuhan Yayasan 1MDB dengan dana RM100 juta untuk melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat.

Katanya, dalam masa terdekat, yayasan itu akan mengumumkan beberapa inisiatif utama antaranya mempromosi peluang pendidikan yang saksama untuk merapatkan jurang sosio ekonomi bagi memenuhi aspirasi 1Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA ON LINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.