Pages

Subscribe:

26 Februari, 2010

[hang nadim] Muhasabah sambut Maulud Nabi


Nur Selawat- Tola'al Badru 'alaina
object width="425" height="344">

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini.

Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap baginda yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam.

Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibu bapanya, anak dan manusia keseluruhannya".

Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutuskan dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa olehnya.

Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.

Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAW pun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak.

Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa pada bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat dan gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semakin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman di khayalak ramai bahkan bersekedudukan seolah-olah menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam.

Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakkan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan gangguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan realiti kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih ke hadapan kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan.

Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa.

Ada pula yang mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personaliti dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Contohi kepimpinan Nabi MuhammadLOKMAN ISMAIL
Kota Bharu, Kelantan

KEPIMPINAN Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh. Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat sesuatu masalah.

Sekiranya pemimpin mudah hilang punca dan pertimbangan setiap kali berdepan dengan cabaran berat, banyak tindakan yang dilakukan tidak dapat dipastikan kesannya. Mereka mungkin sentiasa menukar perancangan dan pelaksanaan sesuatu perkara.

Perbincangan adalah satu amalan yang perlu diutamakan semasa merancang atau mengambil keputusan penting melibatkan rakyat yang mana setiap individu yang terlibat dalam urusan itu dapat memberi pendapat dan membuat keputusan bersama.

Rasulullah SAW sentiasa berlapang dada menerima pandangan para sahabat di mana baginda tidak memberi kata putus secara peribadi dalam hal melibatkan kepentingan rakyat. Pemimpin yang selalu berbincang menandakan mereka mempunyai sikap berlapang dada dan bersedia untuk ditegur.

Sesungguhnya tidak jatuh maruah pemimpin yang ditegur oleh orang bawahan. Sikap itu membawa rasa hormat rakyat terhadap pemimpin. Manusia tidak sempurna dalam semua hal dan memerlukan perbincangan atau pertolongan individu lain untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Peribadi unggul lain yang dimiliki Nabi Muhammad adalah sentiasa mengamalkan pergaulan mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membeza-bezakan antara sahabat dan sesiapa yang ditemuinya.

Apa yang jelas, Nabi Muhammad tidak mengamalkan protokol atau syarat untuk membolehkan seseorang menemui baginda. Sesiapa saja boleh menemui baginda untuk menyatakan sendiri sebarang hajat atau mengajukan apa-apa pertanyaan.

Rakyat tidak berasa kekok untuk menyampaikan sesuatu perkara dan berganding bahu dengan pemimpin yang mengamalkan pergaulan mesra untuk melakukan usaha ke arah kebaikan dan menghindar perkara buruk.

Semua rakyat berhak mendapat layanan sama adil daripada pemimpin tanpa membezakan penyokong setia atau kroni berbanding yang lain. Ini kerana baginda adalah pemimpin untuk seluruh umat manusia.

Pemimpin mesti mementingkan falsafah saling mempercayai seperti mana diamalkan oleh baginda yang tidak ragu-ragu tentang sebarang pengakuan atau janji yang diucapkan kepadanya. Baginda tidak mempunyai prejudis dengan membuat andaian tanpa alasan munasabah terhadap seseorang.

Hubungan kasih sayang dibina oleh Rasulullah SAW dengan semua orang menyebabkan baginda sentiasa disayangi. Baginda juga sentiasa mengutamakan pembinaan perasaan kasih sayang tanpa membeza-bezakan taraf seseorang.

Kepimpinan Nabi Muhammad bersifat sejagat yang tidak hanya untuk kelompok masyarakat tertentu sahaja. Sebab itulah, baginda amat menekankan agar tidak wujud amalan perkauman atau melebihkan sesuatu bangsa sahaja.

Sifat yang tidak hanya mementingkan sesuatu kaum amat penting diamalkan di negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti negara kita. Setiap kaum berhak menikmati kehidupan dengan harmoni, aman dan selamat dalam negara kita yang berkongsi pemerintahan.

