Oleh Rizanizam Abdul Hamid
pengarang@utusan.com.my
KEJAM... Mayat bayi perempuan dihurungi semut dijumpai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Melaka, semalam. – Utusan/GAIE UCHEL
MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa?
Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini.
Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa.
Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.
Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya.
Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah.
Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini.
Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.
Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.
Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.
“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini.
Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid.
Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.
“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.
Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.
“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Polis buru ibu bapa buang bayi
ALOR SETAR 10 Feb. - Polis melahirkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang seorang bayi perempuan di hadapan rumah pegawai polis di sini semalam.
Sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam dan perlu dikenakan tindakan tegas, pihak polis memberi jaminan akan memburu mereka yang terlibat dalam perbuatan itu segera.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah berkata, pembuangan bayi tidak sepatutnya berlaku tetapi semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
"Bayi itu dilahirkan dalam keadaan sempurna, sihat dan cukup sifat. Tetapi kenapa ada manusia yang tergamak membuangnya," katanya ketika diminta mengulas penemuan seorang bayi perempuan yang dibuang di hadapan rumah seorang pegawai polis di Taman PKNK di sini semalam.
Bayi perempuan yang baru dilahirkan itu ditemui di hadapan rumah Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Abdul Rauf Md. Johar.
Ketika ditemui, bayi itu lengkap berpakaian dan diselimuti dengan kain lampin berwarna putih.
Menurut Fiesal Libertus, pihaknya sedang berusaha mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta dalam tempoh beberapa hari lalu.
"Pada masa yang sama, kita turut mencari sumber maklumat lain supaya misteri di sebalik penemuan bayi ini dapat diketahui," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi Cawangan Siasatan Jenayah IPD Kota Setar bagi membantu siasatan.
ARKIB : 10/02/2010Bayi ditinggal depan rumah polis
ALOR SETAR 9 Feb. - Kes pembuangan bayi di negara ini bagaikan tiada kesudahan. Jika semalam, mayat seorang bayi perempuan ditemui ditanam di tepi parit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini seorang bayi yang masih hidup ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis.
Bayi perempuan yang masih sihat dan baru dilahirkan itu ditemui di hadapan pagar rumah Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Yan, Asisten Supritendan Abdul Rauf Md. Johar di Taman PKNK di sini.
Abdul Rauf terdengar tangisan bayi malang itu kira-kira pukul 6.25 pagi ini sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi memaklumkan mengenai penemuan berkenaan.
Ketika ditemui, bayi itu lengkap berpakaian dan diselimuti dengan kain lampin berwarna putih.
Utusan Malaysia difahamkan, bayi yang cukup sifat itu mempunyai kesan suntikan BCG di lengan kirinya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, bayi itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, bayi itu dilahirkan dalam tempoh antara 48 jam hingga 72 jam lalu sebelum ditemui dan mungkin secara kebetulan diletakkan di hadapan rumah Abdul Rauf.
"Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta," katanya di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan supaya menghubungi Cawangan Siasatan Jenayah IPD Kota Setar bagi membantu siasatan.
Buang bayi tindakan kejam
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Betul-betul kejam. Kalau tak nak, bagi saja pada kita! Demikian reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Saya bangun pagi tadi, terus baca tentang kes ini, ia betul-betul kejam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.
Shahrizat ditemui pemberita selepas melancarkan jurnal antarabangsa Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku sejak Isnin lalu apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.
Semalam, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.
Shahrizat berkata, kejadian-kejadian itu menjadi satu petunjuk yang amat membimbangkan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
“Ini menunjukkan masyarakat kita menghadapi tekanan. Sebab itu dalam hidup kita ini perlu ada keseimbangan. Kita lihat dulu perkara seperti ini tidak berlaku sekerap ini.
“Ini kerana dulu kita ada keluarga yang besar. Apa-apa terjadi pun bukan saja ibu bapa membantu, saudara-mara lain juga akan tolong. Tetapi kita lihat ia sudah tidak ada pada hari ini sebab struktur keluarga yang kian berkecai,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dan banyak lagi pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan wanita dan keluarga menyediakan bantuan kepada mereka yang tidak ada saluran lain untuk meminta pertolongan.
“Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Kalau tak mampu hendak menjaga anak yang baru dilahirkan bagi pada kita, kita boleh jaga. Tolong jangan buat macam ini. Rumah-rumah perlindungan kita juga banyak.
