23 Februari, 2010
[hang nadim]menyesal lari ke Lombok
Pelakon remaja mohon maaf, menyesal lari ke Lombok
SEPANG: "Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin," kata pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella yang kembali ke tanah air semalam selepas tujuh bulan dilaporkan dilarikan ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia.
Pelakon yang membintangi beberapa drama tempatan termasuk Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis itu, berkata perbuatannya menyusahkan keluarga.
Bella yang kini mengandung lima bulan, tidak dapat menahan sebak sebaik disambut bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, yang membesarkannya sejak sembilan tahun lalu selepas kematian ibunya. Pertemuan penuh emosi itu turut disertai kakak Bella, Faridah, 50.
"Saya gembira dapat jumpa ayah dan keluarga, tetapi sedih kerana suami tidak dapat (pulang) bersama ke Malaysia," katanya kepada pemberita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini dengan menaiki pesawat AirAsia dari Surabaya, petang semalam.
Bella dilaporkan dilarikan seorang lelaki berasal dari Lombok, Hafiz Sukma, 26, pada 7 Ogos lalu sebelum dipaksa berkahwin dengannya. Bapanya membuat laporan polis pada hari sama selepas Bella yang keluar dengan berpakaian sekolah tidak pulang ke rumah.
Pelakon remaja itu berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan pelajaran selepas melahirkan anaknya.
Sementara itu, Yunan yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, berkata tiada apa yang lebih menggembirakannya, selain dapat bertemu semula dengan Bella.
"Saya memaafkan Bella sejak dia meninggalkan rumah, tapi saya minta jangan diulangi lagi. Tiada apa yang saya nak ucapkan hanya dengan air mata gembira... saya tidak sangka dapat jumpa anak saya, jadi saya berterima kasih kepada semua pihak yang membawa anak saya kembali ke pangkuan saya," katanya.
Yunan berkata, beliau tetap akan menerima anak hasil perkahwinan Bella dengan suaminya itu, walaupun pernikahan mereka tidak berwalikannya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata kes Bella yang dianggap sebagai eksploitasi terhadap kanak-kanak, diharap menjadi pengajaran kepada gadis bawah umur yang lain.
Beliau berkata, di negara ini, kanak-kanak seperti Bella dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
ANAKANDA YANG DI KASIHI....
Fikirkanlah wahai anakanda ayah Bonda sangat sayang pada anakanda mereka akan kecewa jika anakanda tidak dengar nasihat mereka..... patuhilah kepada ayah dan ibu mereka akan membagiakan hidup anakanda jangan ambil tindakan terburu buru sabar itu sebahagian dari iman FIKIAQ.....SEDAQ....SABAQ,,,
Gadis ikut kekasih nyaris meringkuk di penjara
Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
Muhammad Khairun Aseh dan Salsabila Yunan di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang, semalam. - Utusan/ZAKI AMIRUDDIN
SEPANG 23 Feb. - Hanya kerana mengikut kata hati, pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella mungkin terpaksa meringkuk dalam penjara di negara jiran.
Bagaimanapun, nasib masih menyebelahinya kerana Bella yang melarikan diri mengikut kekasih ke Lombok, Indonesia berjaya dibebaskan.
Sebelum dibebaskan, Bella yang pernah berlakon dalam drama Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis ini sebenarnya telah ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana kesalahan memasuki negara itu secara haram.
Jika didakwa dan sabit kesalahan, Bella yang mengaku menjadi suri rumah sepanjang enam bulan di Indonesia boleh dipenjarakan selama enam tahun dan didenda Rp30 juta (RM11,100) atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, atas usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dan pihak Imigresen Indonesia, membolehkan remaja ini dibebas dan dibenarkan pulang ke Malaysia.
Bella yang ditemui di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, hari ini berkata, dia gembira kerana dapat berjumpa semula dengan keluarganya tetapi agak sedih sebab suaminya tidak dapat ikut bersama.
Katanya, dia gembira kerana dapat berjumpa semula dengan ayahnya, Yunan Mat Ayat, 77, yang telah membesarkannya selepas kematian ibunya sejak sembilan tahun lalu.
"Tetapi agak sedih sikit, suami saya tidak dapat ikut sekali sebab saya sudah hamil hampir enam bulan. Kalau ada suami, saya lagi senang dan seronok.
"Bagaimanapun, saya minta maaf banyak-banyak kepada ayah kerana meninggalkan keluarga dan menikah tanpa mendapat izin daripada keluarga sendiri," katanya yang berulang kali menyebut tentang suaminya.
Bella dikatakan dilarikan Hafiz Sukma, 26, ke Lombok pada 7 Ogos lalu sebelum dipercayai telah dipaksa bernikah dengannya.
Bapanya membuat laporan polis pada hari sama selepas Bella yang keluar dengan berpakaian sekolah tidak pulang ke rumah.
Bella yang tiba pada pukul 5 petang tidak dapat menahan air mata apabila melihat kelibat ayahnya dan kakaknya, Farida Yunan, 50, dan mereka dilihat saling berpelukan dengan diiringi air mata gembira.
Sementara itu, Yunan tidak menyangka akan berpeluang berjumpa semula dengan anaknya, lebih-lebih lagi apabila beliau sudah tua dan keadaan kesihatan yang tidak menentu.