Nabi Muhammad amat berpandangan jauh dalam setiap tindakan yang dilakukan. Baginda sentiasa mengingatkan sesuatu kemungkinan yang bakal ditempuh oleh umat baginda pada masa akan datang.

Justeru, biarpun baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, apa yang pernah baginda ucapkan menjadi kenyataan pada hari ini.

Pemimpin yang berpandangan jauh tidak hanya merancang sesuatu yang berlaku dalam tempoh masa terdekat atau sekadar beberapa tahun akan datang. Sebagai pemimpin yang berwawasan, apa yang difikirkan tidak untuk diri dan generasinya saja. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk generasi akan datang.

Tugas memimpin tidak sekadar menggunakan kebijaksanaan minda tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal yang mana setiap pemimpin terpaksa bergerak ke sana dan ke sini tanpa masa rehat yang cukup.

Sebab itulah, dalam sirah Rasulullah menceritakan mengenai kekuatan fizikal yang dimiliki baginda. Dengan kelebihan itu, baginda tidak menghadapi masalah untuk melakukan pelbagai jenis tugas, walaupun kelihatan berat untuk dilakukan orang lain.

Maulidur Rasul mengukuhkan perpaduan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

TERSENTAK hati dan rasa kesal kerana ada di kalangan umat Islam sendiri membuat kenyataan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai fadilat dan menyimpang. Setelah tradisi berjalan sekian lama, hanya sambutan kali ini menimbulkan kontroversi.

Lebih menyedihkan apabila mereka yang menggelarkan diri sebagai intelektual Islam pragmatik membenarkan diri menepis tradisi yang telah sekian lama berakar umbi itu.

Tidakkah mereka yang menentang sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW pada hari ini sedar, cara itu akan meningkatkan semangat setiap orang Islam untuk merujuk kepada wawasan Islam dan petunjuk yang ditinggalkan oleh baginda? Dengan mengingati kelahirannya, umat Islam akan kembali mengimbau bagaimana seorang anak yatim yang berhati mulia telah berjaya memimpin umat sehingga menjadikan Islam sebagai agama penuh rahmat?

Dengan mengingati ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, kita akan menilai kembali apakah selama ini kita telah berbuat sesuatu yang betul sebagaimana diteladani oleh baginda? Ini akan memberikan kita keinsafan, bahawa rentang sejarah yang bakal kita lalui nanti akan dipenuhi dengan langkah penuh keinsafan, berpedoman dan perasaan rendah diri atas teladan yang ditinggalkan.

Maulidur Rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya. Allah sendiri memuliakan Nabi, maka adalah sunat bagi umat Islam meraikan hari kelahiran baginda. Kalau ada yang mengatakan bahawa perayaan Maulud Nabi merupakan satu perbuatan bid'ah maka bid'ah yang kita lakukan itu adalah untuk menunjukkan rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah SAW. Biar orang tahu bahawa pelaku bid'ah itu mencintai Nabi. Di samping lambang penyatuan umat, ia adalah sesuatu yang memang dianjurkan oleh Islam.

Kenapa kita terlalu mencintai Rasulullah SAW? Apakah yang akan terjadi apabila hati sangat terpaut dengan seseorang yang kita cintai? Pertama, sudah tentu perilaku kita (fikiran, perasaan dan tindakan) akan sangat dipengaruhi oleh apa dan siapa yang kita cintai. Kedua, jika kita mencintai seseorang, sudah tentu kita akan berusaha untuk berperilaku seperti orang itu.

Mencintai Rasulullah SAW pasti akan menjadi paksi seluruh kehidupan kita. Di mana sahaja orang membicarakan tentang kemuliaan Nabi SAW, kita juga akan bersama menghayati sejarah hidupnya dan sunahnya. Kita akan menggabungkan diri dengan orang-orang yang mencintainya. Sudah tentu kita akan berasa bahagia ketika menyaksikan orang yang memuliakan baginda, sebaliknya menjadi amat kecewa apabila ada yang cuba mencaci dan memperlekehkan baginda.