“Setidak-tidaknya datang berjumpa pemimpin tempatan, Wanita UMNO pun boleh kalau sudah tidak tahu ke mana hendak minta bantuan lagi,” katanya.
Ketua Wanita UMNO itu memberitahu pergerakan itu dan NGO mempunyai kaunselor yang boleh membantu mereka yang bermasalah.
“Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima,” tegasnya.
Apa yang penting bagi Shahrizat, perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi tidak boleh dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini.
Mengulas mengenai NIEW, Shahrizat berkata, pertubuhan itu akan menjadi penggerak kepada wanita di negara ini dan seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan dalam isu-isu wanita.
Katanya, NIEW juga diyakini dapat meningkatkan imej wanita terutama di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam segala hal.
“Kadang-kadang imej negatif terhadap wanita menjadi masalah kerana persepsi yang tidak dapat dihakis. Jadi NIEW perlu berusaha gigih untuk meningkatkan martabat wanita,” katanya.
Ali Rustam cadang mereka rujuk ke rumah kebajikan
MELAKA 11 Feb. - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan insiden penemuan mayat bayi perempuan di tepi pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, di sini awal pagi semalam sebagai amat mendukacitakan.
Beliau yang cukup kesal dengan kejadian tersebut menyifatkan mereka yang terlibat dalam perbuatan itu sebagai kejam dan tidak bertanggungjawab.
Sedangkan menurutnya, pelbagai cara lain boleh diambil bagi mengelak daripada melakukan perbuatan keji membuang bayi yang tidak berdosa itu.
''Saya berpendapat mereka yang ada masalah perlu berbincang dengan keluarga masing-masing, jangan ambil tindakan kejam ini dengan membuang bayi yang tidak berdosa.
''Jika bimbang keluarga tidak boleh terima, mereka boleh pergi ke rumah-rumah kebajikan untuk mengadu masalah," katanya selepas majlis prapelancaran Resort Taman Tema Air Melaka di sini hari ini.
Projek taman tema air yang menelan kos kira-kira RM45 juta itu dijangka beroperasi pada 15 April ini setelah kerja-kerja pembinaannya dimulakan sejak Ogos tahun lalu.
Sementara itu, polis hari ini mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada mayat bayi perempuan yang ditemui di pintu pagar Masjid Permatang Duyong di sini semalam.
Kecederaan yang dialami bayi malang itu dipercayai berpunca daripada kesan hentakan sewaktu dilahirkan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, kecederaan tersebut dikesan hasil bedah siasat terhadap mayat bayi tersebut.
"Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu polis,"ujarnya.
Ali Rustam cadang mereka rujuk ke rumah kebajikan
MELAKA 11 Feb. - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyifatkan insiden penemuan mayat bayi perempuan di tepi pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, di sini awal pagi semalam sebagai amat mendukacitakan.
Beliau yang cukup kesal dengan kejadian tersebut menyifatkan mereka yang terlibat dalam perbuatan itu sebagai kejam dan tidak bertanggungjawab.
Sedangkan menurutnya, pelbagai cara lain boleh diambil bagi mengelak daripada melakukan perbuatan keji membuang bayi yang tidak berdosa itu.
''Saya berpendapat mereka yang ada masalah perlu berbincang dengan keluarga masing-masing, jangan ambil tindakan kejam ini dengan membuang bayi yang tidak berdosa.
''Jika bimbang keluarga tidak boleh terima, mereka boleh pergi ke rumah-rumah kebajikan untuk mengadu masalah," katanya selepas majlis prapelancaran Resort Taman Tema Air Melaka di sini hari ini.
Projek taman tema air yang menelan kos kira-kira RM45 juta itu dijangka beroperasi pada 15 April ini setelah kerja-kerja pembinaannya dimulakan sejak Ogos tahun lalu.
Sementara itu, polis hari ini mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada mayat bayi perempuan yang ditemui di pintu pagar Masjid Permatang Duyong di sini semalam.
Kecederaan yang dialami bayi malang itu dipercayai berpunca daripada kesan hentakan sewaktu dilahirkan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, kecederaan tersebut dikesan hasil bedah siasat terhadap mayat bayi tersebut.
"Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu polis,"ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.