Beliau berkata, dirinya sering tidak lena tidur kerana memikirkan keadaan anaknya itu, terutamanya setelah mendengar pelbagai berita mengenai kesusahan kehidupan di sana.
"Marah memang marah kerana tindakannya itu tapi saya dah maafkan anak saya dan minta dia jangan ulangi kesilapannya lagi.
"Kejadian yang menimpa Bella itu juga wajar diambil perhatian dan dijadikan pengajaran oleh remaja dan ibu bapa lain, terutama ibu atau bapa tunggal agar lebih mengawasi anak mereka," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh menganggap kes itu sebagai kes eksploitasi memandangkan Bella baru berumur 15 tahun dan masih tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Ibu rayu anak 'pengarah filem' pulangkan anaknya
Rosmah Abdul Rahman menunjukkan tujuh salinan laporan polis di rumahnya di Gombak, semalam.
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Seorang ibu merayu anak gadisnya berusia 17 tahun yang melarikan diri sejak sebulan lalu bersama pemuda menyamar sebagai anak seorang pengarah filem terkenal, supaya pulang ke pangkuan keluarga segera.
Rosmah Abdul Rahman, 60, yang sedang menderita sakit lutut terlalu merindui anak bongsunya itu daripada empat beradik, Saidatun Munirah Mohd. Salleh atau lebih mesra dipanggil Murni.
Menurutnya, malah dia dan keluarga sering terkenangkan Murni terutamanya apabila memikirkan tentang keadaan diri anaknya itu.
Beliau berkata, Murni dipercayai melarikan diri bersama teman lelakinya itu yang dikenali sebagai Mat Yusuf Nasarudin, 24.
"Pemuda itu mengaku anak pengarah filem. Sebelum ini, kami tidak pernah tahu mengenai percintaan mereka dan terkejut apabila dia menghilangkan diri.
"Kalau ada salah atau silap, mak ampunkan dan harap sangat dapat jumpa Murni semula," katanya sambil menangis ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Jalan Sungai Mulia, Gombak, dekat sini hari ini.
Rosmah turut ditemani seorang lagi anak perempuannya, Saidatul Halimatusaadiah, 25, dan anak angkat lelakinya, Azmil Jasmani, 23.
Suri rumah itu memberitahu, sebelum kehilangan Murni, anaknya keluar rumah bersama kakaknya untuk bekerja di sebuah restoran sama.
"Itulah kali terakhir iaitu 24 Januari lalu, kira-kira pukul 11 pagi, saya melihatnya. Kakaknya juga mendapati Murni sudah menghilangkan diri dari tempat kerja pada pukul 8.30 malam," katanya.
Rosmah memberitahu, keluarganya pernah menangkap Mat Yusuf dan menyerahkan kepada polis kerana bimbang lelaki itu menganggu anaknya.
Katanya, namun pihak berkuasa melepaskan semula lelaki tersebut.
"Kami sekeluarga sudah membuat tujuh laporan di Balai Polis Gombak dan Sentul namun tiada tindakan diambil dan mereka kini sudah malas untuk membuat laporan lagi," katanya.
Sehubungan itu, Rosmah merayu agar mana-mana pihak yang mengetahui mengenai Murni supaya menghubungi ahli keluarganya menerusi telefon 017-7876364 atau 012-2460287.
TERKINI
Satu lagi episod ”cinta Lombok” selesai
17/03/2010 6:51pm
KULIM – Episod ”cinta Lombok” sekali lagi diselesaikan oleh Biro Pengaduan Pemuda UMNO yang membawa pulang Rosnah Abu Bakar ke pangkuan keluarganya di sini setelah lebih tiga tahun mengikuti kekasihnya ke daerah Indonesia itu.
Rosnah, 20, tiba bersama anak perempuan berusia 14 bulan petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dan disambut oleh ayahnya Abu Bakar Aziz.
Rosnah, yang diiringi bapanya kemudian menaiki bas dari Shah Alam untuk pulang ke rumah mereka di Taman Sungai Dingin di sini pada 5 pagi tadi dan kepulangannya disambut dengan linangan air mata oleh ibunya Sombi Md. Isa, 41, dan lima adiknya.
Anak sulung dari enam beradik itu melarikan diri setelah dihalang oleh keluarganya berkahwin dengan kekasihnya, seorang pemuda Lombok pada 2007.
Ketika ditemui hari ini, Rosnah yang kelihatan dalam keadaan ”ingat-ingat lupa”, enggan menceritakan kisahnya mengikuti pemuda Lombok bernama Salihin @ Suherman, 25, sehingga mereka berkahwin.
Abu Bakar pula berkata, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Mahang, Kulim dan di Balai Polis Sepang, Selangor selepas Rosnah didapati hilang pada Jun 2007.
"Kami ahli keluarga termasuk teman-teman Rosnah berusaha menjejakinya di Perak, Selangor, Melaka dan Johor tetapi tidak berhasil sehingga anak saya menelefon saya pada 2008 dan meminta bantuan kewangan kerana suaminya masih menganggur dan keluarga mertuanya miskin, katanya.
Abu Bakar, mandur sebuah ladang kelapa sawit di sini, berterima kasih kepada UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, terutama ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda bahagian itu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail kerana mengambil inisiatif membawa pulang Rosnah. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.