Pada hakikatnya, meneladani perilaku Nabi Muhammad tidak dapat direalisasikan hanya dengan mempelajarinya. Kita harus memasukkan cinta kepada baginda terlebih dahulu ke lubuk hati dengan rasa insaf dan rendah diri. Setelah rasa cinta tertanam, maka dengan mudah ia akan membangkitkan nikmat dan rahmat dalam setiap tindakan kita dan dengan semangat itulah, ia akan membangkitkan gerakan kita untuk meneladani Rasulullah SAW.

Mencintai Rasulullah SAW menjadi satu keharusan dalam iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta kepada Nabi Muhammad. Idealnya, kita akan mencintai baginda lebih daripada segala sesuatu yang lain, bahkan diri sendiri. Justeru, hari kelahirannya dikira 'hari Allah' yang bersejarah dalam agama Allah dan diperintahkan untuk memperingatinya seperti mana Firman-Nya yang bermaksud: "...dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah (peristiwa agama yang bersejarah bagi suatu ummah)." (maksud Surah Ibrahim: 5)

Bagi umat Islam hari ini, tiada suatu nikmat lain yang lebih besar daripada kelahiran dan kedatangan junjungan besar Rasulullah SAW ke alam maya ini.Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk alam semesta.

Acara sambutan ini pernah diadakan oleh penduduk Madinah sewaktu menyambut ketibaan Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya. Mereka beramai-ramai berarak mengalu-alukan kehadiran baginda.

Soalnya, apakah nikmat kedatangan utusan Allah SWT itu dinilai begitu remeh dan hina sekali? Menolak usaha memperingati kehadiran insan mulia ini sebenarnya adalah satu usaha memecahbelahkan perpaduan umat dan sesungguhnya ia adalah satu sikap politik yang terlalu sempit dan jumud.

Perlu difahami walau bagaimana tinggi sanjungan dan selawat yang dipersembahkan kita sebagai umatnya, selama-lamanya pun tidak dapat menandingi jasa dan kelebihan rahmat dan petunjuknya kepada kita. Sebab itulah, kita disuruh sentiasa berselawat dan mengucap selamat kepadanya untuk kebaikan kita sendiri

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Elak perpecahan demi negara

Oleh SUZALIE MOHAMAD

GAGASAN 1Malaysia adalah kesinambungan daripada agenda perjuangan negarawan terdahulu demi melihat Malaysia mencapai status negara maju dan aman. Status yang hendak dicapai itu adalah berlandaskan acuan sendiri yang membezakan pendekatan asimilasi seperti mana dilaksanakan di kebanyakan negara-negara maju lain yang mana identiti kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan identiti nasional yang sama. Melenyapkan dan menggantikan etnik bukan pendekatan gagasan 1Malaysia.

Prinsip utama gagasan itu adalah memanfaatkan keunikan kepelbagaian kaum sebagai satu kekuatan yang menjana pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus memahami hasrat pendekatan itu supaya keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai. Hanya apabila setiap rakyat dari latar belakang kaum, agama dan fahaman yang pelbagai bersatu padu, barulah Malaysia akan terus maju dan aman.

Gagasan itu bertujuan membudayakan rakyat bersikap menerima seadanya keunikan kepelbagaian kaum agar dapat hidup bersama dan saling hormat menghormati. 1Malaysia adalah pendekatan serampang dua mata untuk memberi keadilan sosial kepada semua lapisan kaum dan juga pemantapan negara dan bangsa. Melalui strategi itu, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengutamakan kepentingan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasa terpinggir.

