Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
2010/02/22 JELI: Malang bagi seorang warga emas yang maut akibat dibelasah sekumpulan penduduk kampung yang berang dengan tindakannya membawa seorang pelajar perempuan tingkatan empat bersiar-siar di pusat perkelahan Lata Renyok, Jalan Kuala Balah di sini, kelmarin.
Kejadian jam 9 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 63 tahun membawa pelajar berumur 16 tahun terbabit bersiar-siar menaiki van miliknya di pusat rekreasi berkenaan.
Bagaimanapun, tanpa disedari mangsa, van dipandunya diekori sekumpulan penduduk kampung menaiki beberapa kereta hingga ke pusat rekreasi berkenaan.
Mangsa yang sedang memusingkan kenderaannya untuk berpatah balik ke jalan utama ditarik penduduk kampung sebelum dibelasah beramai-ramai menyebabkan kepala dan lututnya cedera parah.
Difahamkan, selepas kejadian, mangsa dihantar pulang ke rumah isterinya di Kampung Lakota, dekat sini, oleh kumpulan lelaki yang memukulnya.
Dia yang cedera parah kemudian menghubungi polis menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan bantuan menghantarnya ke Hospital Jeli, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Tinjauan Harian Metro di kawasan kejadian mendapati beberapa anggota polis daripada Unit Forensik melakukan siasatan di lokasi terbabit selain memasang tali penghadang di situ.
Sementara itu, pelajar perempuan yang mengikut warga emas itu bersiar-siar di pusat rekreasi Lata Renyok, turut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk memberikan keterangan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata sebelum kejadian mangsa didakwa membawa keluar pelajar terbabit membeli-belah di Tanah Merah, kelmarin.
“Siasatan mendapati mangsa berusia 63 tahun membawa seorang pelajar perempuan tingkatan empat membeli-belah di Tanah Merah menggunakan van miliknya, kira-kira jam 6 petang, semalam (kelmarin).
“Berikutan itu, rakannya memberitahu penduduk kampung sebelum beberapa kenderaan mengekori pergerakan mereka berdua hingga ke pusat perkelahan Lata Renyok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahim, mangsa ditarik keluar penduduk kampung ketika memusingkan kenderaan dipandunya untuk kembali ke jalan utama sebelum dibelasah.
“Sebaik ditarik keluar, mangsa dicederakan penduduk kampung. Mangsa dihantar pulang ke rumahnya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang cedera teruk di muka dan lutut disahkan meninggal dunia jam 1 pagi tadi (semalam),” katanya.
Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Jeli untuk bedah siasat.
“Berikutan kejadian menimpa warga emas terbabit yang juga seorang (pengusaha) prebet (teksi) sapu, polis menahan 15 individu yang disyaki terbabit mencederakan mangsa untuk membantu siasatan.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut mengesahkan menerima laporan terbabit.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian menimpa bapa saudaranya diketahui awal pagi semalam selepas dimaklumkan orang awam.
Katanya, mereka sekeluarga bergegas ke hospital untuk menziarah mangsa selepas dilaporkan meninggal dunia akibat cedera dipukul beberapa individu.
“Kami tidak tahu punca kejadian itu. Berita kematian arwah pak cik diketahui keluarga selepas dihubungi kakitangan hospital sebelum kami bergegas ke bilik mayat untuk melihat keadaannya.
“Difahamkan selepas dibelasah, mangsa dibawa sekumpulan lelaki ke rumah isterinya, namun kecederaan parah dialami menyebabkannya dia dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.