Dokumen rasmi 1Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa 1Malaysia adalah satu wadah untuk meneruskan agenda membina negara seperti mana yang telah dipelopori oleh pemimpin terdahulu. Demi pembinaan negara bangsa, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Hanya dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, barulah ia boleh membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan lancar. Perkara itu ditegaskan dalam surah Al-Imran, ayat 103 bahawa perpaduan itu adalah satu anugerah besar daripada Allah SWT yang sewajarnya dimanfaatkan manusia. Dalam ayat itu, kita dilarang memecahbelahkan masyarakat yang boleh membawa kepada permusuhan. Pengajaran daripada ayat itu boleh kita kaitkan dalam konteks 1Malaysia iaitu kita hendaklah berpegang teguh kepada prinsip hidup secara berjemaah dan mendukung agenda perpaduan serta pembangunan negara. Kita hanya boleh hidup secara berjemaah apabila kita bersatu padu. Apabila hidup bersatu padu dapat dijalinkan, maka pecah belah dapat dielakkan, paling tidak melalui perundingan, bukannya pergaduhan.

Perpecahan, permusuhan dan benci membenci sungguh merugikan negara dan bangsa. Sejarah silam telah menunjukkan bagaimana sebuah negara itu musnah dan tergadai akibat perpecahan dan perselisihan rakyatnya.

Menurut beliau, ahlul kitab Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah berpecah dan berselisih faham kerana tersasar daripada menegakkan pangkal kefahaman tentang keesaan Allah sehinggalah tercetus perselisihan penafsiran di antara mereka tentang Allah.

Dalam dunia Kristian, perselisihan itu telah memecahbelahkan mereka tentang Nabi Isa AS kerana ada golongan yang mempertahankan bahawa Nabi Isa AS itu hanyalah manusia yang mulia, Rasul Allah dan dia bukan Tuhan. Tuhan hanya satu iaitu Allah. Di samping itu, timbul pula fahaman bahawa Isa itu sendiri Allah, yang menjelmakan diri menjadi anak, lalu datang ke dunia. Kerana perbezaan fahaman itulah, maka perpecahan gereja berlaku antara gereja Inggeris dan gereja Katholik di Britain.

Kekuatan negara menjadi lemah akibat perpecahan rakyat dan boleh mengundang musuh luar mengambil peluang daripada kelemahan itu. Sejarah silam telah menceritakan bagaimana perebutan kuasa antara Bani Abbas (Khalifah Abbasiyah) dan Bani Umayyah (Khalifah Umayyah) telah menyebabkan kerugian jiwa dan kehancuran sebuah Khalifah Islam.

Perpecahan itu telah menyebabkan tentera Tartar dan Mongol di bawah pimpinan Hulako menawan kota Baghdad. Begitu juga halnya peristiwa pertumpahan darah kerana perselisihan perkara dunia dan perebutan kuasa antara Saidina Ali dan Mu'awiyyah di medan perang Siffin menyebabkan 35,000 tentera Ali menemui ajal manakala tentera Mu'awiyyah, 45,000 orang. Inilah beberapa akibat perpecahan dan perselisihan yang boleh mengundang kehancuran yang dapat dijadikan pengajaran.

Gagasan 1Malaysia adalah selaras dengan tuntutan agama Islam. Hasrat murni 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', adalah hasrat yang bagus bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat. Mengutamakan kepentingan rakyat dalam urusan pemerintahan telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa Baginda mendirikan kerajaan awal Islam di Madinah.

Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi dengan memeteraikan perjanjian yang meletakkan asas penjagaan dan kepentingan rakyat sebagai satu kewajipan yang diutamakan. Penelitian dalam sirah Rasulullah mendapati bahawa Nabi Muhammad SAW lebih mementingkan umat daripada diri sendiri, kaum kerabat dan para sahabatnya.

Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, semasa menyampaikan pandangan beliau pada Syarahan Perdana bertajuk 'Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menuju Gagasan 1Malaysia' menyatakan bahawa strategi membina semangat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia adalah terjemahan daripada pendekatan Islam. Beliau menegaskan bahawa faktor agama adalah pemangkin sebenar realiti ke arah pencapaian gagasan 1Malaysia. Sekiranya penghayatan kepada pengurusan agama dibuat dengan baik, maka politik, ekonomi dan perpaduan akan bertambah mantap. Oleh itu, menurut beliau pemahaman mengenai gagasan 1Malaysia penting kerana jika tidak dijelaskan dengan betul, akan ada takrifan tertentu yang boleh membawa kepada pemahaman salah.

Selain selaras dengan kehendak Islam, gagasan 1Malaysia juga seiring dengan Wawasan 2020. 1Malaysia akan merealisasikan setiap cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 sekali gus meletakkan teras perpaduan rakyat sebagai landasan kemajuan dan keamanan negara. Intipati gagasan itu merupakan satu nilai murni yang dituntut dalam agama Islam.

Sebanyak tiga cabang akan diterapkan ke dalam amalan kemasyarakatan dan perlu dihayati oleh setiap rakyat iaitu penerimaan, mendukung prinsip kenegaraan dan keadilan sosial. Ketiga-ketiga teras itu amat penting kerana ia akan memastikan rakyat dapat bersama-sama pemerintah merealisasikan kesemua rancangan pembangunan demi kepentingan rakyat dan negara.

Seiring dengan pelaksanaan teras itu dalam amalan kerajaan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, rendah hati (tawaduk), kesederhanaan, dan berbudi bahasa akan dibudayakan dalam hubungan antara rakyat dan pemerintah.

Keutamaan akan diberikan kepada semua lapisan rakyat tanpa meminggirkan tahap prestasi dan kualiti penyampai perkhidmatan di pihak kerajaan. Aspek-aspek seperti perpaduan, kualiti, kepentingan rakyat, kemajuan, keamanan negara, masyarakat beretika dan berpegang kepada agama, kesemuanya terkandung di dalam gagasan itu yang selaras dengan ajaran dan tuntutan Islam.

Penulis ialah Fellow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Bergerak seiring zaman

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my\


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang diiringi Muhyiddin Yassin dan Jamil Khir Baharom ketika melancarkan Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.

PUTRAJAYA 26 Feb. - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, umat Islam perlu sentiasa bersedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.

Titah baginda, sikap sambil lewa, membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati.

Bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 di sini, baginda mahu al-Quran dan as-Sunnah dijadikan panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangunkan ummah yang mapan dan berjaya.

"Hanya melalui pengamalan ajaran Islam sebenar akan memperlihatkan keindahan, kehebatan dan keunggulan syariatnya.

"Sebaliknya, segala kelebihan itu akan terus terpendam jika umat Islam masih bertelagah sesama sendiri dan mengabaikan ajarannya.

"Lantaran itu, bersempena dengan hari bersejarah ini, kukuhkan persaudaraan, binalah perpaduan dan tingkatkan pencapaian agar kita terus menjadi umat yang terbilang," titah baginda pada majlis yang berlangsung di Dewan Solat Utama, Masjid Putra pagi ini.

Turut berangkat Tuanku Haminah Hamidun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir berserta isteri masing-masing pada sambutan bertemakan 'Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah' tersebut.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tanpa menghayati ajaran Islam sebenar, baginda yakin umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh, bahkan akan terus dihina dan diperlekeh.

"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah, akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

"Malahan, lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," titah baginda.

Lantaran itu, baginda mahu umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan kembali mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam kehidupan agar benar-benar menjadi umat dan mukmin yang hebat.

Titah baginda tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangunkan ummah.

Pakar ubi Tokoh Maulidur Rasul

PUTRAJAYA 26 Feb. - Dr. Tan Swee Lian dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan hasil sumbangannya dalam penyelidikan ubi.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembiakbakaan khususnya mengenai ubi kayu dan ubi keledek menerima anugerah berprestij tersebut daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Swee Lian berkata, beliau terharu kerana terpilih sebagai pemenang anugerah walaupun dirinya bukan Islam.

"Inilah semangat 1Malaysia di mana semua rakyat yang berjasa kepada negara tidak mengira kaumnya akan mendapat pengiktirafan.

"Saya ingin berkongsi kejayaan ini dengan semua warga MARDI, saya tidak mungkin mendapat anugerah ini tanpa sokongan dan kepercayaan daripada rakan-rakan sekerja yang lain," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul di Masjid Putra di sini hari ini.

Swee Lian berkata, beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penyelidikan tumbuh-tumbuhan dan berjaya mendapat hak milik intelektual untuk lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek.

"Selain menyelidik ubi, saya juga membuat kajian mengenai daun manis yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada gula," katanya.

Seorang lagi Tokoh Maulidur Rasul, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, beliau tidak menyangka sumbangannya melalui pembabitan ceramah agama mendapat pengiktirafan.

"Saya melihat diri ini sebagai tidak mempunyai kelebihan berbanding orang lain, saya ucapkan terima kasih kerana ada orang yang menilai usaha saya.

"Saya tiada keistimewaan, cuma saya menerima undangan untuk memberi ceramah di seluruh Malaysia dan juga di luar negara," katanya.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Yaacob Che Man dari Universiti Putra Malaysia dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul atas jasanya dalam pembangunan industri halal negara.

"Ini merupakan penghormatan yang besar, pihak penganjur menghargai usaha saya dalam membangunkan industri halal terutamanya dalam memastikan logo halal Malaysia berwibawa tinggi dan dihormati dunia.

"Ini selari dengan usaha kerajaan untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat rujukan halal dunia," katanya.

'Pengertian cukup besar buat saya'
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my


MAHMOOD Zuhdi Ab. Majid (tiga dari kanan) bersama enam penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain, (dari kanan) Dr. Tan Swee Lian, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik, Datuk Hassan Din Al-Hafiz, Faiza Bayumi Syed Ahmad, Profesor Dr. Yaacob Che Man dan bapa kepada Nik Nur Madiha, Nik Mohd. Kamel Husin pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 26 Feb. - Pengiktirafan Tokoh Maulidur Rasul kepada ahli akademik Islam, Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi pengertian cukup besar dalam usaha membawa masyarakat menghayati ajaran Islam sebenar.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Dekan di Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) bersyukur dengan penilaian tertinggi kerajaan itu sekali gus membuktikan masyarakat menerima sumbangannya dalam menterjemahkan prinsip Islam.

"Saya merasakan diri saya tidak layak berbanding mereka yang lebih berdedikasi dan berbakti kepada agama dan bangsa.

"Apa pun saya bersyukur kerana ia membuktikan masyarakat boleh menerima bakti yang kita berikan, bukan atas soal peribadi saya yang dirasakan untuk menjadi asas penilaian," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima Anugerah Perdana Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 di sini hari ini.

Anugerah berupa hadiah wang tunai RM50,000 beserta sijil tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu,adzam Shah.

Kepakaran Mahmood Zuhdi dalam Islam banyak diterjemahkan dalam bentuk penulisan yang sehingga kini menerbitkan 25 buah buku, 11 jurnal dan 140 artikel merangkumi pelbagai aspek seperti Fiqh halal dan haram, ibadat dan muamalat.

Selain pendidik, beliau juga merupakan pakar motivasi dan ahli pemikir falsafah. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Metodologi Penyelidikan Syariah, Perbezaan Perundangan Islam dan Perundangan Islam Kontemporari.

Sementara itu, pelajar yang pernah menggemparkan negara dengan memperoleh keputusan cemerlang 21 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu, Nik Nur Madiha Nik Mohd. Kamal, 20, turut menerima Anugerah tokoh Maulidur Rasul kali ini.

Semangat beliau untuk berjaya walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan memberi sinar dan harapan kepada anak pasangan nelayan dan pencuci di Universiti Malaysia Kelantan.

Nik Nur Madiha tidak hadir ke majlis anugerah tersebut tetapi diwakili oleh ibu bapanya, Mariani Omar dan Nik Mohd. Kamal Husin.

Menurut Mariani, anak sulungnya itu menitiskan air mata kegembiraan setelah mendapat tahu dinobatkan sebagai penerima anugerah.

"Semalam baru dia dapat tahu dia dianugerahkan. Dia memberitahu penganugerahan ini merupakan satu cabaran yang perlu diharungi lebih kuat memandangkan masyarakat sudah memberi kepercayaan kepadanya," katanya.

Nik Mohd. Kamal pula berkata: "Ia juga menjadi satu dorongan kepada orang lain supaya dapat memberi kegembiraan kepada keluarga mereka sebagaimana Madiha berikan."

Nik Nur Madiha kini menuntut di Universiti Jash Irbid, Jordan dalam bidang Sains Fizik.

Seorang lagi tokoh, usahawan beras terkenal Herba Ponni Taj Mahal, Faiza Bayumi Syed Ahmad, 68, turut diiktiraf atas sumbangan beliau secara aktif membantu masyarakat dalam kesusahan.

Syarikat Faiza Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 1992 kini mempunyai lebih 21 jenama beras selain mengeluarkan berbagai-bagai jenis rempah.


Pemimpin Islam jadi 'balaci'
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan pemimpin Islam yang bersetuju dengan cubaan pihak tertentu membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebagai "bajingan" serta "balaci" yang rela dicucuk hidung seperti lembu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak mana yang cuba membatalkan sambutan itu dan mereka yang dimaksudkannya sebagai bajingan tersebut.

Katanya, pemimpin Islam seperti itu umpama lalang yang akan mengikut segala rentak yang dimainkan oleh pihak yang cuba membatalkan sambutan yang menjadi syiar bagi umat Islam di negara ini.

"Dan yang paling malang, ada di kalangan kita yang bersedia menjadi bajingan dan balaci mereka, menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung.

"Bila kafir ini meniup ke kiri, maka terkinja-kinjalah kita berjoget ke kiri. Bila mereka menghembus ke kanan, maka terkial-kiallah kita berzapin ke kanan," katanya sewaktu membacakan khutbah sembahyang Jumaat, semalam.

Entri bertajuk "Khutbah Maulidur Rasul" itu turut dimasukkan dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali mengenai pembatalan perarakan sempena Maulidur Rasul oleh kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, selepas dikritik hebat dan bimbang kehilangan sokongan orang Melayu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat keputusan untuk mengadakan perarakan tersebut mengikut program asal sebelum ia dibatalkan.

Malah, Guan Eng menafikan perarakan itu dibatalkan dan menuduh Utusan Malaysia berbohong dan membuat fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Tambah Zulkifli, penghinaan itu berlaku kerana penyakit 'wahan' (cintakan dunia dan takutkan mati) apabila pemimpin Islam terbabit terlalu sayangkan kedudukan, jawatan dan habuan.

"Kita mengenepikan semua prinsip dan matlamat perjuangan demi mengejar impian keduniaan dan kerusi empuk kekuasaan.

"Hingga kita sampai mempertuhankan politik dan demokrasi. Kita takut kedudukan, jawatan dan habuan kita itu mati dan hilang.

"Maka hari ini kita menjadi umat yang hina di mana-mana sahaja kita berada. Yang tinggal hanya sejemput janggut dan senipis serban, kita hanya muncul Islam pada nama, tetapi tong kosong di dalam," katanya.

Jelas Zulkifli, kesatuan umat Islam bukannya bersandarkan kepada nasionalisme; assabiyah puak, kumpulan atau pertubuhan tetapi kekuatannya berpunca daripada pegangan kukuh kepada al-Quran.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.